ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Friday, July 02, 2010

Sedang menekuni teori interteks. Kata Bakhtin (1986:106-7) bahawa setiap proses pengkaryaan akan mengalami Dialogika ialah kemasukan unsur-unsur luar dalam sesebuah karya sastera. Seorang pengarang menulis untuk menyampaikan sesuatu subjek, tema atau pemikiran kepada pembaca . Namun begitu semua hanya dapat dicerna menjadi karya sastera dengan bantuan unsur-unsur luaran iaitu apa saja yang dapat memberi sumbangan kepada pembinaan sebuah karya sastera

Hal ini agak selari dengan apa yang telah saya rakamkan di dalam buku Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi (2003) Sebuah karya lahir dengan cetusan idea seorang pengarang. Hal ini boleh disifatkan sebagai situasi yang melahirkan puisi. Sebuah karya adalah pendapat penyair tentang sesuatu. Idea tercetus di dalam pemikiran apabila berhadapan dengan situasi-situasi tertentu. Cetusan-cetusan idea ini boleh dianggap sebagai benih yang akan menumbuhkan puisi. Biasanya benih puisi itu terjadi bukan dari satu sumber sahaja. Ia merupakan perkahwinan atau adunan beberapa situasi. Sajak “Melaka” (Keberangkatan 1985:35), lahir ketika melawat ke kota A.Famosa dan digerakkan oleh pembacaan mengenai sejarah bangsa yang memilukan.
Ketika membaca karya-karya orang lain atau menonton teater mungkin terjadi sentuhan-sentuhan yang memberangsangkan pemikiran. Sajak-sajak juga mendapat cetusan dari cerita-cerita rakyat, legenda, hikayat dan sebagainya. Biasanya karya-karya dan cerita-cerita ini memberi makna kepada isu-isu yang dihadapi masa kini. (hal 90)
Drama, puisi atau novel pengarang dunia seperti William Shakespeare dan Samuel Beckett telah juga member cetusan rasa kepada saya dan beberapa orang pengarang Malaysia. Baris-baris terkenal Shakespeare All the World’s a stage/ men and women are merely players sering terngiang-ngiang dan bergema dalam karya-karya penulis Malaysia. Baris-baris ini telah mencetuskan sajak “Di Atas Pentas Yang Kosong” (Di Sini Tiada Perhentian 1977:8). Sajak ini bernada putus asa seperti kebiasaan sajak-sajak saya yang ditulis pada tahun 70-han. Watak aku di atas pentas memprotes peranannya terpengaruh juga dengan drama ‘Protes’ karya Dinsman.

Saat ini aku seorang pelakon
Di atas pentas yang kosong
Tirai telah lama ditutup
Penonton-penonton telah lama pulang
Sedang aku terus beraksi
Mengulang-ulang baris kegemaranku
“Tuhan, terima kasih tuhan
Oh terima kasih tuhan
Kerana kau telah memberikan segala-galanya
Kecuali sesuatu yang paling kuingini”

Imej manusia dan pentas digunakan lagi ketika berasa sedih di atas pemergian tokoh drama Salim Bachik. Ketika itu saya berada di Universiti Malaya dan beliau memimpin kami dalam SEKAUM (satu kumpulan kesenian Kakitangan Universiti Malaya). Melalui sajak Mengenang Salim Bachik saya juga berdialog dengan kata-kata Shakespeare bahawa dunia adalah sebuah pentas. Manusia adalah pelakon pentas atau pelakon sandiwara. Jadi kehidupan dikaitkan dengan sebuah pementasan atau sandiwara. Saya menambah bahawa sandiwara bukanlah sekadar permainan.

Mengenang Salim Bachik
Hidup ini sandiwara
Tapi sandiwara bukan permainan
Walai a sementara

Pada sebuah pentas kita telah bertemu
Atas izin waktu
Tapi waktu tidak menunggu.

Dunia sebagai sebuah pentas diolah menjadi dunia sebagai sebuah pasar raya dalam sajak “Dunia Sebuah Pasaraya’ (Berita Minggu Oktober 1997)