Saya telah berkali-kali juga diberikan ruang untuk memperkatakan tentang perjalanan diri menjadi penulis dan sebahagian darinya telah dibukukan seperti Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi (Penerbit UKM ) dan Catatan Perjalanan Seni Zurinah Hassan (ITBM 2013).
Telah saya catatkan di dalam buku2 tersebut bahawa saya mula bermesra dengan puisi ketika
masih sangat muda iaitu dalam sekitar usia 13 tahun. Saya tinggal di sebuah
kampung di Kedah . Saya tidak bebas bermain di luar lalu saya duduk di rumah
dan mendengar radio. Saya mendengar lagu-lagu yang disiarkan termasuk lagu-lagu
Indonesia dengan senikata sangat puitis. (Di wajahmu kulihat bulan/bersembunyi
di balik senyuman). (ibarat gadis desa bunga melur/sederhana) . Saya menggemari
lagu-lagu asli yang menggunakan pantun. (Gunung Banang tinggi mengawan). Semua
ini mengajar saya bahawa manusia berinteraksi, berintegrasi dan menginterpratasi alam. Gambaran alam dari lagu-lagu tersebut
tumbuh dalam pemikiran dan perasaan.
Saya. mengembara dengan lagu-lagu tersebut melihat laut, pantai dan
gunung yang tergambar di dalamnya.. Aktiviti mendengar nyanyian ini memberi
asas pengenalan kepada metafora dan
menumbuhkan minat untuk menulis puisi..
Itu keadaan secara general. Sebagai perempuan saya menghadapi kepayahan yang tersendiri.
Saya berhadapan dengan latar masa dan budaya yang berbeza yang mungkin tidak
dikenali lagi pada hari ini. Saya mula mencintai buku dan penulisan ketika orang tua-tua masih bertengkar adakah
wajar membenarkan anak perempuan belajar di sekolah menengah yang semuanya jauh
di bandar. Masyarakat hanya menghargai
anak perempuan yang cekap membuat semua kerja rumah. Anak anak perempuan
sentiasa akan dipanggil ke dapur dan hal ini mengganggu perjalanan idea. Orang2
tua tidak faham tentang dunia kepengarangan. Mereka mula hairan melihat saya
gemar duduk bersendirian dan berjalan dari pokok ke pokok terutama pada hari
petang hingga ke senja. Orang2 tua mula bimbang apakah saya dirasuk makhluk
halus yang memanggil saya dari pokok ke pokok. Saya mulakan dengan menulis
sajak dan menulis dengan tangan untuk dipos kepada akhbar di Kuala Lumpur. Saya
belum menulis cerpen apatah lagi novel kerana ketiadaan mesin taip.
Bukan soal
wang yang hendak saya perkatakan di sini. Nikmat sebenar ialah apabila Dewan Bahasa
dan Pustaka mencetak ulang buku-buku
yang pernah mereka terbitkan yang sekarang mereka labelkan Edisi Sasterawan Negara.
Sudah berpuluh tahun saya memendam rasa kerana karya2 umpamanya sajak-sajak
yang dikarang dengan susah payah terperuk dan terperam begitu sahaja, tidak ada
di pasaran dan tidak pula diulangcetak.
Di
negara saya, kemungkinan untuk buku puisi dicetak ulang amat tipis kerana ia hanya akan membebankan penerbit. Hal ini menyebabkan Pusat-pusat pengajian yang
menggunakan mana-mana buku saya untuk
kuliah, terpaksa membuat salinan fotocopy. Mereka beritahu saya mereka sudah
cari dan terpaksa buat fotocopy. saya tidak pernah marah Kalau tidak dapat ganjaran kewangan, cukuplah
karya-karya saya terus dibaca dan tidak mati begitu saja.
Akta ini menjadi amalan di beberapa buah negara.
Malaysia adalah salah sebuah negera yang turut menandatangani persetujuan persetujuan
untuk mengguna pakai dan mematuhinya tersebut.
Di
dalam bidang seni hiburan klausa ini ternyata telah menguntungkan pengkarya. Di
Malaysia, misalnya karya-karya muzik, termasuk senikata lagu ciptaan
Allahyarham Loloq masih menerima bayaran sekitar belasan ribu sebulan Hal
ini tentu sahaja besar manfaatnya kepada pewaris Tetapi apakah kesan Akta tersebut kepada
bidang penghasilan karya sastera?
Setakat ini belum terdengar ada penulis yang menikmati royalti sebegitu
banyak yang dapat ditinggalkan untuk pewaris. Sebaliknya Akta tersebut dilihat
telah mendatangkan lebih banyak
kesusahan dan kerumitan berbanding keuntungan.
Saya
telah melalui perjalanan yang panjang dan berliku. Setelah menjadi seorang muda
yang ghairah dengan laut, saya kini umpama Seorang Tua di kaki gunung. Masih banyak harapan yang belum terdaki . Namun
begitu saya menadah tangan berdoa , Semoga Allah mengizinkan saya menulis lagi
kerana gelaran dan Anugerah adalah satu
amanah.