INTERPRETASI

ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Monday, March 25, 2024

Buku  MEMBINA BAKAT KREATIF:  

 panduan menulis puisi 



 

 

Buku Membina Bakat Kreatif, diterbitkan oleh PENERBIT UNIVERSITI MALAYSIA PERLIS. 2020 dan cetakan ke 3  2024, berisi panduan menulis puisi serta memperbaiki penulisan puisi .  Antara lain memperkatan:

 Idea puisi yang lazim  disebut sebagai Ilham didapati:

Melalui pemerhatian terhadap kehidupan semasa dengan pemikiran yang kritis

Ilham melalui pembacaan

Ilham melalui renungan terhadap alam. Misalnya laut yang terbentang luas  mengingatkan kepada keluasan ilmu Allah subhanahuwataala

Ilham  boleh tercetus daripada perhubungan dan perbualan dengan orang lain. Kadang2  kita bercakap  dengan seseorang, tiba-tiba ada perkara-perkara yang dicakapkan tidak kira oleh orang itu atau kita sendiri, mengingatkan kita kepada sesuatu atau menimbulkan sesuatu pemikiran baharu.

 

Ilham juga sering datang ketika penyair di dalam perjalanan dari satu tempat ke satu tempat.

 

Setelah mendapat ilham atau idea yang jelas, seorang penyair bolehlah mula menukangi puisinya.

 

Buku ini juga membicarakan cara atau yang disebut teknik menyuarakan atau menyampaikan pemikiran atau yang disebut sebagai Proses Kreatif menghasilkan sebuah puisi.

 

Secara ringkas cara-cara itu ialah bermonolog, berdialog dengan subjek puisi dan membina sesuatu cerita.

 


Friday, August 25, 2023

 


SAWAH PADI DAN LAUT

 Banyak puisi yang memaparkan lanskap sawah dan padi lahir dari pena penyair-penyair Utara. Di  samping itu terdapat karya-karya novel dan cerpen yang bertemakan kehidupan petani. Antara novel  yang masyhur ialah Ranjau Sepanjang Jalan karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad. 

Bagi penyair Utara, padi bukan sekadar bahan makanan dan sumber pendapatan . Lebih daripada itu padi dianalogikan sebagai kemakmuran,  maruah dan harga diri. Padi didapati dengan kerja keras dari mula membajak sawah hingga  dapat dijadikan beras.  Justeru itu ia diumpamakan sebagai perjuangan hidup.

 Rahman Shaari, penyair kelahiran Perlis, menulis sajak “Hamparan Kuning” . Di dalam puisi tersebut dinyatakan bagaimana sawah yang tehampar luas memberi sesuatu kesedaran kepadanya tentang budi, perjuangan dan ilmu. Kata hamparan membawa gambaran sesuatu yang terbentang luas dan dapat dilihat sejauh pandangan. Kuning ialah warna padi yang sedang masak dan juga emas yang melambangkan kemakmuran.

Namun begitu yang terhampar bukan sahaja sawah. Ia adalah analogi kepada kehidupan dan perjuangan yang terentang  luas di hadapan.  Padi  masak menguning emas menjadi lambang kemakmuran dan kebijaksanaan seorang ayah kerana berjaya melengkapkan anaknya dengan ilmu dan keyakinan.  Si anak merasa damai dan makmur dengan keikhlasan cinta ayah dan ibu yang mendewasakannya.  Hamparan dan kesuburan tanah di kampung juga sejajar dengan kesuburan ilmu yang terhampar di dada penyair.

Hamparan Kuning

 

Sesekali pulang

Mahu kuresapkan keseluruhanmu

Ke dasar diri

Lalu hidup bersama aliran darahku

Sambungan dari keikhlasan cinta

Ayah ibu

Yang mendewasakan aku kemudian lepas

Kerana yakin pada ilmu

 

“Tanah di kampung ini,” kata ayah,

“akan nanti tidak sesubur

Apa yang bakal terhampar

Di dadamu.”

 

Di beranda rendah  ini

Mataku bermandi di lautan padi,

Hamparan kuning,

Engkau telah mendarahkan budayaku

Teman ikrab yang pernah menjauh

Kembali mengetuk pintu kesedaranku.

 

Aku kini pulang padamu

Bersama kasih dulu tak bakal layu

Aku pulang dengan rasa lama

Dan akal baru.

 

(Rahman Shaari, Gurindam Alam: 121)

 

Laut dan Pantai

Bahagian barat negeri Kedah dan Perlis, Pulau Pinang, bersempadan dengan Selat Melaka yang merupakan kawasan perairan sepanjang 930km yang merentang di antara Semenanjung Malaysia dan Pulau Sumatera. Selat  menjadi salah satu jalur pelayaran terpenting di dunia kerana kedudukan yang strategik seperti Terusan Suez dan Terusan Penama.  Selat Melaka adalah laluan purba yang diguna oleh kapal-kapal  pedagang yang berulang alik dari Barat ke Timur. Kapal-kapal ini singgah di negeri Kedah untuk berteduh menunggu musim bertukar bagi meneruskan semula pelayaran.

Laut dan pantai adalah unsur alam yang merangsang dan menggerakkan proses kreatif. Antara sajak yang lahir ialah ‘Sepanjang jalan ke Pulau Pinang’.

Sepanjang jalan ke Pulau Pinang

Laut mengimbau sayu

Ombak-ombak ini hatiku

Berhasrat tiada tepi

 

Sepanjang jalan ke Pulau Pinang

Hujan memberi lagu

Angin menampar ke tiap ruang rasa

Berhiba-hiba awan pilu.

 

Aku antara insan beribu

Air mataku antara laut lepa

Laguku hilang dalam angin menderu

Pecah di pantai terhempas.

 

 dalam feri menyeberang ke Pulau Pinang  untuk memulakan pengajian di Universiti Sains Malaysia, tersiar buat pertama kali di akhbar Utusan Zaman pada tahun 1970 dan kemudian dimuatkan dalam kumpulan puisi Sesayup Jalan terbitan USM press 1974. Sememangnya telah banyak puisi dicipta hasil dari perjalanan dari satu tempat ke satu tempat. Perjalanan  adalah pergerakan fizikal yang mempengaruhi pergerakan mental dan kerohanian. Proses kreatif  yang melahirkan “Sepanjang Jalan ke Pulau Pinang” berlaku di dalam feri menyeberangi laut.  Perjalanan itu adalah perjalanan diri meninggalkan rumah yang juga bererti meninggalkan zon selesa ke suatu tempat yang belum dikenali,    memberi kesedaran  terlantarnya diri ke dalam kedewasaan. Menyeberang laut menjadi penanda kepada perjalanan dari alam remaja menuju ke alam dewasa. Keadaan cuaca yang digambarkan dengan angin, hujan dan awan adalah unsur-unsur yang mengganggu perjalanan dan sekaligus mengganggu emosi. Apatah lagi pada ketika remaja itu, emosi  mudah terganggu, sering merasa buntu dan hampir putus asa sehingga melihat semuanya sebagai sedang “pecah di pantai terhempas”.  

 

Laut dilihat sebagai medan perjuangan untuk menuju ke sesuatu destinasi. Ia adalah lambang kedewasaan dan cabaran. Selagi hayat dikandung badan  cabaran dan rintangan perlu ditempuhi. Seorang yang telah dewasa mesti menempuh perjalanan laut serta  menghadapi gelombang dan badai. Dalam hubungan ini, pangkalan dianologikan sebagai satu tempat untuk memulakan perjalanan menuju kedewasaan.

Seorang ibu harus bersedia untuk melepaskan anak-anaknya yang telah dewasa untuk pergi memulakan kehidupan mereka sendiri. Menghantar dan merestui anak-anak untuk memulakan kehidupan baharu diumpamakan sebagai berdiri di pangkalan.

Berdiri di Pangkalan  .

Aku telah berdiri di pangkalan

Melepaskan satu demi satu perahu

Ke sungai usia ke laut kehidupan

 

Di pangkalan itu aku berpesan

Berhati hati anakku

Pilihlah pelabuhan terbaik

Perahumu hanya satu

Layarmu jangan tercarik

 

Aku berdiri di pangkalan

Dan berpesan

Lautan adalah pengajaran.

(Zurinah Hassan, 2014, Cerita Dalam Cerita: 87, )

Rumusan:

Huraian ini menunjukkan bahawa proses kreatif dan penglahiran karya seorang penulis bermula dari interaksi dan interpretasi terhadap unsur alam yang membesarkan mereka. Mereka juga  legenda didengarnya sejak  kecil. Unsur alam, seperti laut, sawah padi, gunung ganang menjadi metafora, perlambangan dan analogi tentang kehidupan yang dilalui. Walaupun laut dan ombak  digambarkan sebagai cabaran dalam ‘Sepanjang Jalan ke Pulau Pinang’ dan ‘Berdiri di Pangkalan’  namun pemilihan kata-kata tidak menunjukkan sebarang pertentangan atau konflik dengan alam. Mereka menerima dan melihatnya sebagai pengajaran dan ujian yang mesti dihadapi sebagai tanda kedewasaan.  Alam juga mengajar mereka tentang budi dan kerukunan hidup berkeluarga  seperti dalam ‘Permatang Budi’ (Rahman Shaari).   Alam yang luas membuat penyair insaf dan merasa dirinya kecil lalu lebih akur dengan kekuasaan Ilahi.

Legenda adalah kisah yang terkenal di dalam sejarah bangsa dan harus direnungi dan diambil iktibar. Penulis sering menganalisis dan pentafsir semula kisah-kisah legenda lalu menghasilkan  pemikiran dan karya baharu dalam bentuk puisi atau prosa. Renungan dan pentafsiran ini adalah selaras dengan penciptaan sastera Melayu yang dicipta untuk memberi pengajaran dan membawa kebaikan kepada masyarakat.

Rujukan:

Muhammad Fadzil Yusoff, 2018, Kosmologi Zurinah Hassan, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhammad Haji Salleh, 1988. Unsur-unsur Teori dalam Kesusasteraan Melayu dan Nusantara, Bangi Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi,

Rahman Shaari, 1993, Memahami Gaya Bahasa, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Rejab F.I. 1986. Seribu Riak di Pantai Usia. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka,

Thomas O, 1969, Metaphor and Related Subjects, New York, Random House.

H.B.Jassin.1968,Tifa Penyair dan Daerahnya, Singapura, Malayan Publishing House.

Zurinah Hassan, 1994, Pujangga Tidak Bernama,  Kuala Lumpur,  Dewan Bahasa dan Pustaka,

Zurinah Hassan, 2005, Salasilah. Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka,

Zurinah Hassan, 2010. Unsur Alam dalam Puisi Melayu Moden, Bangi, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia,  

Zurinah Hassan, 2014, Cerita Dalam Cerita: Kuala Lumpur. Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.

Zurinah Hassan,2020, Membina Bakat Kreatif, , Kangar, Penerbit Universiti Malaysia Perlis.

 

 SEDUTAN DARI 

Kertas kerja Seminar SUTERA disampaikan di Universiti Thaksin, 23.8.2023.

bertajuk: ALAM DAN LEGENDA DALAM METAFORA DAN ANALOGI SASTERAWAN UTARA.






LEGENDA

Sastera Melayu tradisi terbahagi kepada sastera istana dan sastera rakyat. . Dalam kategori sastera rakyat terdapat mitos, legenda dan cerita rakyat. Legenda  ialah cerita yang terkenal atau menjadi identiti sesuatu tempat atau sesebuah negeri. Ia mungkin berkisah tentang seorang tokoh yang dipercayai pernah hidup pada zaman dahulu walaupun kisahnya mungkin diolah mengikut citarasa si tukang cerita  sehingga ada beberapa bahagian yang tidak dapat diterima akal dalam ukuran masa kini seperti memiliki sifat-sifat keramat, berdarah putih dan sebagainya. Cerita-cerita ini juga  mengalami tokok tambah ataupun pengurangan menerbitkan pelbagai variasi  di tempat yang berlainan.  Legenda dan cerita rakyat diperturun dari datuk kepada cucu-cucu atau diceritakan oleh tukang cerita seperti selampit yang terkenal di Perlis.  Selain itu terdapat  penglipur lara, yang juga digelar "pawang", yang menyampaikan cerita dengan cara yang menarik sebagai hiburan rakyat.

Legenda sering dikaitkan dengan sejarah walaupun kedua-dua bidang ini saling menampilkan perbezaan antara satu sama lain. Dalam bidang kesusasteraan, terdapat karya sastera yang menggunakan sejarah sebagai isi utama. Khasnya dalam novel yang dikenali sebagai novel sejarah yang terlalu banyak untuk disebut di sini. Sekadar contoh ialah novel Kalbu Qalha oleh Amelia Hashim (Dewan Bahasa dan Pustaka 2017), Anak Kedah oleh Tajuddin Abdul Rahman.( DBP 1990). Novel Sejarah menggabungkan fiksyen dan fakta sejarah untuk melahirkan sebuah karya kreatif.

Bagi sasterawan, kisah-kisah legenda lazimnya  mengisi ingatan mengusik perasaan dan mencorakkan pemikiran. Ingatan kepada kisah lama membenih karya-karya, antaranya oleh Usman Awang, Shaharom Husain, Muhammad Haji Salleh dan Faisal Tehrani.   Sejarah dan legenda bukan sekadar kenangan tetapi menjadi iktibar dan teladan. Tulisan ini lebih tertumpu kepada legenda yang diberi interpretasi baharu. Hal ini disebut sebagai kemunculan  pensejarahan baharu atau New Historicism. Pensejarahan baharu melihat fakta lama tetapi dikontruksikan semula kepada bentuk realiti baharu. Dalam perkataan Mana Sikana  “Menyusur masalalu untuk menyisir makna baharu”.(Mana Sikana 2008)  

 Negeri Kedah dan Perlis adalah negeri yang penuh legenda. Terdapat banyak cerita rakyat dan cerita-cerita bertaraf mitos berkaitan sesebuah tempat masyhur seperti Pulau Langkawi dengan legenda Mahsuri dan Kota Siputeh dengan kisah Puteri Lindungan Bulan.  Ada cerita cerita yang diklasifikasi sebagai hikayat dan bertaraf karya agung, seperti Merong Mahawangsa. Legenda lagenda  ini sering merangsang pemikiran kritis seorang penulis dalam proses kreatif penulis-penulis  kontemporari .

Pemikiran Kritis membangkitkan rangsangan untuk melahirkan karya baharu. Apakah yang dimaksudkan dengan Pemikiran Kritis ? Ciri-ciri Pemikiran Kritis dapat dirumuskan seperti di bawah:

1- Berlaku Interpretasi semula serta memberi pemikiran yang berlainan dari apa yang diterima sebelum ini.  

2.Pemikiran yang baharu dan belum dikemukakan dalam mana-mana karya baik oleh penulis berkenaan atau penulis-penulis lain.

3. Menyimpang atau bercanggah daripada pendapat umum yang diterima dan digunapakai oleh masyarakat  turun temurun.

4. Membawa pemikiran dan pandangan yang baharu dan lebih bernas serta lebih  relevan, misalnya dengan isu semasa.

(Zurinah Hassan, 2020)

Mahsuri dan Raja Bersiung:

Sebagai anak Kedah, penulis membesar dengan cerita orang tua-tua tentang Mahsuri   dan Raja Bersiung. Ada cerita dari mulut nenek yang dikaitkan dengan Pulau Langkawi pada zaman dahulu. Kononnya   Putera Rom ditunangkan dengan Puteri China dan burung garuda telah bertekad untuk memisahkan mereka berdua supaya perjodohan itu tidak terjadi. Si garuda menyampaikan hasratnya kepada Nabi Sulaiman dan baginda berkata garuda tidak akan berjaya . Si garuda memukul bahtera yang membawa Putera Rom ke negeri China untuk menenggelamkannya. Mengikut cerita seterusnya, kapal yang membawa Putera Rom telah hanyut terdampar di Pulau Langkawi di mana Puteri China sedang berada. Tidak begitu jelas bagaimana hal ini berlaku tetapi keduanya telah berjumpa. Oleh kerana tidak berjaya, garuda malu kepada Raja Sulaiman lalu terbang menghilangkan diri dari dunia ini.

Legenda termasyhur Pulau Langkawi ialah Mahsuri. Ada dua perkara tentang Mahsuri yang menjadi sebutan dan perbahasan, iaitu sumpahnya ke atas Pulau Langkawi dan darahnya yang dikatakan putih. Kewujudan manusia berdarah putih tentu sahaja sukar  diterima oleh akal dan logika,  menyebabkan ramai yang tidak mempercayai  cerita tersebut. Pemikiran kembali tentang darah putih itu melahirkan sajak “Darah Putih Mahsuri” . Sajak ini cuba memberi jawapan mengapa Mahsuri berdarah putih.  Darah putih itu adalah sesuatu yang disengajakan oleh tukang cerita untuk tujuan dan niatnya yang tersendiri.  Dalam pemikiran penyair, darah putih itu sengaja dimasukkan agar cerita itu dapat menangkap perhatian dan menjadi ingatan ramai. Motif cerita ialah untuk menonjolkan fitnah dan kekejaman. Si tukang cerita memerlukan sesuatu yang unik dan berunsur kepalsuan untuk menonjolkan kebenaran. Kebenaran yang dimaksudkan ialah wujudnya fitnah dan kekejaman di kalangan manusia.

Darah Putih Mahsuri

(Apologia tukang cerita)

 

Maafkan aku Mahsuri

mengheretmu ke dalam kontroversi

lantaran pengakhiran yang kupilih

kau berdarah putih

hingga mereka terus bertengkar

itu tidak mungkin benar.

 

Tapi bagaimana

kalau kuceritakan seadanya

demi menjaga batas logika

kau sebenarnya tidak terlalu jelita

biasa dan sederhana

adakah mereka akan begitu bersimpati

apakah kau akan disayangi

dan dijadikan puteri

sanjungan Langkawi.

 

Darah putih adalah taktik kejutan

supaya kau menjadi sebutan

lalu mereka turut mengingati

racun fitnah hasad dengki

yang telah membunuhmu Mahsuri.

 

Fitnah dan kekejaman

adalah suatu kebiasaan

mungkin tak tersentuh di fikiran

untuk menonjolkannya

aku perlukan keganjilan

seperti darah putih daripada jasadmu

walaupun itu palsu.

 

Dan, aku memerlukan kepalsuan

untuk menonjolkan kebenaran.

 

(Zurinah Hassan, 2006:119)

Sebuah lagi sajak berjudul ‘Mahsuri’, memberi tumpuan kepada kedudukan Langkawi sebagai pusat pelancongan dan sumpah Mahsuri yang dikatakan  telah mengakibatkan Pulau Langkawi berada dalam kemunduran selama tujuh keturunan. Pemikiran kembali adalah bercanggah dengan pendapat umum sebelum ini . Puisi ini melontar pendapat bahawa sumpah itulah yang sebenarnya membesarkan Langkawi.

Mahsuri

Selendangmu mengibar di pantai

Menyambut tetamu pulau

Setiamu menjadi lagu nyanyian ombak pagi

Rambutmu menjadi jalur hitam

Terapung di laut malam

Airmatamu dingin embun

Jatuh ke tujuh telaga

Dendam tujuh keturunan

Melengkung tujuh tanjung

Putihlah pulau ini

Disimbah darah Mahsuri

Mahsuri

Sumpah itulah yang telah menghidupkan langkawi

Kerana tanpamu

Langkawi tidak sebegini bererti.

 

Kata orang Mahsuri tidak pernah hidup

Ia hanya bermula dari khayalan seorang seniman

Pun kata orang mahsuri pernah hidup

Tetapi bahasa seorang pencerita

membuatnya lebih hidup daripada kehidupannya

Sastera mewarnai tanah air kerana tanpa mahsuri

Langkawi tidak sebegini bererti

Mahsuri membesarkan langkawi

Sastera membesarkan tanahair.

( Zurinah Hassan, 1994: 67)

Mahsuri digambarkan dengan kecantikan dan  keindahan pantai, pulau dan ombak. Bercanggah dengan pandangan biasa Sumpah Mahsuri ditafsir semula sebagai sesuatu yang sebenarnya menghidupkan Langkawi. Tanpa legenda Mahsuri Langkawi tidak menjadi begitu bererti seperti hari ini. Justeru itu, penulis melontarkan pandangan bahawa cerita-cerita rakyat  dan sastera pada keseluruhannya, dapat membesarkan tanah air. Begitulah pemikiran kritis dan proses kreatif sajak Mahsuri.

Sebuah lagi ialah legenda yang melalui pemikiran kritis ialah kisah Raja Bersiung.

JUJURNYA SEORANG HAMBA

 

Pada suatu malam yang celaka

Raja Ong Maha Prita Daria

Mengecapi kelazatan semangkuk bayam

Dengan nikmat yang luas biasa

 

 

Setelah mendengar cerita sebenar

Dia pun ketawa bergegar

Ketawanya menggila

Dan bermulalah huru-hara

 

Pada suatu pagi yang amat hiba

Wan Anum yang sarat mengandung

Merayu belas kasihan datuk penghulu

Meminta seulas nangka

Yang sedang dibawa menghadap raja

 

Setelah melihat nangka yang tercedera

Raja terlalu murka

Dengan marah tak terkawal

Raja kehilangan akal

 

Dikoyaknya perut isteri Laksamana

Hanya kerana seulas Nangka

Dipancungnya rakyat sesedap rasa

Hanya untuk menjamu selera

 

Segalanya mungkin tidak berlaku

Jika si tukang masak itu

Tahu menyembunyikan rahsia

Dan tidak terlalu jujur

Tentang darah yang tercampur

Ke dalam mangkok sayur

 

Datuk penghulu itu juga

Boleh mencipta seribu helah

Tentang Nangka yang terbelah

Tapi apakan daya

Kerana setia yang tiada tara

Mereka hanya tahu berkata ya

Kerana taat yang tidak terhad

Mereka mengangguk dan menunduk

Walau raja sedang menjilat-jilat

Semangkok lazat daripada darah rakyat

 

Apa yang berlaku telah berlaku

Kerana datuk penghulu

Dan si tukang masak itu

Adalah antara beribu-ribu

Hamba Melayu.

(Salasilah, dbp 2005,  76-77)

 

 

 Ini adalah kisah masyhur dan ngeri.  Raja Ong Maha Prita Daria yang merasa sayur bayamnya lebih enak daripada yang pernah disantapnya..   Dia bertanya mengapa sayurnya lebih sedap daripada biasa. Si tukang masak dalam ketakutan memberitahu yang semasa momotong bayam dia terhiris jari lalu darah dari jarinya tertitis ke dalam mangkuk sayur.  Setelah mendengar kata-kata tukang masak itu, raja pun ketawa dan di sinilah bermulanya huruhara.

Proses kreatif sajak ini digerakkan oleh pemikiran yang melintas iaitu  si tukang masak itu   tidak sepatutnya memberitahu raja tentang darah yang tertitis ke dalam mangkuk sayur. Sepatutnya si tukang masak tidak berterus terang . Akibat daripada sikap terlalu jujur kepada raja banyak mala petaka yang menimpa rakyat. Hal yang sama berlaku dalam kisah Sultan Mahmud mangkat dijulang. Kisah ini sudah diketahui ramai. Wan Anum, isteri Laksamana yang sarat mengandung dan mengidam, telah merayu meminta nangka yang sedang dibawa oleh Tok Penghulu untuk dipersembahkan  kepada Sultan. Setelah melihat nangka yang terbelah, dan diberitahu oleh datuk penghulu akan hal yang terjadi, Raja terlalu murka lalu menghukum  isteri Laksamana sekejamnya.  

Intipati dari legenda itu ialah pemikiran bahawa segala penderitaan hidup rakyat selama ini adalah berpunca dari sikap terlalu taat kepada raja. Mentaliti fuedalisma adalah punca segala penderitaan. Ia menghalang rakyat daripada berfikir untuk menyelamatkan diri menyebabkan kuasa raja terus kekal tanpa kawalan.

Cerita legenda dan penyampainya tok selampit menjadi ingatan rakyat.  Bagi Penyair veteran Perlis, Rejab F.I. (penerima SEA Write Award 2016 ),  Selampit ialah lambang unsur-unsur tradisi yang semakin menghilang. Bagi Rejab F.I. Selampit  membawa  penduduk kampung, iaitu petani-petani untuk berkumpul dan merasa dekat sesama mereka. Selampit dan penceritaannya juga adalah jalan pelarian daripada  kenyataan hidup rakyat marhaen yang getir. Dalam sajak Selampit, penyair menggambarkan musim selepas menuai dan kemiskinan rakyat diungkap pada “tika malam berlaguh suram”.

 

Selampit

Musim panen yang ghairah

Angin timur membelai mesra

Suara pungguk sayup berhiba

Tika malam berlabuh suram:

Berkumpullah petani-petani purba

Menghayati cita rasa-ceritera

Menjangkau alam Firdausi

Bersama bidadari kayangan

Dan Sang Dewata Mulia Raya.

 

(Rejab F.I. 1986: 64,65)