Sunday, July 29, 2018
Sunday, July 15, 2018
Bersama YB Amiruddin Shari Menteri Besar Selangor
pada majlis Hariraya IDE 2018
Pencapaian Zurinah Hassan di dalam bidang
sastera, khasnya puisi di Malaysia telah diakui oleh ramai tokoh. Beberapa
contoh adalah seperti berikut:
Mana Sikana merumuskan bahawa
"Muhammad Haji Salleh adalah di antara penyair terbaik Malaysia.
Ini diikuti dengan Kemala, Baha Zain dan Zurinah Hassan. Kemala terus konsisten
dengan pengucapannya. Baha Zain meski
kurang prolifik, tetapi sajak-sajaknya masih kental dan belum ada pengarang terkemudian yang dapat mengatasinya.Saya menambah
ZurinahHassan sebagai penyair terbaik, justeru di kalangan penyair wanita dialah yang paling terkemuka dan
puisi-puisinya menjadi lambang kelembutan wanita Melayu".
Mana Sikana “Penyair-Penyair Terkemuka
Malaysia: Analisis Puitika Tekstual, Perisa
(Jurnal Puisi Melayu) Bil. 3.1995:56)
Menurut
Mana Sikana (1995: 44) Kekuatan puisi Zurinah Hassan terletak pada penguasaan
bahasa yang cukup baik dan kental, mempunyai perasaan yang puitis dengan
ungkapan yang hati-hati, bersih dan padat. Gaya Zurinah Hassan merdu,
kadang-kadang sedikit melodramatik dan sekali-sekala sinis, tetapi cukup untuk
menggoncang perasaan dan memberi kita pengalaman-pengalaman yang manis. Alam
kehidupan, budaya dan sublimasi manusia mendapat tafsiran dan makna menurut kacamata Melayu yang lembut dengan
suara yang harmonis.
“
Sajak-sajak Zurinah cantik, merdu dan bermutu dan tidak memerlukan huraian atau analisis. Puisi
itu dengan sendirinya sudah berbicara dan kita sebagai khalayak sudah dapat
menikmati kekuatannya. Dan di sini pun
memadai untuk menyatakan bahawa Zurinah Hassan adalah penyair wanita kita yang
terkuat.(Mana Sikana, 1995: 44).
Muhammad
Haji Salleh berpendapat bahawa Zurinah Hassan mencipta suatu gaya
penulisan yang cukup unik di Malaysia. Muhammad menulis tentang Zurinah, “Kita sedang berhadapan dengan peribadi yang
kuat, dan yang dilahirkan dengan fikiran yang sama tajam dan ingin menyatakan
yang dianggap sebagai benar, dan sedang berlaku di depannya, dan di depan
bangsanya”. Hal ini dinyatakan dalam kertaskerja “Bahawa Aku Pernah Hidup: Zurinah Hassan Sebagai Pentafsir Waktu Dan
Peristiwa”, Seminar Kefahaman
Budaya ke VIII: Zurinah Hassan, Sirih Pulang ke Gagang, yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia,
Pulau Pinang pada 18 Disember 2004 anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka
Wilayah Utara dan Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar Universiti Sains
Malaysia, Muhammad menulis:
“Saya
selalu terkesan oleh metafora dan diksi yang sesuai, tepat dan oleh itu lekat
pada ingatan. Sering kita dihadiahkan dengan metafora dan alur gagasan yang
membawa ‘surprise’ . dan hadiah begini tidak datang dengan mudah.”
Muhammad
Haji Salleh, 2004,
Di dalam bukunya (Muhammad Haji Salleh An Anthology of Contemporary Malaysia
Literature, dbp. 1988 : 362). Muhammad menulis tentang ZH,
“the really vocal and individual woman poet is a rare person. Her poems not only show that she is a
different woman from other woman writers but also a person who finds in poetry
the opportunity to speak out her innermost soul without the decorum of the past
literary practices
Usman
Awang menganggap ZH
penyair wanita berbakat besar yang lahir selepas Anis Sabirin. ( Usman Awang,
Ismail Ahmad Titian Zaman, Dewan
Bahasa dan Pustaka: 97).
Akhbar The Star, melaporkan: “Literary Laureate Usman Awang says “Zurinah
has made a significant contribution to Malay literary development. She brings
meaning to the Malay language, breathes life into her words. Her use of
language is captivating, poetic and harmonious “.(The Star, 30 Jun 1988).
Ini boleh diterjemahkan
sebagai “Zurinah Hassan telah memberikan sumbangan yang bermakna terhadap
perkembangan sastera Melayu. Dia membawa makna kepada Bahasa Melayu, membawa
ruh kepada kata-kata. Pemilihan kata-kata dalam puisinya turut memberi variasi
pada penggunaan Bahasa Melayu. Nada-nadanya pengucapannya amat memikat, puitis
dan harmonis”.
Shahnon
Ahmad telah ditugaskan
sebagai penilai manuskrip Sesayup Jalan.
Shahnon mendapati sajak-sajak Zurinah bermutu dan sejak itu Shahnon mula memberi
perhatian dan memperakui karya-karya ZH di dalam beberapa buah artikel
termasuk sebuah kertaskerja untuk
Pertemuan Sasterawan Nusantara III di Jakarta, Indonesia, 1976. Antara lain Shahnon menulis “Zurinah Hassan
adalah penyair wanita yang besar bakatnya. Nada dan irama puisi-puisi Zurinah
amat lembut dan manis terutama puisi puisi sepinya. Ini disebabkan pemilihan
kata-katanya yang amat sesuai dengan gerakan sumber alam yang menjadi imej
puisi-puisinya. ( Shahnon Ahmad “Sastera sebagai Seismograf Kehidupan”,
Dewan Bahasa dan Pustaka 1993: 226). Tulisan tulisan dan ulasan Shahnon adalah
penting kerana sebelum itu belum ada makalah yang membicarakan mana-mana penyair wanita secara serius .
Shafie Abu Bakar memberi pandangan bahawa Zurinah Hassan sesungguhnya
mempunyai kedudukan yang kukuh di dalam perpuisian tanah air, bukan sahaja
sebagai penyair wanita terbaik di dalam persajakan moden, tetapi salah seorang
penyair terkemuka tanah air sebaris bersama Usman Awang, Kassim Ahmad, Latiff
Mohidin, Muhammad Haji Salleh dan Kemala. (Shafie Abu Bakar, “Perjalanan Kualiti Persajakan Melayu
dalam Peradaban Melayu
(1997:163-166)
Arbak Othman menegaskan bahawa kekuatan
karya puisi ZH diukur berdasarkan dua faktor, iaitu nilai estetik yang tinggi
dan kualiti yang mengangkat puisi-puisinya sebagai genre puitik yang
meningkatkan kesan pada aras kesedaran pembaca. Puisi-puisi yang beliau cipta berhasil mengekalkan kesatuan
fikiran dalam sifatnya yang indah.
Idea-idea yang diungkapkan kelihatan tersusun, menyentuh perasaan dan
logik. Kata-kata dalam diksi dibentuk dalam
susunan yang berseni. Unsur rasa dan
emosi paling kuat memberikan sifat kepada puisi yang dicipta. Puisi dibentuk dengan menggunakan gaya yang
tersendiri dengan kata-kata yang sesuai dan relevan dengan mesej yang
disampaikan. Kebanyakan puisi beliau berhasil membentuk mesej yang
berkesan. Kata-kata yang digunakan
menyentuh perasaan dan akal budi.(“Idealisma Budaya dan Jatidiri Bangsa yang
Tercalar” kertaskerja Seminar Bersama Tokoh Penulis Tanah Air, Zurinah Hassan,
UKM. 23 Nov.2011)
Rahman Shaari menulis untuk blurb buku Puisi
Melayu Tradisional: Pantun, Syair, Gurindam, Nazam, Seloka , Pekan Ilmu
Publication 2012 “ Zurinah Hassan ialah penyair Malaysia yang telah mencapai
kecemerlangan. Beliau juga merupakan sarjana Kesusasteraan yang berwibawa.”