TULISAN ini pada keseluruhannya adalah petikan daripada tesis Siti Raihani Mohamed Saaid: Skrip Filem Terpilih P.Ramlee: Suatu Bacaan Kritik Feminis, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, 2016.
Pengenalan kepada Feminisme,
Feminisme , ialah aliran yang menyokong kuat hak asasi dan
emansipasi atau pembebasan Wanita berdasarkan kepercayaan bahawa wanita
menderita dan terkongkong kerana
kejadiannya sebagai wanita. Keadaan ini amat menyedihkan kerana sebagai manusia,
wanita juga memerlukan ruang untuk bergerak bebas dalam masyarakat dan wanita
juga turut menyumbang kepada perkembangan negara. Hal ini boleh dirujuk kepada Mitchel (1971:65) dan Rosnah Baharudin dalam
Zalila Sharif (2003:12).
Dominasi dan kecenderungan patriarki turut mempengaruhi bidang kritikan sastera dan filem sehingga Kritik Feminis muncul sebagai satu cabang disiplin dalam ilmu kritikan sastera dan filem untuk mengimbangkan teori dan amalan kritikan yang bersifat patriarki. Kritikan ini bermula dengan kesedaran betapa peranan wanita sebagai pengarang tenggelam dalam tradisi penguasaan lelaki. Kebangkitan feminisme semakin mendapat tumpuan kerana kesedaran terhadap tindakan prejudis kaum lelaki yang menjadikan karya sastera sebagai wadah untuk menaburkan pengalaman yang tidak menepati jiwa dan perasaan wanita. Bahkan kedudukan wanita juga sering disalahtafsirkan. Teori ini cuba membantah, membongkar, dan menentang segala kezaliman patriarki dengan memperjuangkan hak, kedudukan, martabat dengan memperkasakan ideologi kuasa feminis untuk sebuah dunia yang sejahtera , bahagia dan bermaruah (Humm,1989: 112-113)
Pengarang terkemuka ialah Elaine Showalter. Showalter berpendapat bahawa dengan membaca karya-karya pengarang lelaki, pembaca tidak dapat mengetahui perasaan wanita yang sebenarnya. Wanitalah yang lebih mengetahui tentang diri mereka. Hasil tulisan kaum lelaki biasanya menampilkan stereotaip wanita sebagai isteri dan ibu yang setia dan berbakti, wanita manja, pelacur dan wanita dominan. Sedangkan pada hakikatnya wanita memiliki perasaan-perasaan yang sangat peribadi seperti penderitaan, kekecewaan atau rasa tidak aman yang dapat diungkap secara tepat oleh wanita, seperti kenyataan berikut:
If
we study the stereotype of women, the sexism of male critic and the limited
roles women play literary history, we are not learning what women have felt and
experienced, but only what men have thought women should be.
(Showalter,
1987:238).
Showalter menjelaskan
tentang Kritik Feminis:
It is concerned with the feminist as reader,and it offers feminist
readings of texts which considers the images and stereotypes of women in
literature, the omissions and misconceptions about women in criticism, and
woman-as-sign-in in semiotic systems.
(1987:234).
Kehadiran pengkritik feminis dalam bidang
sastera adalah untuk membetulkan persepsi lelaki yang sering menganggap wanita
sebagai objek atau simbol dalam karya-karya mereka. Dalam membahaskan
takrif dan konsep “kritik feminis’ yang disebutkan oleh Showalter, Mary Ellmann
dalam Thinking About Women (1968)
membincangkan pemikiran tentang wanita oleh kebanyakan pengarang lelaki dan
mengkritik penampilan ciri-ciri stereotaip tersebut serta tanggapan stereotaip
mereka terhadap wanita. Showalter berpendapat bahawa kebiasaannya pengarang
lelaki akan melukiskan watak wanita dengan sifat-sifat yang stereotaip itu
boleh disimpulkan sebagai Formless,
Passive, Unstable, Confined, Pious, Materialistic, Spiritual, Irrational,
Compliant, The Witch dan The Shrew (
Ellmann dalam Moi (1985:34).
Formless - Dari segi terjemahan literal, formless ialah “tidak berbentuk”. Hal ini merujuk kepada pengertian bahawa watak wanita mempunyai sifat, pemikiran dan pendirian yang tidak menentu atau tidak jelas.
2. Unstable
- Unstable bererti tidak stabil
atau tidak tetap pendirian. Sifat ini merujuk kepada watak wanita yang tidak
kukuh, tidak berprinsip dan mudah berubah fikiran. Keadaan unstable ini juga adalah akibat dari sifat wanita yang mudah
dipengaruhi oleh orang lain. Mereka mudah berubah mengikut arus. Oleh hal yang
demikian wanita tidak boleh diharap untuk mengendalikan sesuatu urusan penting.
Mereka tidak boleh diharap untuk berfikir dan bertindak di dalam sesuatu
perkara yang melibatkan kepentingan ramai. Justeru wanita tidak diberikan
tanggungjawab yang penting di dalam segala hal. Tanggungjawab atau peranan
penting diserahkan kepada lelaki.
3. Passive
- Passive atau tidak aktif
merujuk kepada perlukisan watak wanita sebagai tidak memainkan peranan penting
dalam mengawal situasi dan seterusnya menggerakkan cerita. Hal ini terjadi
kerana sifat mereka yang lebih banyak berserah kepada lelaki dan mengharap
kepada orang lain untuk membuat keputusan. Oleh itu dalam kebanyakan karya
sastera, watak lelaki lebih mendominasi keadaan dan pergerakan jalan cerita.
4. Confined
- Confined merujuk kepada tidak
berfikiran terbuka. Perkara ini berkaitan dengan sifat wanita yang ditunjukkan
sebagai tidak menerima perubahan di sekelilingnya. Sifat ini juga berpunca
daripada perasaan takut untuk keluar
dari zon selesa atau tidak bersedia untuk menghadapi risiko. Oleh yang
demikian, confined juga boleh
disifatkan sebagai kolot sedangkan kemajuan dan permodenan dikaitkan dengan
kesediaan menerima perubahan. Mereka yang memiliki sifat ini tidak akan maju.
5. Pious
- Pious atau warak merujuk kepada
kecenderungan untuk menyerahkan segala-galanya kepada takdir dan hanya menerima
keadaan yang terjadi tanpa berusaha untuk melawan. Perkara ini juga membawa
maksud watak wanita adalah lemah dan tidak boleh berusaha sendiri dalam
menghadapi sesuatu situasi. Mereka hanya berserah kepada apa yang ditentukan
oleh takdir. Sifat atau ciri ini mempunyai kaitan dengan ciri ke-4 dan menjadi
faktor watak wanita kurang bertindak untuk mengawal keadaan.
6. Materialistic – Materialistik merujuk kepada sifat wanita yang
mementingkan kebendaan. Hal ini boleh diertikan sebagai tidak berfikiran tinggi
dan jauh dari memikirkan hal-hal yang intelektual. Sebagai contoh, terdapat
watak ibu-ibu yang mementingkan kebendaan semata-mata sehingga memaksa anak
gadis berkahwin dengan orang yang berharta kerana orang seperti ini dianggap
boleh menjamin kebahagiaan.
7. Spritual
- Spiritual merujuk kepada
perlukisan watak wanita yang sering berpaut kepada hal-hal spiritual dan bukan
kenyataan. Contohnya, watak wanita yang lebih mempercayai ramalan dan amalan
perbomohan dalam mengambil sesuatu tindakan. Wanita dengan ciri sebegini
menggunakan amalan spiritual untuk mencapai sesuatu yang dikehendakinya,
terutama dalam hal yang berkaitan rumahtangga.
8. Irrational
- Irrational merujuk kepada sifat
wanita sering melakukan perkara-perkara yang tidak rasional dan tidak munasabah.
Perkara-perkara tersebut dilakukan untuk mencapai matlamat mereka atau terpaksa
dilakukan untuk memenuhi keperluan lelaki.
9. Compliant
- Compliant merujuk kepada ciri
watak wanita yang sering digambarkan sebagai compliant atau bersedia mengikut telunjuk orang lain. Hal ini
adalah satu kelemahan yang menyebabkan wanita tidak dapat diharap atau diminta
pertolongannya.
10. Shrew - Shrew merujuk kepada perlukisan watak wanita yang kuat
berleter, sering merungut dan cepat marah. Perwatakan seperti ini sering
terdapat pada isteri-isteri atau ibu yang pemarah.
11. Witch -
Witch adalah sifat keras hati dan
suka menyakiti orang lain. Perwatakan ini ditonjolkan, misalnya melalui wanita
penghibur, yang tergamak merampas suami orang dan meruntuhkan rumahtangga orang
lain.
Siti Raihani Mohamed Saaid seterusnya melakukan analisis ke atas skrip-skrip filem P. Ramlee dengan mengambil kira ciri-ciri stereotaip watak- watak yang digariskan oleh Mary Ellman tersebut. . Beliau memperlihatkan bagaimana P.Ramlee sebagai karyawan lelaki membina watak-watak wanita dalam filem-filemnya, khasnya adakah P.Ramlee juga turut membina watak-watak wanita yang memiliki sifat-sifat stereotaip tersebut. .
Siti Raihani merumuskan bahawa P. Ramlee telah menggunakan skrip filemnya sebagai wadah untuk menyuarakan beberapa pandangan terhadap penindasan yang dialami oleh wanita. P. Ramlee mengangkat wanita-wanita dalam filemnya ke satu tahap yang lebih positif. Filem-filem bergenre komedi telah menyerlahkan kekuatan watak wanita dalam mengharungi isu dan persoalan masyarakat.