ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Friday, August 28, 2020




Kata Sepatu berkait dengan makna perjalanan, tapak, jejak dan langkah manakala Mimpi menyatakan impian, keinginan, harapan dan ilusi. Maka keseluruhan puisi yang terungkap dalam metafora Sepatu Mimpi adalah pengalaman dan makna yang dikutip daripada perjalanan membawa mimpi dan harapan

Perjalanan Penyair melangkaui beberapa dimensi alam. Ini termasuk alam nyata atau alam fizikal dengan latar dan nama tempat-tempat yang semasa,  atau tempat-tempat yang terpahat dalam memori bersama di lipatan legenda, hikayat dan sejarah bangsa. Begitu juga alam cakarewala yang memberi impak kepada kehidupan manusia, serta perjalanan hari dan peredaran waktu yang membawa perubahan usia.  Segalanya memberi kesan dari segi fizikal, mental dan kejiwaan.

 Suasana perjalanan terungkap menerusi kata-kata yang membawa makna pengembaraan, pencarian, perenungan dan penemuan. Langkah pertama dibuka dengan “Di Sudut Jendela”.  Seseorang yang berada di sudut jendela memandang ke luar atau meninjau keadaan  sebelum memulakan perjalanan.   Yang diperhatikan ialah dunia yang luas  termasuk bintang-bintang dan bulan.  Jiwa seninya yang lembut dan pengasih tersentuh oleh keindahan “mawar-mawar putih dan kuntum-kuntum kasih”. Keindahan seni dan kasih sayang itu menjadi rangsangan dan kekuatan untuk memahami kehidupan dan meneruskan perjalanan.   Pemandangan diluar mengembalikan renungan ke dalam diri..

WARISAN

.Beberapa buah sajak adalah  perjalanan merentas masa, kembali ke masa lalu khasnya  untuk mencari kekuatan diri dan kekuatan bangsa. Kekuatan itu dapat dikutip dari legenda dan puisi-puisi  warisan yang menjadi wadah pengajaran.  Mutiara silam  diperlukan dalam situasi semasa yang membimbangkan. Demikian beberapa puisi  bertolak dari kegusaran akan ancaman-ancaman terhadap Melayu dan keMelayuan . Sajak-sajak  ini termasuklah “Seloka Warisan Pusaka”,  “Akar Tunjang”,  “Kutuli Telingamu Anak Cucuku”.

Kata akar tunjang dalam sajak Akar Tunjang membawa erti asal usul, asal mula dan pautan yang mengejapkan. Kekuatan itu tersulam di dalam mutiara kata yang diwarisi dari puisi-puisi tradisi pantun dan syair. pepatah petitih dan peribahasa. Adalah menarik bila penyair melanjutkan makna aur dan tebing kepada perjanjian alam   dan pegangan amanah untuk menguatkan sesama sendiri seperti tersimpul dalam metafora yang segar dan menari, iaitu ‘tebing janji’. Ia merangkumi amalan  bertolong tolongan untuk menampal rekahan demi kekuatan tembok dan tebing.  Akar memberi nyawa kepada pohon demikian asal usul memberi nafas untuk menghidupkan bangsa. 

Pengajaran alam ini  sepatutnya menjadi iktibar kepada manusia khasnya umat Melayu dalam mempertahankan jatidiri.  

agar bumi subur menghijau

dan seisi pelosok alam jagat

menikmati flora keindahan

mensyukuri kewujudan azali

Kekuatan silam tersimpul teguh dalam kata Pusaka dan Warisan. Kata Pusaka adalah penegasan hak milik yang diwarisi dan menjadi hak  milik mutlak yang tidak dapat dicabar. Justeru pemilik yang sah sepatutnya memelihara dan mengutamakan hak mutlak yang diwarisinya.

 Dalam “Melayuku Hilang, Melayu”  terkandung ingatan untuk menjulang nama dan menjunjung adat. Watak Tuah dan Jebat muncul bila membicarakan pengorbanan, kesetiaan dan penentangan. Jebat disifatkan sebagai menerima akibat. kerana membela keadilan

 Zaman silam juga mengajar tentang kelemahan dengan kisah bangsa yang tercalar di sana sini.  Kelemahan zaman lampau  sepatutnya menjadi iktibar dalam menempuh dan membina zaman kini. Kelemahan bangsa adalah  “akibat luka dan dendam” Kealpaan dan keadaan “tertutup mata hati”.  Keadaan ini telah begitu jauh berlalu namun puisi ini menyifatkan Melayu masih daif . Kata Penyair “Melayuku walaupun dianggap terbilang menyusur jagat. Namun masih ada kealpaan lalu terus dilaknati. Jiwanya tetap lemah longlai. Kerana perasaan dengki dan bersengketa sesama sendiri”.  Dengan itu masih tinggal di dalam kedaifan dengan kelemahan dan keburukan yang terdedah kepada dunia.  Penyair menggambarkan nafsu sebagai  berterbangan seperti debu tidak menentu.

longlai jiwanya tersungkur lesu

bergelumang hama dengki nafsu

batinnya tersesak debu jelaga

berakar tunjang daki sengketa

 

 

Namun kekuatan tetap dicari. Sajak Tak Melayumu, Melayuku Hilang Arah” menyebut  Rantau Kampar Kiri , Koto Gunung Ibul dan tragedi  Lancang Kuning,  Gunung Sahilan yang terakam dalam jejak-jejak bangsa. Ada kerinduan kepada kekuatan jampi serapah, kekuatan keris dalam mempertahankan diri dan “mendaulat akar budi bicara”  Inilah yang membina  kekuatan  nenek moyang yang tetap berdiri teguh dan tidak mengalah walau berkali ditimpa bencana dari lahar yang meruah. Kekuatan inilah sepatutnya dijadikan rangsangan  bagi membina kekuatan  dalam mendirikan kembali maruah Melayu. “Demi amanah citra bangsa dan maruah”. Supaya tak Melayumu, Melayuku hilang arah

  Menyusur buana dan menjejaki masa lalu adalah suatu cara mengubat lara. Demikian yang terungkap dalam “Fantasia Buana Dimensi Laraku”.  Penyair menyebut Bukit Seguntang di mana kesultanan Melayu bermula “sambarlah aku terbang pulang melihat indah duniamu agar terubat lara rinduku”.   Sekali lagi terlihat perjalanan yang dirangsang oleh kebimbangan dan rasa kehilangan  tempat di dunia baru. Dengan

“jiwaku yang gelisah” mencari kesaktian yang dikaitkan dengan  Tasik Cini dan rahsia ratu semut di Mahameru. Dia menyeru  “bawalah aku selam ke dasar alammu/ basahi mandian dingin kolah rahsiamu” membangkit semula rahsia ratu semut dari lembah bumi Mahameru” Dari semua ini Penyair berharap agar diajari “ erti keringat tabah/biar semangat kerdilku tidak beralah”

 

Hidup adalah perjalanan yang memberi seribu makna. Namun begitu ia tidak memisahkan jiwa dan kasih sayang kepada rumah asal dan keluarga.  Penyair tidak hanya bersepatu dan bermimpi di luar namun tetap melagukan kasih sayang menghargai rumah dan keluarga.  Dalam “Balada Seruling Kasih” (buat insan yang bernama ibu) Penyair memohon sejuta embun rahmat dan mengharap manik zikir mendinginkan persemadian ibu di pusara. Agar “berbantal wangi haruman kasturi/ menyelimuti ibu di rumah abadi” . Doanya buat ibu semoga ibu mendapat balasan atas sebagai jasa ibu yang memikul amanah Ilahi dengan penuh kesabaran “teduh nurani kesabaran /bakti amanahmu pilihan tuhan”.

 

Sebagai Penyair Melayu Samsudin juga akrab dengan unsur alam dan memperlihatkan suasana kekampungan . Sajak “Cinta Dalam Sebiji Rambutan” mengungkap bagaimana sebiji buah rambutan membawa seribu makna dan cerita yang tersendiri. Ia menceritakan banyak perkara tentang kepayahan petani dalam meneroka dan membongkar tanah merekah hingga kita dapat menelan ‘isi putih manis jernih”. Terdapat metafora yang segar raga jerih petani bagi menceritakan kepayahan yang dilalui dalam membongkar  sekangkang tanah. Segalanya menjadi lambang kasih sayang cinta yang terpahat dan semangat yang membara.

 

Demikian  kenangan yang datang bersama sebiji rambutan. Rambutan mungkin mengingatkan kepada bonda yang pernah menanam rambutan, menyuap rambutan atau bersusah payah membeli rambutan, sambil mengajar anak-anak bersyukur dengan rezeki Allah.Dan penyair menemui “seberkas hakikat jasa petani”

Pada pemaknaan yang lebih luas jerit payah membongkar tanah itu adalah  selari dengan jerit payah bangsa yang membangun tanahair hingga anak cucu dapat mengecapi nikmat kemerdekaan.


Perjalanan masa dan perjalanan hidup memberi makna yang beranjak. Masa mendewasakan maka pandangan tentang hidup juga berubah.Hal ini dikesani oleh Penyair lalu disampaikan melalui sajak “Coretan Diari Seorang Guru”. Interaksi Guru dan murid berkait rapat dengan pencarian ilmu. Ada pelbagai cabang ilmu termasuk  ilmu kemanusiaan, ilmu agama dan ilmu akal . Manusia mencari ilmu dan memperoleh  ilmu. Namun hakikat hidup dan kejadian diri  tidak semata-mata diperolehi melalui ilmu logik dan matematik. Ilmu tidak hanya diperolehi dari buku tetapi pandanglah keluar melihat ciptaan Yang Maha Esa. Lalu “ditanggalnya kacamata tebal dilemparnya pandangan keluar jendela”.

Hidup ini penuh dilema . Hal ini disentuh melalui sajak “Seekor Lipas, sebatang berus gigi”.Seekor lipas yang merayap di atas berus gigi di dalam kamar mandi memang kotor dan meloyakan. Lipas itu dipijak dan dibunuh. Semuanya berlaku secara spontan kerana terkejut.

 

Perasaan lain  timbul bila diitegur anak nya “kenapa ayah bunuh?ustazah kata; lipas tu macam kita juga. ada nyawa, ada keluarga”.  Penyair mencari kata-kata untuk menjelaskan kepada anak lipas itu kotor bawa penyakit. Lebih mudarat nanti kita semua sakit. Islam mengajar bahawa jika berada di dalam situasi dilema, berhadapan dengan dua mudarat, terpaksalah memilih mudarat yang lebih kecil. Dalam hal ini llipas terpaksa dibunuh bagi mengelak mudarat yang lebih besar dari penyakit yang dibawa oleh serangga tersebut. .

Selain itu sajak ini menggambarkan keadaan Hidup dipenuhi kebaikan yang dicemari dengan keburukan. Kita mesti menjaga kebersihan bukan sahaja dari aspek fizikal seperti memberus gigi, malah menjaga budi bahasa dan menjauhkan diri dari perkara yang dicela.

beruslah gigi kita

sebelum masuk tidur

supaya mulut tidak kotor

supaya tidak bau busuk

supaya tidak terfitnah

dusta dan salah sangka

 

Demikian catatan perjalanan hidup dalam puisi-puisi Samsudin Said. Sepertimana yang terungkap dalam sajak “Pelayaran”,  hidup adalah pelayaran yang sarat memenuhi bahtera memori.