ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Sunday, August 25, 2019

BAHASA KEBANGSAAN SEBAGAI BAHASA PERPADUAN.

Perpaduan sangat penting dalam negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum dan latar budaya seperti Malaysia. Perpaduan mesti dicapai jika mahu hidup dalam aman dan damai .  Tanpa perpaduan dan keamanan tiada pembangunan bahkan kita akan hancur binasa.

Seperti yang kita tahu manusia berinteraksi melalui bahasa. Manusia adalah satu-satunya makhluk Tuhan yang dikurniakan dengan bahasa. Sejauh mana Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan telah berfungsi sebagai bahasa perpaduan?  


Sejak sekian lama bahasa Melayu menjadi media/alat perhubungan kaum. Ia digunakan dalam pertuturan dan tulisan kerana difahami oleh kaum2 di Malaysia. Tegasnya, penggunaan satu bahasa Melayu mencerminkan jalinan hubungan rakyat Malaysia yang harmoni kerana kemampuan pelbagai etnik secara bersama menuturkan bahasa tersebut. Dengan ini, bahasa Melayu menjadi alat penting untuk mewujudkan dan mengekalkan perpaduan antara kaum.

Hal ini ditegaskan dalam Falsafah Pendidikan Negara

 Sehingga hari ini, hanya bahasa Melayu sahajalah yang dapat merentas segala sempadan ilmu, budaya dan bahasa-bahasa etnik yang berbeza sehingga melayakkannya diangkat sebagai bahasa perpaduan antara etnik di negara ini. Inilah sebenarnya nilai dan potensi bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan negara.


Beberapa cadangan untuk meningkatkan penggunaan Bahasa Melayu.

 - Ubah persepsi Masyarakat Terhadap Bahasa Melayu  Jangan anggap  bahasa Melayu sebagai milik orang Melayu sahaja.  Kementerian Pendidikan harus mengutamakan usaha untuk mengubah persepsi kaum lain terhadap bahasa Melayu yang mempunyai nilai dalam pelbagai bidang ilmu.

Masyarakat berbilang kaum khususnya pelajar sekolah dan generasi muda harus dididik agar celik sejarah. Semua kaum perlu mengetahui dan menghayati sejarah bahasa Melayu dan mengetahui sebab ianya layak dijadikan bahasa perpaduan kaum.

Bahasa Melayu sudah menjadi bahasa perdagangan, Pendidikan, pentadbiran, undang-undang dan bahasa ketatanegaraan Pedagang-pedagang yang terdiri daripada pelbagai kaum yang datang ke alam Melayu untuk berdagang telah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam aktiviti perdagangan mereka khususnya di Melaka.


Pemimpin mesti menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa komunikasi samada dalam ucapan,ceramah atau temubual. Jangan menunjuk sikap mengagungkan Bahasa Inggeris. Sepatutnya ucapan diperindah dengan pantun, sajak dan sebagainya.

Sejak di peringkat sekolah perlu dididik untuk memahami dan menghayati peranan Bahasa Melayu sebagai alat perpaduan.  

Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara hendaklah dilaksanakan dengan tegas dalam semua bidang. Misalnya ejaan pada papantanda dan lain2 mesti dipantau.