ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Tuesday, March 23, 2021

 

Satu fungsi syair ialah menyampaikan cerita terutama sebelum adanya media letronik, seperti radio. Pada masa dahulu terdapat kegiatan pembacaan syair yang dikatakan berlangsung dari malam hingga ke pagi. Anggota masyarakat yang biasanya tidak tahu membaca berkumpul untuk mendengar cerita yang disampaikan melalui syair. Ketika mereka tidak mempunyai sumber hiburan yang lain, mereka mencari hiburan dari kisah-kisah kehidupan putera puteri cantik di istana yang indah. Itu adalah jalan ’escapism’ daripada realiti kehidupan.

Kajian tentang isi syair dan asal usul syair telah banyak dilakukan tetapi kajian terhadap irama dendangan syair masih kekurangan.  Pada masa ini, irama yang digunakan oleh Tijah Deen Bangsawan itu digelar irama syair Selendang Delima. Saya pun tidak sedar bilakah penamaan ini berlaku. Satu soalan lagi ialah, sejak bilakah irama ini dipanggil Selendang Delima. Siapakah yang mencipta atau menggubahnya. Belum ada jawapan untuk itu, tapi yang pastinya tentulah ada pencipta yang mencipta dan menggubah. Tidak mungkin ia datang terus dari Arab kerana tidak pernah pula mendengar orang Arab membaca syair dengan lagu yang demikian. .

Saya berpendapat, irama syair yang pada hari ini dilabelkan sebagai Selendang Delima ini dikarang oleh pencipta muzik dalam kumpulan Tijah Deen Bangsawan. Andaian ini diperkuatkan apabila kumpulan kumpulan bangsawan yang lain yang merupakan pesaing Tijah Deen tidak menggunakan irama tersebut. (mungkin juga masalah hakcipta).  

Salah satu kumpulan Bangsawan pesaing Tijah Deem ialah kumpulan Bintang Timur yang diketuai oleh Bakar M. Ini diakui oleh Seniman Negara Rahman B, anak kepada Bakar M, dalam satu perbualan dengan saya di kampus Akademi Seni Kebangsaan (sekarang ASWARA). Mengikut Pak Rahman B, “Kami mencari irama yang lain daripada syair itu”. Mereka telah menggubah irama yang berlainan yang mereka namakan Gurindam Bangsawan. Bangsawan arahan Rahman B tidak menggunakan variasi irama Selendang Delima tetapi variasi yang mereka namakan Gurindam Bangsawan tersebut. Walaupun dinamakan Gurindam tujuan penciptaan bukanlah untuk membaca gurindam (karangan dua baris serangkap dengan struktur  yang tersendiri) tetapi karangan empat baris serangkap yang pada struktutnya ialah syair. Gurindam Bangsawan biasanya dibaca oleh Rohani B penyanyi utama kumpulan Bintang Timur yang merupakan adik kepada Rahman B.Kita boleh katakan bahawa irama Gurindam Bangsawan adalah satu versi irama Syair , alternatif kepada irama yang digunakan oleh kumpulan Tijah Deen.  

 Gurindam Bangsawan tidak dapat menandingi populariti irama Selendang Delima yang telah tersebar luas ke daerah Nusantara melalui rancangan Bangsawan Di Udara,terbitan Radio Malaya yang memancar dari Singapura. Tetapi pada sekitar tahun 2000  irama Gurindam Bangsawan telah mendapat tempat. Irama ini mula  berkumandang, diketengahkan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dalam acara-acara besar. Hal ini terjadi berikutan kedudukan dan peranan Rahman B yang kembali aktif. Rahman B menjadi  guru bangsawan di ASWARA dan berperanan penting dalam menghidupkan kembali bangsawan Melayu. 

Bangsawan arahan Rahman B tidak menggunakan variasi irama Selendang Delima tetapi variasi yang mereka namakan Gurindam Bangsawan walaupun yang didendangkan adalah ouisi empat baris serangkap.  Malah Rohani B dengan kreativitinya melagukan sajak-sajak dengan irama ini.  Saya pernah mendengar Rohani B menggunakan irama ini untuk membawakan sajak Usman Awang iaitu Ke Makam Bonda.

Kami mengunjungi pusara bonda
Sunyi pagi disinari suria
Wangi berseri puspa kemboja
Menyambut kami mewakili bonda

Tegak kami di makam sepi
Lalang-lalang tinggi berdiri
Dua nisan terkapar mati
Hanya papan dimakan bumi

 
Kita mudah memahami mengapa kumpulan Bintang Timur menamakannya  ‘gurindam’,  iaitu supaya kedengaran berbeza daripada pesaing mereka. 

Friday, March 12, 2021

Soalan: ADAKAH PANTUN MESTI BERIMA ABAB.?
Jawapan: TIDAK.


Kebanyakan pantun berima abab. Tetapi rima abab bukan syarat wajib pantun. Syarat wajib pantun ialah ada pembayang dan ada maksud

Contoh:

Lama sudah tidak ke ladang

Tinggilah rumput dari Lalang

Lama sudah tidak kupandang

Rasa hati bertambah bimbang



Atau

Pergi memetik buah delima

Hendak makan bersama-sama

Budi tuan kami terima

Jadi kenangan selama-lama



Kedua rangkap di atas ialah pantun kerana baris 1 dan 2 ialah pembayang dan baris 3 dan 4 ialah maksud, tanpa mengira skima rima aaaa atau abab.

Kalau dicari kita temui pantun aaaa yang juga indah ddengan pemikiran yang tinggi. Contoh:




Anak Raja berkirim surat

Dari Timur pergi ke Barat

Kalau cukup dengan syarat

Tidaklah badan jadi melarat.



Rima memberi nilai estetika Pantun. Tetapi itu hanya daripada aspek bunyi. Estetika Pantun bukan hanya terletak pada unsur bunyi atau rima. Selain rima, pantun yang bermutu tinggi memiliki estetika bahasa dan estetika makna.

Bahasa dalam pantun bersulam perlambangan dan metafora untuk menyampai Estetika Makna terdapat dalam pemerian pemikiran, pengajaran dan falsafah.
Raja berkirim surat
Dari Timur pergi ke Barat
Hendak berdagang cukupkan syarat
Tidaklah nanti badan melarat.