ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Friday, December 18, 2009

Pada usia 14 tahun Raihani telah menulis sajak yang seterusnya digunakan sebagai teks untuk Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kemerdekaan. Pada usia 16 tahun cerpennya telah tersiar di Berita Minggu . Dalam Cerpen yang bertajuk Tetamu Pulau itu (Berita Minggu) dia telah berhujjah tentang dasar luar Amerika , soal Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, sikap negara-negara Islam,Piagam Montreal, kenaikan suhu bumi dan pelbagai soal yang global. Saya pun tak sangka setinggi itu pengetahuan yang dimilikinya pada usia yang tersangat muda.

Memang saya terkejut. Tidak hairanlah jika ramai yang tidak percaya bahawa Raihani sendiri yang menulis semua itu. Lucunya kerana ada yang menuduh saya tolong tulis untuknya.



Saya nak tulis untuk Raihani? Jauh semanggang dari api…Saya ada melihat dia rajin menulis cerpen dan sajak sejak berumur 13, 14. Dari kecil pun itulah hobinya. Macam-macam tulisan yang terconteng di sana sini. Ketika itu saya adalah ibu yang sibuk. Kepala saya penuh dengan hal-hal pejabat, hal-hal rumahtangga, adik-adik Rai yang masih kecil, orang gaji yang bertukar ganti dan menyakitkan hati, traffic jam yang sangat mencabar dan macam-macam lagi. Nak tulis sajak pun tak ada masa.

Adakah saya yang menggalakkan dia menulis? Rasanya saya tidak layak untuk mengakuinya. Bahkan saya yang cuba mengawalnya agak tidak terlalu ghairah kerana SPM dah dekat. Saya meleterinya supaya tidak terlalu ghairah, takut kehilangan arah. Saya meleterinya supaya lebih menumpukan perhatian kepada pelajaran. Namun begitu saya gembira dengan kelahiran antologi cerpennya Badrul Bambi. Selamat Berjaya anakku

Thursday, October 08, 2009

Puan Hajah Halimah , 60 tahun, sudah bermaustautin di Lembah Klang selama lebih 30 tahun. Setelah bersara kehidupannya agak tenang dikelilingi anak-anak yang sudah berumah tangga dan cucu-cucu yang semakin bertambah.


Ibu bapanya sudah tiada. Oleh kerana anak-anaknya berkeluarga dan berumahtangga di lembah kelang, maka dia tidak lagi pulang beraya di kampung. Namun sesekali pulang juga menjenguk saudara mara di Kedah tempat dia dilahir dan dibesarkan. Sebagai wanita terpelajar dan menjalani kehidupan di tengah kota raya , puan Halimah memang sangat biasa dengan apa yang dikatakan Rumah Terbuka. Pada pendapatnya, rumah terbuka ada kebaikannya kerana dia boleh menamakan satu hari untuk dia menyediakan juadah yang sesuai dan sanak saudara boleh datang berkunjung, berkumpul dan mengeratkan silaturrahim.

Namun sebagai warga senior yang dibesarkan di kampung, dia pun terbiasa dengan pengertian hari raya sebagai hari untuk mengunjungi orang-orang yang lebih tua terutama datuk nenek, tok saudara dan nenek saudara, mak saudara dan bapa saudara, tanda kasih sayang, tanda hormat sambil memohon kemaafan.

Maka pada tahun ini puan halimah memilih satu hari Sabtu. Dia pun memberitahu sanak saudara mana yg sempat dihubungi.Hatinya senang dan memikirkan kemeriahan yang akan berlangsung di rumahnya kelak. Begitulah setiap tahun. Bak kata orang sudah menjadi tradisi.


Tiba harinya, halaman rumah pun penuh dengan anak cucu. Dia pun sibuk melayan tetamu. Dalam pada itu dia mencari-cari dan menanti-nanti kedatangan anak saudaranya, Arif dan keluarga yang pulang dari luar negara. Tapi Arif tidak kunjung tiba.

Seminggu kemudian terdengarlah cerita yang kurang menyenangkan. Kononnya si Arif suami isteri berkecil hati kerana Puan Halimah tidak menjemput mereka.

Puan Halimah pun hairan, "Hai..bukankah ini hari raya. Sepatutnya dia yang datang ke rumah aku. Aku emak saudaranya. "

Puan Halimah dan Arif sama-sama merasa terluka. Apa sudah jadi dengan hari raya pada masa ini. Bagaimana? . Apa pendapat anda?

Saturday, October 03, 2009

Hari ini teringat hendak bercakap tentang anggapa orang.Baru-baru ini saya ada menalipon JPA Bahagian Pencen bertanyakan tentang penyata pencen kerana sudah lama tidak menerimanya. Kalau dulu kita akan mendapat kiriman penyata setiap tahun. Orang yang menjawab di sebelah sana (perempuan- tetapi tidak tahu apa jawatan dan pangkatnya) berkata kepada saya , "mak cik minta tolong anak buka intenet dan dia boleh print penyata dari situ. Mak cik boleh tengok".Saya jawab, "Oh ada on line..tak payahlah minta tolong anak, saya pun boleh buka".

Hal ini mengingatkan kejadian yang sering berlaku kepada saya. Suatu hari saya ke kedai membeli kad prepaid. Si penjual hendak tolong masukkan tambah nilai. Saya katakan tak payah kerana saya nak cepat pergi. Dia pun memberikan kepada saya kad yang dibeli sambil berkata "Nah, suruh anak buatkan".

Oh ya ada satu cerita lagi. Semasa masih berkhidmat, saya pernah menjadi pengarah satu bahagian di Jabatan Kerajaan. Kami baru berpindah pejabat dan saya sedang melihat-lihat kawasan parking yang diperuntukkan kepada pegawai-pegawai di bawah saya. Tiba-tiba seorang pengawal keselamatan merapati saya dan dgn nada nak bertegur sapa berbudi bahasa, bertanya apa yang saya buat. Saya pun tanpa berfikir panjang menjawab lebih kurang, "tengok-tengok tempat parking". Dia serta merta menjawab, "ini tempat pegawai-pegawai. Kalau kita (maksudnya orang spt saya dan dia) parking di luar saja". Saya tergamam, saya nak jawab, "tempat saya dah ada di tempat bertutup. Ini untuk pegawai-pegawai saya" Tapi saya tak jadi kata begitu. Takut pula dia malu. Tak apalah sehari dua lagi dia akan kenal siapa saya.


Sebenarnya saya malu nak cakap pasal ni. Adakah saya nampak terlalu selekeh, terlalu tua terlalu tak tau apa-apa. Memang benar, saya ni bukanlah siapa-siapa, tidak berpangkat tidak berharta (hu hu hu), tapi setakat nak on intenet tu memang kerja saya setiap hari. Ada blog dan ada facebook lagi. Buat urusan bank pun secara on-line hanya pergi ke bank jika ada keperluan sahaja.

Atau adakah ini soal persepsi, soal sikap dan kebiasaan orang-orang di sekeliling kita. Secara generalnya mereka akan menganggap orang yang ditemui itu bertaraf rendah sebelum mereka kenal orang yang itu siapa.

Pengajarannya: Berhati-hatilah bila anda bercakap dengan orang yang belum dikenali.

Saturday, September 12, 2009

Globalisasi
Anak kecil bertanya
Apa makna globalisasi
Si ayah yang menekuni internet
Mengarahnya diam
Dan apabila dia terus bertanya
Si ayah memanggil si pengasuh
Suaranya keras menyuruh
Membawa si anak pergi jauh

Si ayah terus tekun
Seperti setiap malam
Bercinta dengan komputer
Mengecap nikmat bahagia
Hidup di era canggih
Komputer adalah kekasih
Pastinya ia adalah ciptaan
Yang menakjubkan dan menguntungkan
Betapa nikmatnya belayar
Dari laman web ke laman web
Berbual bergurau senda
Seluruh dunia telah menjadi
Sebuah kampung yang mesra
Ketika itulah
Di sebelah rumah
Jirannya ditimpa musibah
Tetapi itu tidak menganggu
Dia dan dunia fantasi
Di hujung jari.

Si anak meneka-neka sendiri
Apa maknanya globalisasi
Mungkinkah maksudnya berkomunikasi
Dengan yang jauh
Tetapi tak mengenal tetangga sendiri



Globalisation

A child asked a question
What is globalisation
The dad, hooked on the internet
Gave no attention
when the child asked again
Sent him away with the servant
His voice was stern


The dad was preoccupied
As he used to be everynight
The computer by his side
What a blessing and delight
To live in this era
The computer is his lover
For sure it is an invention
Amazing and rewarding
What a thrill to be surfing
From web sides to web sides
Chatting and joking with friends
He has not met face to face
The whole world has become
A friendly village

At that instant
Something tragic happen
To his next door neighbour
But he was too far to hear
He was making fantastic trips
On his fingertips

So the child began to understand
In his own way
Globalisation means making friends
Worldwide, more and more
But not knowing who live next door

Tuesday, June 23, 2009

PATAH LAGU/JEDA/PEMENGGALAN SEBUTAN.

Patah lagu ialah tempat seorang pembaca memenggal barisnya, yang juga disebut jeda. Hal ini masuk dalam bahagian intonasi. Intonasi ini amat penting di dalam penyampaian mesej.

Sebagai sebuah karya sastera, aspek penyampaian makna, maksud atau mesej karya sangat penting.Melagukan syair adalah satu cara untuk menyampaikan sebuah karya kepada khalayak. Jika mesej ini tidak sampai,maka pembacaan itu dianggap gagal.

Cuba baca syair di bawah dengan lagu Selendang Delima.Lagu Selendang Delima lebih popular kalau dibandingkan dengan yang lain. Sebab utama ialah lagu ini mudah dikenali dan mudah diasingkan daripada lagu yang lain. Lagu narasi dan Dan dan Setia tidak jauh berbeza dan jika tersilap pembawaannya akan mudah terjadi campur aduk di antara kaduanya.

Pesan patik pada tuanku
Ini unjukkan pada Raden Inu
Kartabangsa menenentang belas dan pilu
Bagai dihiris dengan sembilu


Bila dibaca dengan lagu Selendang Delima, maka ia akan menjadi spt di bawah


Pe/san/ pa/tikkkkkk// pa/daaa/ tuan/kuuuuu// (8 sukukata).
I/niii/ un/juk/kannnnn// pa/da/ Raaaa/den /I/nuuuu (11 sukukata)
Kar/ta/bang/sa/ me/nen/tanggggg// be/lasss/ dan/ pi/luuu (13)
Ba/gai/ di/hiii/risss// de/ngannn/ sem/bi/luuu (10)


Biasanya jeda berlaku pada akhir perkataan yang kedua. Hal ini adalah mudah dilakukan untuk baris yang mempunyai lapan sukukata. Pe/san/ pa/tikkkkkk// pa/daaa/ tuan/kuuuuu// (8 sukukata).

Pada baris pertama tiada masalah. Perkataan dipenggal pada sukukata ke empat. Masalah timbul pada baris yang mempunyai lebih drpd 8 sukukata. Baris kedua mengandungi 11 sukukata. Pemenggalan dilakukan selepas kata kedua iaitu sukukata ke empat. Selepas itu tempo dipercepatkan untuk menghabiskan 6 sukukata lagi.


Masalah lebih besar ditemui pada baris ketiga: Kartabangsa menentang. Dua perkataan ini mengandungi 7 sukukata yang mesti dibaca sekali agar dapat menyampaikan maksud dan tidak janggal. Kartabangsa ialah nama orang dan tidak boleh dipenggal. Yang kedua ialah perbuatan yang dilakukan oleh Kartabangsa iaitu menentang. Ini juga perlu dihabiskan. Dengan itu pembaca syair harus pandai mengejar agar dapat menyebut 7 sukukata sebelum berjeda.

Hal ini menunjukkan seorang pembaca syair mesti meneliti teksnya terlebih dahulu sebelum menghadap penonton.

Bandingkan baris-baris ini:
1-Dengarlah tuan ayahnda berperi
2-Dengarlah tuan tuan suatu perti


Walaupun pembacaan syair biasanya dipenggal pada akhir perkataan kedua.( Dengarlah tuan //ayahnda berperi)

Tetapi hal yang sama tidak boleh dilakukan pada contoh kedua di atas. Pemenggalan mesti dilakukan pada akhir perkataan yang ketiga. Dengarlah tuan tuan// suatu peri




Rangkap syair di atas adalah petikan drpd kisah pembunuhan Angerani. Ia membawa maklumat yang menyedihkan, menggambarkan suasana sedih pilu ketika Anggerani hendak dibunuh. Pembaca harus membangkitkan kesedihan dan kerinduan Angerani kepada suaminya Raden Menteri. Suasana sedih (melankolik) dibina dengan memanjangkan getaran dan alunan melodi supaya kedengaran mendayu-dayu.

Di dalam pertandingan, anda akan diberikan satu teks yang mungkin mengandungi lima atau enam rangkap dari sesebuah cerita. Seeloknya anda bacalah syair berkenaan sepenuhnya supaya dapat memahami dan menghayati cerita yang sebenar. SELAMAT MENCUBA

Friday, June 19, 2009



MENGENDALI bengkel baca syair di dewan bahasa 14 Jun bersama Roslan Madun. sempat merakam kenangan dgn Zaitun Ajmain dan Selina.

SYAIR DAN MELAGUKAN SYAIR


Dari segi strukturnya, kata syair di dalam Bahasa Arab merujuk kepada karangan berangkap, sama halnya dengan erti puisi dalam Bahasa Melayu atau poems di dalam Bahasa Inggeris. Namun begitu kata syair di dalam Bahasa Melayu merujuk kepada sejenis puisi lama secara spesifik untuk membezakannya dari jenis-jenis lain seperti pantun.

Ciri syair Melayu yang dikenali:
a.Mengandungi 4 baris dalam serangkap
b.Dalam satu baris terdapat 4 perkataan dan mengandungi 8-12 sukukata
c.Rima akhir syair adalah a-a-a-a
d.Satu rangkap syair tidak dapat berdiri sendiri sepertimana satu rangkap pantun.
e.Syair tidak mengandungi pembayang dan maksud seperti pantun


Lagu/Melodi Syair

Pada masa ini kita mengetahui bahawa ada beberapa irama yang digunakan untuk membaca syair. Pada pandangan umum ada 3 lagu yang distinctive atau berbeza. Tiga irama tersebut dilabelkan sebagai
1-Selendang Delima,
2-Dandan Setia
3-irama Narasi
.
Walaupun mudah mengesan asal usul perkataan syair tetapi tidak mudah mengesan asal usul irama yang digunakan untuk menyanyikan syair. Bagaimanakah ketiga-tiga melodi itu mendapat nama? Tidak logik jika kita mengatakan bahawa melodi Selendang Delima adalah untuk membaca Syair Selendang Delima sahaja dan Dandan Setia untuk membaca syair Dandan Setia.. Tidak mungkin masyarakat dahulu sebegitu spesifik dan sistematik sedangkan mereka langsung tidak spesifik di dalam perkara lain. Siapakah yang memberikan nama-nama tersebut .Apa maksud narasi? Adakah narasi bermaksud naratif?

Irama Selendang Delima adalah irama yang lebih dikenali kerana irama ini tersebar luas melalui radio khasnya melalui rancangan Bangsawan Di udara terbitan Radio Malaya yang dipancarkan dari Singapura pada zaman-zaman sebelum merdeka. Soalnya sejak bilakah irama Selendang Delima ini digunakan?

Kita juga mengetahui bahawa pada zaman dahulu bacaan syair diadakan semalam-malaman dan bersambung-sambung hingga beberapa malam. Adakah pembaca syair menggunakan irama Selendang Delima?. Sukar untuk membayangkannya. Irama Selendang Delima memang merdu dan mendayu tetapi mengambil masa yang panjang, iaitu hampir 1 minit untuk 1 rangkap dan selepas beberapa rangkap ia akan menjadi monotonous. Orang ramai yang datang berduyun-duyun adalah khalayak yang buta huruf yang mahu mendengar cerita yang terungkap di dalam syair-syair yang dibaca. Mereka mencari hiburan dari kisah-kisah kehidupan putera puteri cantik di istana yang indah. Itu adalah jalan ’escapism’ dari realiti kehidupan seharian mereka. Irama Selendang Delima tidak dapat megisi keperluan untuk menyampaikan maklumat dan membangkitkan suspen dan sebagainya. Saya lebih percaya tukang syair membaca versi irama syair yang lebih pendek dan ringkas atau hanya membaca dengan lagu dan rentak yang kita dengar dari penglipur lara. . Ini lebih munasabah untuk membawa cerita yang panjang dan bertahan hingga ke jauh malam.

Mungkinkah bacaan syair versi Selendang Delima itu adalah hasil pengindahan oleh kumpulan bangsawan dan dipopularkan melalui persembahan bangsawan?. Irama yang mendayu-dayu ini digunakan oleh narator dan sangat sesuai untuk membangkitkan mood cerita khayalan yang penuh sedih pilu dan pujuk rayu percintaan. Barangkali rakaman terawal ialah rancangan Bangsawan Di Udara. Antara kumpulan bangsawan yang diberi slot di rancangan ini ialah Tijah Dean Bangsawan.

TENTANG HAL DI ATAS TELAH SAYA SENTUH DLM ENTRY TERDAHULU.


PERSEDIAAN MEMBACA SYAIR

1-Baca dengan tekun teks syair yang akan dilagukan. Fahami dan hayati maksud syair.
Baca perlahan untuk memahami dan mendalami teks, menghayati dan membangkitkan suasana yang diperlukan. Baca dan fahami maksud syair untuk menentukan patah lagu apatah lagi kalau teks itu teks yang lama.

Dengarkan tuan tuan satu peri
kisahnya upu-upu muda jauhari
selesai daripada mengalahkan negeri
Raja Kecil pun sudah ke Siak lari
(Mohd. Yusof Mohd.Noor, Salsilah Melayu dan Bugis, 1984)
Kalau rangkap ini tidak dibaca dengan teliti tentu terbabas bila melagukannya nanti.

2-Pilih lagu yang paling sesuai dengan cerita/mood/tema syair.
Adakah syair yang akan dibaca itu bertemakan percintaan , adakah moodnya sedih. Kalau ya, irama selendang delima adalah sesuai untuk menyampaikannya.
Tapi bagi syair yang berbaur jenaka, mengkirtik, atau mengandungi kisah kepahlawanan, rasanya selendang delima yang mendayu-dayu itu kurang tepat. Bolehlah mencuba versi kedua iaitu Dandan Setia atau Narasi.

3-Sempurnakan Sebutan
Baca teks secara kuat. Ini ialah untuk memperbaiki sebutan. Setiap perkataan hendaklah disebut dengan baik. Sebutan yang tidak jelas akan menjejaskan persembahan.Bahkan boleh membawa suasana lain,melucukan dan sebagainya. Misalnya penjajah disebut penjaja. Martabat disebut murtabak. Mujahid disebut Mujahat. Beri perhatian kepada perkataan yang didapati sukar disebut (tentu ada).
Syair adalah karya sastera. Dalam menyampaikan karya sastera (begitu juga deklamasi sajak) penyampaian mesej adalah penting. Kalau sebutan tidak jelas, mesej akan terjejas.
Sebutan baku. dan jelas Iaitu disebut seperti kebiasaan bertutur di Malaysia atau yang dikenali dengan loghat Johor-Riau, bukan Indonesia. Kemelayuan bukan ke Inggerisan seperti sebutan penyanyi-penyanyi di tahun-tahun 2,000 ini.

4-Uji Kemampuan Suara
Dalam syair suara sangat penting kerana ia juga merupakan nyanyian. Uji kemampuan suara dan penerbitan suara. Syair versi Selendang Delima memerlukan range yang luas dan kemampuan yang lebih tinggi.Suara hendaklah dilontarkan sebaik mungkin dengan sebutan yang jelas. Ini memerlukan latihan. Masukkan getaran,ornamentasi, bunga-bunga atau lenggok-lenggoknya, di mana perlu sebagai hiasan untuk mengindahkan bacaan. Menerusi rancangan TV, iaitu Diari Akademi Fantasia dan Mari Bertaranum di TV 9. kita boleh pelajari tentang pengeluaran suara. Ada suara perut, suara dada, suara tekak, suara bibir, suara hidung dan suara dari rongga otak. Kita boleh belajar dari rancangan ini.
?Misalnya suara garau (suara dada dan suara tekak) untuk nada serius dan marah, memberi nasihat,menyatakan ketegasan.
?Suara nipis iaitu suara bibir untuk nada lembut dan romantik
?Suara tinggi dan mendayu untuk sedih
?Suara rendah untuk nada manja.

5-Baiki Pernafasan. Buat senaman untuk membaiki pernafasan dan penerbitan suara.
6-Buat latihan dan hadapilah penonton dengan yakin.

Kalau ada yang berhasrat nak masuk pertandingan syair atau nak mencebut diri dlm lapangan membaca syair ni kena banyak menelaah dan memperluas vocublary dgn kosa kata lama dan perkataan yang berasal dari bahasa Arab. Anda akan diberi teks yg penuh dgn kata-kata yang mungkin jarang digunapakai pada hari ini spt pokta, bahana. Nasihat untuk anda yang mahu mengarang syair, jangan malas menelaah kamus. Simpan daftar kata yang sukukata akhirnya sama. (ketar, latar, putar, gementar,) Biasakan dengan kosa kata lama (misalnya gapura, bahari,astaka, jauhar, madah, tinta, kalam), Syair lebih condong kepada kata-kata dari bahasa Arab, (e.g. syuhada, nikmat, mukjizat). gunakan metafora, simile, kiasan

Nota tambahan:
Penyelidikan terus dijalankan tentang syair dan versi irama syair. Biarkan jauhari yang mencari manikam. Tugas pengamal dan pembaca syair ialah untuk meneruskan aktivitinya selagi terdaya agar suara kita tidak tenggelam dalam kesibukan orang membina bandaraya. Warisan kita yang indah janganlah tertimbus di bawah rumah.

Wednesday, June 17, 2009

ITNM telah bermurah hati menjemput kami menonton teater karya SN Nordin Hassan di Istana Budaya. Serentak dengan itu ialah pelancaran buku The Frankincense terjemahan Mana Setangginya dlm Bahasa Inggeris. Terjemahan adalah hasil kerja Malim Ghazali Pk.Ramai kawan-kawan penulis yang hadir.

Sempat bergambar bersama Datuk Firdaus, Syed Munawar (pengacara yang glamour tu), Hatta Azad Khan, Azizi Hj. Abdullah, SN Muhammad Hj. Salleh, Raja Ahmad. Sempat juga nampak dan berteguran dgn Khadijah Hashim, Ibrahim Ghafar, Ku seman, Datuk Baha Zain, Roslan Madun, Rokiah Hashim





encik sohaimi dari itnm antara staf yang menyambut dan melayan kami dgn baik


bersama Datuk Firdaus dan Malim Ghazali, teman penulis yang menjayakan terjemahan Mana Setangginya. Tahniah Malim. Kerja ni bukan mudah....





Prof Hatta Azad Khan dan Muhammad Hj Salleh turut hadir. Dapat sembang panjang. Terima kasih ITNM

Thursday, June 11, 2009

Ini syair dan gurindam yang sempat dikarang beberapa hari ini.


SYAIR:
TAK TERCAPAI AKAL INSANI

Marilah kita bertafakur
Luas alam tidak terukur
Berputar cakerawala dengan teratur
Segala kejadian tunduk dan akur

Lihat langit seperti bumbung
Bulan bintang bagai terapung
Bintangnya banyak tidak terhitung
Dalam edaran tidak bertembung

Burung dan serangga pelbagai warna
Dengan tekun sarang dibina
Namun teguh seperti istana
Kita memandang terpesona

Dari gunung setitis air
Mencipta sungai terus mengalir
Batu yang keras menjadi pasir
Maknanya dalam jika ditafsir


Lihatlah bijian halus dan kering
Jatuh ke tanah dibawa angin
Dari benih hanya sekeping
Menjadi pohon tumbuh beranting

Di waktu siang suria memancar
Bila malam bulan bersinar
Hari berganti minggu bertukar
Supaya kita insaf dan sedar

Takjublah lagi kejadian diri
Setitis darah sedenyut nadi
Tak terjangkau akal insani
Segalanya dalam ilmu Ilahi

Segala pohon menjadi kalam
Segala lautan dakwat yang hitam
Tidak tertulis tidak terakam
Ilmu Allah luas dan dalam

Walaupun manusia diberi akal
Ilmu dikurnia hanyalah dangkal
Jika tidak bertawakal
Sesat hujung hilanglah pangkal

Alam menyimpan hikmah dan rahsia
Tiap kejadian tak sia-sia
Allah menjadikan kita manusia
Untuk berbakti sepanjang usia


Kita ini umpama tetamu
Di atas dunia tempat bertemu
Umat terbaik antara kamu
Yang bertakwa dan berilmu


Bila ajal sampai diambang
Ke negeri abadi kita pun pulang
Bagai pohon rebah dan tumbang
Meningalkan buah untuk ditimbang


GURINDAM RAJIN BEKERJA

Andai bekerja sepenuh daya
Itulah jalan menuju jaya

Andai berusaha penuh percaya
Jalan yang gelap disuluh cahaya

Andai bekerja setulus niat
Akan dinilai sebagai ibadat

Andai pekerjaan kurang cermat
Akan tersasar dari matlamat

Jika bermusyawarah bekerjasama
Banyak kebaikan dikecapi bersama

Kalau bekerja dengan teliti
Hasilnya pasti memuaskan hati

Andai rajin pagi dan petang
Pasti rezeki mudah datang

Andai pekerja tidak amanah
tanda perusahaan akan musnah

Andai peluang disia-sia
Menanggung sesal sepanjang usia

Andai hanya mengharap upah
Hasil kerja tidak bertambah

Andai hanya mengharap ganjaran
Tidak bermutu hasil keluaran

Andai segera baiki yang rosak
Banyak kerugian dapat dielak

Andai melepas batuk ditingga
Mutu kerja tidak terjaga


Andai ikut rasa yang malas
Di situ banyak peluang terlepas

Andai bulat tekad dan azam
Tentu berkerja penuh iltizam

Andai pekerjaan memberi manfaat
Pahalanya menjadi bekal akhirat

Saturday, May 30, 2009

Seperti yang saya katakan dalam entry terdahulu, kerja menterjemah bukanlah kerja yang mudah. Lebih-lebih lagi kalau menterjemah puisi. Cuba lihat kes di bawah. Ini adalah satu rangkap drpd sajak saya "HIdup Dari Jendela Keretapi".

adakah ia air terjun
dalam dendamnya menghempas-hempas
suara marah tak terkawal
pada mistri rimba tak terkupas
danjatuhnya menjadi buih-buih
mentertawakan diri di celah batu-batu

Setelah berfikir maka saya dapat rangkap di bawah:

Are you that waterfall
Flowing down in violence.
An uncontrolled voice of anger
At the unsolved mystery of the jungle
Falling at last to become foam
Laughing at itself from between the rock


Terjemahan di atas sudah mengandungi segala erti yang terdapat di dalam sajak BM. Kalau ia bukan sebuah puisi, tugas menterjemah memang boleh dikatakan sudah selesai.

Tetapi ini adalah sebuah puisi. Di dalam BM ada unsur bunyi aliterasi, asonansi dan rimanya. Unsur-unsur ini juga perlu dibawa ke dalam baris-baris yang diterjemahkan. Maka minda saya pun bekerja lagi untuk mencari jalan agar unsur-unsur ini dapat diterapkan juga ke dalam terjemahan. Hal ini dibuat dengan mebuka lembar-lembar thesaurus. Dapatkan thesaurus yang baik. Setiap patah perkataan disemak untuk mencari apakah ada kata yang lebih baik.


Hasilnya waterfall digantikan dgn torrents. Kata Rock dgn pebbles. Foam dengan bubbles.mystery ganti dgn puzzle

Maka hasil terjemahan menjadi:

Are you that rushing torrent
Flowing down in violence.
Bitter and puzzled by the jungle
Only to fall down as bubbles
Laughing at itself amidst the pebbles

Unsur puitis boleh didapati dengan mengubah letak duduk perkataan agar tercapai sedikit rima. Misalnya terjemahan "Pesanan Puteri Gunung Ledang kepada Sultan Mahmud" yang menjadi "The Message from Princess of Mount Ledang to Sultan Mahmud"


Perbuatkan jambatan emas jambatan perak
Bawakan tujuh dulang hati kuman, hati nyamuk
Air mata dan air pinang muda setempayan
Darah raja dan anak raja semangkuk

terjemahan
Build me a bridge of gold and another of silver
Bring me mosquitoes and germs seven trays of their hearts
Vessels full of tears and juice of young beetle nuts
From the king and his prince a bowl each of their blood


Satu perkataan akan mempunyai makna dan makna-makna asosiasi. Makna-makna asosiasi ini adalah berlainan mengikut budaya,tradisi dan warna setempat.

Kita ambil kata pemimpin yang biasanya diterjemahkan sebagai leader.

Adakah leader tepat untuk pemimpin?

Pemimpin datang dari kata dasar pimpin. Pimpin mengandungi erti memegang tangan seperti ibu memimpin kita berjalan semasa kita belum boleh berjalan dengan betul. Ada rasa kasih sayang. Orang yang memimpin akan berjalan bersama dengan yang dipimpin.

Leader adalah dari kata lead ertinya mendahului. berjalan di hadapan dan diikut oleh orang di belakang. Orang yang lead merasa dirinya lebih tahu dan mesti diikuti.


Pendekata leader jalan di depan. Pemimpin berjalan bersama-sama

Friday, May 22, 2009

19 mei lalu, saya menghadiri majlis yang diatur oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia- satu pertemuan sasterawan dengan TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putra Jaya. Ramai sungguh rakan penulis yang hadir. Barangkali yang paling ramai di antara majlis-majlis penulis yang pernah diadakan dalam masa terdekat ini.Sebelum itu saya tertanya-tanya apakah ramai yang akan datang. Maklumlah suasana masa kini dipengaruhi oleh keadaan politik yang penuh tandatanya.

Tetapi boleh dikatakan semuanya ada tak kira dari dekat atau dari jauh. Yang merenung bulan pun tidak menimbang-nimbang lagi, semuanya hadir. Saya rasa faktor utama ialah ITNM sendiri. Institut itu kini telah menjadi dekat di hati penulis. Kami melihatnya sebagai satu harapan atau cahaya baru dalam dunia penulisan yang mulai kelihatan malap ini.

Selama ini memang saya dan rakan-rakan yang lain menyedari tentang kewujudan ITNM tetapi tidak merasa mesra. Tetapi dalam setahun dua ini terjalin hubungan yang membungakan keakraban. Institut itu sedang berusaha menterjemah karya-karya sastera dengan matlamat membawa karya-karya sasterawan Malaysia ke serata dunia. Alhamdulillah.

Kerja-kerja penterjemahan bukanlah satu kerja yang mudah. Lebih-lebih lagi menterjemah puisi. Ambil saja beberapa perkataan yang sering kita jumpa dalam puisi Melayu.

Misalnya satu perkataan yang kerap ditemui dan dengan banyaknya dalam puisi Melayu ialah alam. (alamku yang hijau, bahasa alam sebagai contoh). Payah mencari satu kata yang semaksud, semakna, dan apa lagi yang sejiwa dengannya.

Apa kata yang tepat dalam bahasa Inggeris? Universe?, world? Universe atau world hanya bermaksud dunia. Dunia pun tidak sepenuhnya kerana kata dunia bagi kita membawa maksud dunia yang fana ini bukan akhirat. Itu semua tidak mengandungi makna yang besar seperti alam.

Begitu juga kata bangsa. Sukar menterjemahkan. Kita kata bangunlah bangsaku. Apa gantinya? My people, my race atau my nationality?

Ya itulah cabaran dlm terjemahan. Tak mengapa kita akan teruskan. Tentang ITNM, teruskan perjuangan anda. Kami berfikir-fikir ITNM boleh menjadi tempat pertemuan para penulis, Alangkah baiknya kalau ITNM mempunyai ruang di wisma mereka di mana kita boleh duduk-duduk berdiskusi dan bermesra. Ada kedai buku, ruang membaca dan melakukan sedikit kerja . Alangkah baiknya jika ia dapat menjadi tempat berkumpul yang selesa bukan sahaja bagi penulis tempatan malah dari seluruh dunia.

KERANA ITNM ADALAH PENYAMBUNG SUARA KITA

Ini gambar-gambar pertemuan di Putrajaya




BERSAMA DATO' A.SAMAD SAID



BERSAMA KHADIJAH HASHIM, PIAN HABIB DAN ISTERI




DI SEBELAH SAYA IALAH ENCIK KHAIR NGADIRON, PENGARAH URUSAN ITNM

Sunday, May 10, 2009



(lukisan Hady Abd Hamid)

Hari ini hari minggu. Biasanya ramai yang mengadakan majlis perkahwinan. Saya suka melihat orang berpantun dalam majlis-majlis perkahwinan.

Di sini ada beberapa rangkap pantun pengantin. Kebanyakannya saya karang sendiri dan satu dua yang ubahsuai daripada pantun yang telah sedia ada.

Bagi anda yang berkenan, bolehlah gunakan pantun-pantun ini di tempat-tempat yang betul. Moga-moga puisi tradisi kita, khasnya pantun terus berkembang mekar.

Pantun Pengantin Baru


Beli gula di pekan baru
Berbalut kertas merah kuning
Sila-sila pengantin baru
Dua sejoli jalan berganding

Di dalam dulang berisi sagu
Sagu dimakan burung merpati
Jangan bimbang jangan ragu
Hidup baru kini menanti

Mawar merah harum mewangi
Jambangan digubah berseri-seri
Doa restu kami iringi
Baik berpakat suami isteri

Kain songket halus tenunan
Dibawa orang masuk ke kota
Sudah bertemu dengan pasangan
Laksana cincin dengan permata


Laksamana cergas dan tangkas
Cukup berilmu dengan gurunya
Ibarat dakwat dengan kertas
Sudah bertemu dengan jodohnya

Padang temu konon namanya
Tempat kuda berlari-lari
Sudah bertemu dengan jodohnya
Bagai cincin lekat di jari.


Bunga manggar di kanan kiri
Bunga rampai hiris hirisan
Pengantin baru raja sehari
Tambah berseri dengan hiasan

Harum semerbak bunga rampai
Sekuntum mawar sudah disunting
Duduk keliling tetamu yang ramai
Melihat pengantin duduk bersanding

Bunga anggerik jual di pekan
Tumbuhnya rendang di atas para
Silalah tuan para jemputan
Sudi kiranya menjamu selera

Selendang mayang selendang batik
Batik dari Surabaya
Makin dipandang bertambah cantik
Naik seri dengan cahaya

Ikan gelama ikan tenggiri
bersama dengan ikan cencaru
Bersama-sama kami ke mari
Hendak meraikan pengantin baru

Buah rambai tumbuh dihutan
Dihujung ranting buahnya lebat
Mari beramai kita doakan
Semoga majlis mendapat berkat

Untuk santapan para tetamu
Lauk pauk nasi beriani
Sekali ini kita bertemu
Sudilah menjamah hidangan kami


Cantiknya burung cenderawasih
Terbang sekawan di hari petang
Kami ucapkan terima kasih
Kepada tuan yang sudi datang


Sungguh harum bunga rampai
Dibawa orang ke tengah balai
Sanak saudara sahabat handai
Datang meraikan dua mempelai

Yang jauh sudahlah dekat
Sudah dekat bersalam-salaman
Kami berdoa semoga berkat
Menempuh hidup di dalam aman

Sudah bersarang burung tempua
Sarangnya tinggi tidaklah rendah
Dahulu seorang sekarang berdua
Ikatan janji tertunai sudah

Sudah bersarang burung tempua
Sarangnya jauh tidaklah dekat
Dahulu seorang sekarang berdua
Baik-baik duduk berpakat

Kain baldu kain bertekat
Dibawa orang dari Melaka
Sudah berpadu kata sepakat
Kalau jodoh bertemu juga


Mawar merah di atas peti
Bunga melur saya kalungkan
Tuan rumah berbesar hati
Apa yang kurang mohon maafkan


koleksi zurinah hassan

Sunday, May 03, 2009

ANTARA SELENDANG DELIMA DAN GURINDAM BANGSAWAN


Saya sering juga membaca syair. Namun penglibatan saya hanyalah sebagai seorang pengamal. Sepanjang penglibatan itu saya mengutip serba sedikit pengetahuan yang ingin saya kongsikan bersama. Pada masa ini kita mengetahui bahawa ada beberapa variasi irama yang digunakan untuk membaca syair. Sepintas lalu, kita mendengar pelbagai irama. Namun begitu kebanyakan bacaan adalah berdasarkan melodi yang sama tetapi berlainan cara dan lenggoknya.
Setakat ini ada 3 lagu yang agak terkenal yang dilabelkan sebagai:
1- Irama Selendang Delima,
2- Irama Dandan Setia
3- Irama Narasi
Walaupun mudah mengesan asal usul perkataan syair tetapi tidak mudah mengesan asal usul irama yang digunakan untuk menyanyikan syair. Bagaimanakah ketiga-tiga melodi itu mendapat nama? Tidak logik jika kita mengatakan bahawa melodi Selendang Delima adalah untuk membaca Syair Selendang Delima sahaja dan Dandan Setia untuk membaca syair Dandan Setia.. Tidak mungkin masyarakat dahulu sebegitu spesifik dan sistematik sedangkan mereka langsung tidak spesifik di dalam perkara lain. Siapakah yang memberikan nama-nama tersebut .Apa pula maksud narasi? Adakah narasi bermaksud naratif?
Irama Selendang Delima adalah irama yang lebih dikenali kerana irama ini tersebar luas melalui radio, khasnya melalui rancangan Bangsawan di Udara terbitan Radio Malaya yang dipancarkan dari Singapura pada zaman-zaman sebelum merdeka. Soalnya sejak bilakah irama Selendang Delima ini digunakan?
Kita juga mengetahui bahawa pada zaman dahulu bacaan syair diadakan semalam-malaman . Adakah pembaca syair menggunakan irama Selendang Delima?. Sukar untuk membayangkannya. Irama Selendang Delima memang merdu dan mendayu tetapi mengambil masa yang panjang, iaitu hampir 1 minit untuk 1 rangkap dan selepas beberapa rangkap ia akan menjadi monotonous. Orang ramai yang datang berduyun-duyun adalah khalayak yang buta huruf yang mahu mendengar cerita yang terungkap di dalam syair-syair yang dibaca. Mereka mencari hiburan daripada kisah-kisah kehidupan putera puteri cantik di istana yang indah. Itu adalah jalan ’escapism’ daripada realiti kehidupan seharian mereka. Irama Selendang Delima tidak dapat megisi keperluan untuk menyampaikan maklumat dan membangkitkan suspen dan sebagainya. Saya lebih percaya tukang syair membaca versi irama syair yang lebih pendek dan ringkas atau hanya membaca dengan lagu dan rentak yang kita dengar dari penglipur lara. Ini lebih munasabah untuk membawa cerita yang panjang dan bertahan hingga ke jauh malam malah hingga ke pagi.
Besar kemungkinan irama syair versi Selendang Delima itu adalah hasil ciptaan kumpulan Tijah Dean Opera yang mendapat slot rancangan Bangsawan di Udara. Tijah atau Miss Tijah dan Din atau Mr.Dean adalah suami isteri yang juga penyanyi piring hitam.Irama yang mendayu-dayu ini digunakan oleh narator dan sangat sesuai untuk membangkitkan mood cerita penglipur lara dan khayalan yang penuh sedih pilu dan pujuk rayu percintaan.
Irama Syair Narasi dikenali juga sebagai Syair Sarawak kerana ia dikatakan popular di Sarawak. Ada kemungkinan ia juga berkembang di pentas bangsawan kerana kumpulan bangsawan dari Singapura mengembangkan sayap ke Sarawak seawal tahun 1930 (Rahmah Bujang,1975:40).
Sesuatu persembahan bangsawan memerlukan pembaca syair sebagai penggerak cerita. Melodi syair Selendang Delima terus berkumandang di radio dan digemari oleh masyarakat di Malaya, Riau dan kawasan Sumatera Barat yang dapat menerima siaran Bangsawan di Udara persembahan Tijah Dean Bangsawan. Hal ini cuba ditandingi oleh kumpulan bangsawan yang menjadi pesaing mereka iaitu kumpulan Bintang Timur yang diketuai oleh Bakar M. Ini diakui oleh Seniman Negara Rahman B, anak kepada Bakar M, dalam satu perbualan dengan saya di kampus Akademi Seni Kebangsaan (sekarang ASWARA). ”Kami mencari irama yang lain daripada syair itu”. Mereka telah menggubah irama yang berlainan yang mereka namakani gurindam bangsawan. Gurindam bangsawan biasanya dibaca oleh Rohani B penyanyi utama kumpulan Bintang Timur yang juga adik kepada Rahman B.
Pada peringkat awal penciptaannya, Irama Gurindam Bangsawan tidak dapat menandingi populariti irama Selendang Delima yang tersebar melalui Bangsawan di Udara . Tetapi kira-kira sepuluh atau lima belas tahun kebelakangan ini irama Gurindam Bangsawan telah mendapat tempat yang penting. Ia diketengahkan oleh KEKKWA dan RTM dan digunapakai dalam acara-acara rasmi negara terutama yang bersangkutan kesenian dan pelancongan. Hal ini terjadi berikutan kedudukan dan peranan Seniman Negara Rahman B dan Rohani B yang kembali aktif dalam acara kesenian. Rahman B menjadi menjadi guru bangsawan di ASWARA dan menghidupkan kembali bangsawan Melayu di ASWARA dan di Istana Budaya. Bangsawan arahan Rahman B tidak menggunakan variasi irama Selendang Delima tetapi variasi gurindam bangsawan.
Walaupun Irama ini dinamakan Gurindam atau Gurindam Bangsawan, tetapi lirik yang disampaikan ialah syair, iaitu 4 baris serangkap dengan skima rima a a a a.. Kita mudah memahami mengapa kumpulan Bintang Timur menamakannya ’gurindam’ iaitu supaya kedengaran berlainan daripada syair Selendang Delima yang sudah sinonim dengan Tijah Dean Bangsawan. Hal ini menambahkan kekeliruan kerana penggunaan istilah gurindam dan syair secara wewenang.
Perkara ini pernah disentuh oleh Prof Mohd.Taib Osman bahawa orang Melayu, terutama dalam kebudayaan Melayu zaman silam tidak begitu berhati-hati tentang definisi sesuatu perkara sehingga payah hendak kita buat definisi yang jitu tentang bentuk-bentuk puisi Melayu lama (1975:131). Perkara ini berterusan hingga ke hari ini. Cuba lihat lagu-lagu popular ini: Gurindam Jiwa (dari filem Melayu, Cathay Keris), Seloka (.Aziz Jaafar dan Normadiah ), Nazam Lebaran (Siti Nurhaliza), Nazam Berkasih (Syura), Ghazal untuk Rabiah (M.Nasir dan Jamal Abdillah), Dikir Puteri (Nor Aniza Idris), Syair Si Pari-pari (Zamani). Di samping itu Amaruzati Nor Rahim memberi tajuk sajaknya Nazam Kecintaan (Mutiara Pertiwi:13-14) Ini adalah contoh bagaimana terminologi puisi tradisi itu digunakan sewenang-wenangnya walaupun senikata yang dinyanyikan tidak menepati tajuknya.
Bidang puisi tradisi sering mengelirukan. Hal ini disebabkan:
1- Tiada rakaman yang telah dibuat. Oleh itu kita tidak dapat memastikan secara ilmiah, irama manakah yang lebih asli.
2- Tidak adanya pengawalan hakcipta. Antara ciri penting sastera tradisional ialah ia diwarisi dan disebarkan melalui tradisi lisan dan bersifat kolektif dan dianggap kepunyaan bersama. Sebuah karya boleh ditokok tambah atau diubahsuai. Seseorang mungkin menamakan karangannya sebagai Gurindam dan menciptanya dalam bentuk gurindam dua baris. Karangannya itu ditokok tambah oleh orang lain selepasnya sehingga menukar struktur menjadi empat baris, tetapi masih mengekalkan nama yang asal.

JUMPA LAGI INSYAALLAH





2 MEI saya menjalankan tugas sosial menghadiri kenduri kawin kaum kerabat di Flat Sri Kota, Cheras, Selangor. (keluarga sebelah emak). Ini gambar saya, suami, anak-anak (Faiz dan Huda) bersama keluarga pengantin. Sayangnya tak dapat gambar pengantin kerana kami balik sebelum acara persandingan. Bolehlah..buat kenangan. Saya pakai jubah hitam yang dibeli di Judah, musim Haji 2007. Seronok juga sekali sekala berjumpa saudara mara. Makanan pun sedap sangat...puas hati.

Tuesday, April 28, 2009


INI GAMBAR I MUDA DENGAN I 'TUA'


Gambar ini diambil di Pesta Buku Selasa 23 April yang lalu.Sedang berjalan-jalan dengan Rokiah Hashim, berjumpa Siti Zaleha Hashim dan Imuda sedang bersiap-siap menunggu acara dbp petang itu. Kali ini acara dbp tertumpu kepada pantun.

Monday, April 27, 2009

Sekarang ini semua orang bercakap tentang pemimpin. Ada pemimpin lompat parti, ada pemimpin letak jawatan. Ada pemimpin berebut pangkat. Macam-macam hal terjadi. Maka saya pun turut bergurindam tentang pemimpin.

GURINDAM PEMIMPIN

Pemimpin adil bijak bestari
Itu tanda bertuah negeri

Kalau pemimpin penuh amanat
Aman sentosa sekelian rakyat

Kalau pemimpin menunai janji
Tentu rakyat akan memuji

Kalau pemimpin menyalah kuasa
Akibat negeri akan binasa

Kalau pemimpin mengejar emas
Akibat kuasa akan terlepas

Andai menggadai kuasa di tangan
Dilaknat bangsa dan keturunan


Kalau pemimpin kurang waspada
Tidak layak bergelar nakhoda


Andai pemimpin bermewah-mewah
Bertambah marah rakyat di bawah


Pemimpin mungkar tidak berakhlak
Menunggu masa untuk ditolak

Kalau hanya mengkayakan keluarga
Tentulah ramai akan curiga

Sesama pemimpin fitnah memfitnah
Tanda bangsa akan punah

Kalau sudah terbuka pekong
Tidaklah lagi rakyat menyokong

Pemimpin mewah rakyat fakir
Menunggu masa akan tersingkir

Bila menghukum berpandu agama
Tentulah hukuman adil saksama

Pemimpin berganding dengan ulama
Dunia akhirat dipelihara bersama

Tuesday, April 21, 2009

Ingin Bergurindam

Malam ini ingin pula saya bergurindam. Gurindam ialah puisi Melayu tradisi yang berisi nasihat dan panduan hidup. Gurindam terdiri dari dua baris. Baris pertama adalah sebab dan baris kedua ialah akibat. Gurindam berbeza daripada pantun dua kerat.Ia tidak mengandungi pembayang misalnya pantun dua kerat di bawah ini:
Lain hulu lain parang
lain dahulu lain sekarang.

Gurindam terdiri dari dua baris serangkap Tetapi janganlah menganggap semua puisi dua baris serangkap yang berima a a itu gurindam. Lihat pada isinya. Adakah isi merangkumi syarat dan jawab atau sebab dan akibat. Gurindam menyatakan bahawa sesuatu yang berlaku akan mengakibatkan sesuatu kejadian yang lain. Misalnya gurindam Raja Ali Haji yang berbunyi:

Apabila banyak berkata-kata (sebab)
di situlah jalan masuk dusta (akibat)

Apabila anak tidak dilatih
sudah besar bapanya letih

Lihat situasi yang dibentangkan dalam rangkap-rangkap di atas. Apabila seseorang itu banyak berkata-kata, ditakuti dia akan banyak berdusta. Dia banyak berdusta adalah akibat atau sebab daripada banyaknya dia berkata-kata. Begitu juga dengan sebab anak tidak dilatih terjadilah akibatnya iaitu bapanya akan keletihan melayan kerenahnya kelak.

Dewasa ini terdapat penulis-penulis kontemporari yang menghasilkan gurindam. Di antaranya ialah Khadijah Hashim, Hamdan Yahaya, Azimin Daud, Nazim Ahmad Subari dan beberapa orang lagi.Gurindam zaman ini tentulah memperkatakan hal-hal semasa.

Contoh:
Apabila aedes sudah bersarang (sebab)
Alamat denggi akan menyerang (akibat)


MEMELIHARA ALAM SEKITAR


Sampah dicampak merata-rata
Alamat kotor negara kita

Apabila sampah seperti bukit
disitulah tempat sarang penyakit

Apabila kotoran tidak dibuang
Lalat dan nyamok datang bertandang

Apabila aedes sudah bersarang
Di situ denggi akan menyerang

Apabila sungai tidak jernih
Air diminum tidaklah bersih

Apabila pokok habis ditebang
Tanah yang longgar senang berlubang

Apabila pokok tumbang dan jatuh
Itu mengundang tanah runtuh

Apabila tercemar alam sekitar
Udara disedut tidaklah segar

Jika tiada udara yang nyaman
Hidup manusia tak akan aman

Apabila negeri tidak dijaga
Akan malang nasibnya warga

Apabila alam tidak sempurna
Tunggulah saat datang bencana

Saturday, April 18, 2009

Cerita peperangan tidak pernah menggembirakan. Hari ini saya terharu dan terganggu. Betapa sedihnya mendengar cerita peperangan di Bukit Nanas yang dikisahkan oleh Encik Siri Ning Buah. Pengkisahan ini dianjurkan oleh Persatuan Sejarah Selangor dan telah berlangsung di Kompleks Kebudayaan, Shah Alam.

Begitulah nasib orang-orang Melayu Mandaling yang telah berada di Kuala Lumpur pada tahun 1873. Mereka diserang oleh tentera British, Cina, Bugis, Kedah, Melayu Batu Bara dan Rembau yang dipimpin oleh Tengku Kudin, dan Yap Ah Loy. Penyerang-penyerang telah membedil dan membunuh lalu menghanguskan bumi Kuala Lumpur.

Di Bukit Nanas itulah penduduk-penduduk yang masih ada di sekitarnya mencari perlindungan. Mereka bertahan dan melawan dengan berani. Namun akhirnya hancurlah pertahanan mereka. Mereka dikepung, saluran air minuman dibedil dan pelbagai lagi rupa kekejaman. Orang tua, kanak-kanak yang tidak berdaya telah mati kebuluran.

Bukit Nanas oh Bukit Nanas
Maafkan aku
kau menyimpan luka bangsa
yang selama ini aku kurang tahu


selama ini kisah ini kurang didedahkan. Sejak kecil saya hanya diajar tentang Yap Ah Loy yang digelar "the founder of Kuala Lumpur".

Monday, April 13, 2009


Salam. Belum sempat menyediakan bahan yang baru kerana minggu ini sibuk menyemak pruf pertama sebuah buku yang sedang dalam proses penerbitan. Cerita saya membaca sajak Pesan Si Luncai di Seminar Pengarang Muslimah Nusantara ada disiarkan di Berita Harian Khamis 9 April. Seminar ini berlangsung pada 31 March hingga 2 April di Dewan Bahasa.

YANG BERMAIN MUZIK MENGIRINGI SAYA IALAH ANAK KE EMPAT, MUHAMMAD FAIZ. Faiz sekarang Tutor di Universiti Malaya (Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan)setelah selesai menyudahkan tesis sarjana di UTM, Skudai. Saya memang berharap untuk membuat persembahan puisi bersama Faiz kerana dia sudah berada di K.L. INSYAALLAH

Biarlah saya abadikan keratannya di blog ini.

Friday, April 03, 2009





Anda ingat Luncai?Si Luncai adalah budak kampung hina dina yang berani berkata kepada raja "Kepala Tuanku serupa dengan kepada bapa patik". Raja sangat marah eh tersilap, tersangat murka, lalu menjatuhkan hukuman bunuh terhadap Luncai. Baginda memerintahkan Luncai dibuang di laut.Biar mati lemas. Kejam memang kejam.Begitulah kebiasaannya, mudahnya rakyat dihukum bunuh walaupun kerana kesalahan yang kecil.

Raja bertitah "Hay
Luncai, mika derhaka ya"

Tetapi Luncai telah berjaya melepaskan diri. Dia mengajak orang-orang di perahu menyanyi. Mereka menyanyi dan menjadi leka. Pada masa itu Luncai telah terjun ke dalam air dan berenang ke darat. Bukan itu sahaja Si Luncai telah pulang ke dalam negeri dan menipu raja dengan cerita-cerita yang direkanya. Dia telah 'menggoreng' raja sehingga berjaya menaiki takhta.


Raja yang termakan dengan cerita-cerita si Luncai telah terpedaya sehingga hilang takhta.

Cerita si Luncai sepatutnya menjadi sumber inspirasi bangsa. Dengan akal yang bijaksana
dan kemahiran beretorika Luncai menapak setingkat demi setingkat.
memanjat hairaki sosial.

Kita pun seronok . kejayaan luncai adalah kejayaan rakyat.Sekarang rakyat telah mendapat seorang raja atau seorang pemimpin yang mempunyai sifat-sifat di bawah:

  • Berani dan tegas: Si Luncai berani berkata kepada raja yang kepala raja serupa dengan kepala bapanya. Ini adalah keberanian berterus untuk menyatakan persamaan. keberanian menyuarakan persamaan amat sukar dilakukan. Boleh dikatakan impossible walaupun di zaman ini. Sedangkan pada masa sekarang pun orang tidak berani berterus terang apatah pula pada masa dahulu.

  • Bijaksana: Luncai menjalankan taktik dan helah sehingga dapat melepaskan diri drpd hukuman bunuh

  • Pandai menyanyi ada aura (ala-ala Mawi): Dia dapat melalaikan orang di perahu dengan nyanyiannya.

  • Bakat sastera: Dia pandai mereka cerita. Dia boleh membuat raja percaya dengan cerita-ceritanya hingga dapat membunuh raja dan merampas takhta.


Nah..pada masa itu kita menyangka telah tibalah masanya untuk kebangkitan rakyat yang akan membawa keadilan.

Sayang seribu kali sayang...si Luncai juga pemimpin yang lupa diri...Setelah berkuasa dia melupai rakyat kerana gilakan puteri raja. Dia memaksa si puteri berkahwin dengannya. Pada malam itu Puteri yang amat bencikan Luncai telah menikamnya hingga mati. Hasrat rakyat tidak menjadi.

Di sinilah kesilapannya

Hidup Luncai kerana labu
mati Luncai kerana nafsu.




SAYANG SI LUNCAI
i

Si Luncai terjun dengan labu-labunya
Biarkan, biarkan.

Terselamat Luncai kerana labu
Musnah Luncai kerana nafsu.

Sayang Si Luncai budak desa
Buncit perut bujur kepala
Betuahnya dapat bertemu raja
Tiba-tiba menangis hiba.

Apabila ditanya akan sebab
Teresak-esak Luncai menjawab
Betapalah hati tak rasa sayu
Apabila melihat kepala Tuanku
Serupa bentuk dengan bapaku.

Raja mendengar terlalu murka
Celopar mulut budak derhaka
Beta ini raja berdaulat
Tinggi martabat mulia darjat
Manakan sama dengan rakyat.

Menghina raja hukumnya maut
Luncai disuruh buang ke laut
Kiranya luncai akan mati
Seperti beribu rakyat lagi
Yang dihukum sesuka hati.

Namun Luncai pintar bertindak
Hingga maut dapat dielak
Kuasa raja kononnya mutlak
Manakan sama akal yang bijak.

Luncai pulang ke dalam negeri
Siap sedia mengatur strategi
Raja terpedaya mendengar cerita
Akhirnya Luncai merampas takhta.

ii

Akulah Maharaja Luncai
Yang pulang membawa kemenangan
Kemenangan ini adalah kemenangan rakyat.

Apabila aku berkata:
"Kepala Tuanku seperti kepala bapa patik"
Aku sebenarnya telah merobohkan
Tembok penjara kebisuan
Memberi suara kepada rakyat kecil
Untuk menyatakan hak persamaan
Dan kesaksamaan.

Rakyat merayakan kebangkitanku
Sebagai era baharu
Pemimpin berani
Wira sejati.

Daripada budak desa hingga menjadi raja
Kubuktikan bahawa rakyat tidak selamanya hamba
Kisahku sepatutnya membakar semangat bangsa
Menghapuskan sebarang rasa putus asa
Menjadi sumber inspirasi
Motivasi tertinggi.

Aku mengelak hukuman raja
Dengan akal yang bijaksana
Akal yang sewajarnya dicerna
Merancang kebangkitan bangsa
Ke era kehidupan sempurna

iii

Sayang Si Luncai sayang sekali
Harapan rakyat tidak menjadi
Setelah berkuasa abaikan negeri
Kerana hanyut di lautan berahi.

Kuasa di tangan pemuas diri
Untuk mengahwini tuan puteri
Kerana Luncai buruk pekerti
Akhirnya mati dibunuh isteri.

Terselamat Luncai kerana labu
Musnah Luncai kerana nafsu.

Sayang Si Luncai sayang sekali
Harapan rakyat tidak menjadi
Sayang bangsa terus menanti
Bilakah lahir pemimpin sejati.
(
Salasilah: 85,86,87)


Sebuah lagi sajak ialah Pesan Si Luncai. Sedikit petikan di bawah (Dah scan nak masukkan dlm blog tapi belum dapat diconvert dan edit- Insya Allah lain kali)

Datuk-datuk yang berhormat
dengarlah ini amanat
luka ini sungguh berbisa
beratlah lagi menanggung dosa
mempersia-siakan harapan bangsa

Rakam kisashku untuk anak cucu
kabarkan bagaimana aku berlagu
hingga terleka orang di perahu
bagaimana aku bercerita
hingga meyakinkan raja
kalau peluang terbuka
aku mungkin penghibur antarabangsa
atau kalau berpelajaran tinggi
mungkin seorang pakar psikologi
daripada budak hina
aku menjadi raja
ini pencapaian tertinggi
contoh dan inspirasi.

Tetapi yang berlaku
telah berlaku
rakyat yang menunggu terus menunggu
perjuangan bangsa tak akan selesai
kalau pemimpin seperti Luncai
(Salasilah, 99- 98).

nota:

  • Kalau si Luncai masuk Akademi Fantasia atau Raja Lawak, tentu dapat sms tertinggi.
  • Perjuangan kita tidak selesai kerana pemimpin seperti Luncai.

Saturday, March 28, 2009

Cerita rakyat terutama cerita-cerita jenaka Melayu mengandungi sindiran yang sangat tajam. Cerita-cerita ini juga memberi idea yang membenihkan karya-karya saya. Setakat ini saya telah menulis puisi (dan satu dua cerpen) dari pemikiran yang tercetus drpd kisah-kisah ini.


Kita semua tahu kisah Pak Pandir. Pak Pandir dikatakan manusia yang paling bodoh di dunia ini. Sudah sekian lama kita mentertawakan kebodohannya.

Ah, bodohnya Pak Pandir. Pada suatu hari mereka hendak membuat kenduri doa selamat. Isterinya Mak Andeh menyuruhnya menjemput Pak Lebai untuk membaca doa. Maklumlah Pak Lebai orang alim, warak,doanya cepat dimakbulkan oleh Allah SWT. Pak Lebai akan membawa keberkatan kepada kenduri dan kehidupan mereka.

Pak Pandir tidak kenal yang mana satu pak lebai. Mak Andeh memberi panduan yang pak lebai itu berjanggut. Pak Pandir terjumpa seekor kambing. Kambing juga berjanggut lalu Pak Pandir menyangka kambing itulah pak lebai.

Inilah kebodohan tahap maksima. Sampaikan tidak tahu membezakan orang
warak dengan kambing. Tetapi itulah saja yang diberitahu kepada Pak Pandir.
Dia berpegang kepada gambaran fizikal semata-mata.

Pendekkata yang berjanggut itu mestilah alim atau warak.
Alim dan warak itu terletak pada janggutnya.

Sudah lama kita ketawa akan kebodohan ini.
Saya juga ketawa Kemudian terfikir: Begitulah jadinya jika sifat warak dan alim itu diukur dari gambaran fizikal iaitu janggutnya semata-mata.

Pada zaman ini berapa ramai lagikah yang terkeliru dengan gambaran fizikal? Kita juga mudah terpedaya dengan cara dan gaya. Setiap hari menonton bermacam-macam iklan tidak tahu yang mana satu produk yang baik dan diperlukan.

Setiap hari mendengar pemimpin berpidato dan membaca akhbar. Sukar hendak menentukan yang mana benar yang mana palsu, yang mana jujur yang mana penipu.

Maka tidak berbezalah kita dengan Pak Pandir.

Bila terfikir begini, saya pun menulis sajak yang berjudul "Jangan Risau Pak Pandir". Sajak ini dimuatkan di dalam antologi Salasilah
(dbp.2005 hlm 101).


Jangan Risau Pak Pandir

Jangan risau Pak Pandir
kebodohan bukan hanya milikmu
ia sebenarnya sering berlaku.

Seperti pada hari itu
Mak Andeh menyuruhmu
Menjemput Pak Lebai
mencari alim yang pandai
untuk berdoa mintakan berkat
pada kenduri doa selamat
kau yang dungu
membawa pulang seekor kambing
kerana ia berjanggut di dagu
seperti gambaran isterimu.

Ah, Pak Pandir jangan tak tahu
kesilapan seperti itu
memang mudah berlaku
seumpamanya kami tak arif membezakan
yang tulen dengan yang palsu
yang warak dengan yang tamak
kerana ramai yang pandai menyamar
di sebalik pakaian dan ucapan
mentafsir ayat suci
mengikut agenda peribadi.

Kami pun mudah terpedaya
dalam seni retorika
kreativiti pengiklan
dan putar belit media
yang membingungkan dunia.

Kau tidak keseorangan
sesiapun mudah menjadi keliru
sepertimu.

-----------------------------------------------------
Ingat kah anda kepada satu lagi episod dari kisah Pak Pandir ini?
Satu hari dia pergi ke sungai hendak mengail ikan. Dia menangkap
seekor rusa dan dijadikan umpan. Bukankah bodoh namanya kerana
lebih baik dia bawa pulang rusa itu untuk dimasak. Sudah tentu
mereka boleh makan berhari-hari.

Di dalam hal ini apakah Pak Pandir sahaja yang bodoh?Jangan ketawa
padanya kerana kadang-kadang kita sendiri pun tidak menyedari
bahawa kita telah mengorbankan sesuatu yang lebih berharga demi
mengejar apa yang kononnya dipanggil kemajuan.

Pemikiran ini menghasilkan sajak
"Modal Pak Pandir", (Salasilah hlm. 100)

Modal Pak Pandir

Jangan risau Pak Pandir
kebodohan bukan hanya milikmu
ia sebenarnya sering berlaku.

Seperti pada hari itu
Mak Andeh menyuruhmu mencari makan
pergilah ke sungai memancing ikan
tangkap belalang jadikan umpan.

Kau yang keliru
berjumpa rusa tanduk bercabang
menyangkanya seekor belalang
mengheretnya ke sungai
tanpa menyedari
rusa itu sebesar-besar rezeki
dan kau telah membuang
sebaik-baik peluang.

Ya, Pak Pandir
kau tentu tak menyangka
kami pun begitu juga
tak pasti mana yang lebih besar
antara harga yang dibayar
dengan untung yang dikejar.

Mengharap seuncang untung
terbuang modal sekarung
seperti rusa yang terbuang ke sungai
yang terkorban mungkin lebih bernilai
daripada matlamat yang dicapai.

Saya juga mengambil iktibar daripada kisah Pak Kaduk, Lebai Malang, Pak Belalang, Si Luncai, Mat Jenin. Kalau sudi bacalah dalam Salasilah. Insya Allah saya akan perkatakan tentang sajak-sajak ini dalam entry yang akan datang.

Thursday, March 26, 2009


Gambar ini sudah sekian lama berada di dalam 'file attachment'. Elok juga saya simpan atau selamatkan di sini. Jejaka di sebelah itu ialah Kun Reewat penerima dari Thailand. Yang berbaju biru itu seorang profesor orang kuat dari komiti penganjuran anugerah.Gambar ini diambil pada malam penyampaian anugerah yang dibuat secara gilang gemilang di hotel Equatorial.

Di sebelah saya ialah pegawai Dbp Brunei (memakai kot hitam. Di tengah berbaju Melayu putih ialah penerima dari Indonesia diikuti Haji Jawawi (penerima Brunei) dan isteri, dan Khatijah pegawai drpd Dewan Bahasa.

Berikut ialah ucapan penerimaan saya.

Anugerah SEA Write in amat bermakna untuk saya dan juga kepada kawan-kawan penulis di Malaysia. Saya amat bersyukur kepada Tuhan yang Maha Kuasa kerana telah mengurniakan hambanya dengan penghormatan yang amat tinggi. Sesungguhnya saya amat berterima kasih kepada kerajaan Thailand dan juga semua dan setiap individu yang bertanggungjawab dan berperanan menghantar saya ke majlis yang sungguh gilang gemilang ini.

Izinkan saya menyebut sekali lagi bahawa SEA WRITE award telah menjadi cita-cita dan idaman para penulis di Negara saya dan tentunya di Negara-negara jiran yang lain. Setiap

tibanya tahun baru kaum penulis akan tertanya-tanya siapakah ‘pemenang’ atau penerimanya . Sebelum mendengar pengumuman rasmi, akan muncullah kabar-kabar angin dan berlakulah spekulasi di sana sini.

Para penulis bersetuju bahawa dengan mengwujudkan anugerah berprestij ini, kerajaan Thailand telah membuat sumbangan yang sangat besar terhadap perkembangan kesusasteraan dan penulisan terutama di Negara-negara ASEAN. Dan sekali lagi saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada kerajaan Thailand yang telah menganjurkan anugerah ini. Ini adalah sinar dan harapan untuk terus berjuang di dalam bidang yang kami cintai. Untuk kami anugerah ini adalah suatu kejayaan. Ia sungguh bermakna apatah lagi ketika orang-orang lain mengukur kejayaan hanya melalui perolehan material semata-mata.

Memang tidak mudah untuk terus setia kepada sastera ketika semua orang sibuk mencari keuntungan material. Kedai-kedai buku dilambakkan dan dihiasi dengan novel-novel popular dan majalah-majalah hiburan. Sasterawan tidak dipandang oleh masyarakat yang lebih rela membuang masa dan wang ringgit untuk bahan-bahan hiburan. Stesen-stesen Television sibuk mengajar dan mengasuh anak-anak muda yang bercita-cita menjadi bintang ternama. Namun anugerah ini memberikan kami suatu sinar dan harapan. Ia mengingatkan bahawa penulis tetap tidak dilupai dan masih ada tempatnya di dalam dunia yang kalut ini.

Sesungguhnya saya tidak membenci atau mencemburui para penyanyi hanya kerana mereka lebih mudah menjadi kaya dari penulis atau kerana mereka lebih dikenali dari sasterawan. Saya hanya berharap agar lagu-lagu yang dinyanyikan mengandungi mesej yang baik dan bermakna dan dapat meninggikan pemikiran masyarakat. Kebanyakan Puisi Melayu tradisional juga disebarkan melalui nyanyian. Contohnya syair dan nazam yang mempunyai melodi yang indah yang semakin jarang didengari pada hari ini. Sejenis puisi Melayu iaitu pantun terus hidup subur dan masih popular pada hari ini kerana dijadikan senikata lagu dan dinyanyikan di dalam lagu-lagu popular. Saya juga mula tertarik kepada puisi bila sering mendengar syair di masa kecil. Dengan ini izinkan saya mengakhiri ucapan ini dengan membaca serangkap syair.


Bukannya muda menyusun madah

Menjunjung kasih menerima anugerah

Di Majlis gemilang sangatlah indah

Pohon ampunkan silap dan salah

Monday, March 23, 2009

Inilah yang saya maksudkan dengan cerita Pak Pandir. Semua orang ketawa melihat kebodohannya tetapi tidak siapa menghulurkan bantuan kepada anaknya yang sedang kepanasan.

Untuk itu saya menulis sajak menangislah anak pak pandir yang dimuatkan dlm antologi salasilah (terbitan dewan bahasa 2005). Pernah saya deklamasikan dlm perasmian satu simposium mengenai pemikiran Melayu yang dirasmikan oleh Raja Nazrin, di Ipoh Perak.

Tak begitu pasti apa namanya simposium tersebut. Dewan Bahasa pun terlibat sbg penganjur bersama Kerajaan Perak.Sudah beberapa tahun yang lepas. Insya Allah saya akan semak balik dan berikan nama dan tarikh yang tepat.


Semakin kuat aku menjerit
semakin kuat mereka ketawa
ini adegan jenaka
semakin mereka tergelak
gelak yang rancak
gelak yang galak

Tak siapa menghulurkan tangan
menyelamatkan aku daripada kematian
lalu aku mati
sebagai mangsa
kebodohan
lalu aku mati
kerana keseronokan bangsa
mentertawakan kesilapan
tetapi tidak bertindak
untuk membetulkan kesilapan

Itulah dua rangkap akhir sajakku yang memperkatakan perkara tersebut.

menangislah anak pak pandir- antologi salasilah (dbp. 2005hlm 82-83.)

Sunday, March 22, 2009

Saya selalu memikirkan

1- KALAU BENAR PADI MENJADI EMAS DI BUKIT SIGUNTANG
SIAPAKAH YANG TELAH MENUAI EMAS ITU?

Kerana daulat anak-anak raja
padi pun berbuah emas
tetapi siapakah yang telah menuainya
kita tidak tahu sebab pada masa itu (hingga sekarang ini)
kita sibuk mengadakan upacara demi upacara demi upacara untuk menobatkan raja
dan kita sibuk menyusun jari sepuluh, menyusun ayat-ayat yang
indah untuk menyatakan taat setia seorang hamba.

Pendek kata, kita sibuk hendak menjadi hamba
hingga kita lupa hendak menjadi kaya.

Tidakkah anda fikirkan juga?

2. Kalau Hang Jebat tidak menderhaka
Hang Tuah tidak akan dipanggil pulang ke Melaka
mungkinkah kita telah lupa pada Hang Tuah hari ini?


3. Tidak kejamkah kita bersorak riang sewaktu Hang Tuah membunuh Taming
Sari? Mengapa kita seronok melihat mereka berdua bertikam? Bukankah lebih
baik kalau Hang Tuah dan Taming Sari bekerjasama untuk menjaga rakyat
Nusantara.


4. Ketika Pak Pandir memandikan anaknya dengan air panas kita ketawa
terbahak-bahak. Kita asyik mengutuk kebodohan Pak Pandir hingga kita lupa
menyelamatkan anaknya yang mati kepanasan.

Memang kita bangsa yang cepat tergelak
tetapi lambat bertindak.

WAHAI ANAK-ANAK MELAYU, JAWABLAH
Gambar ini diambil di Dewan INTEKMA, UiTM, Shah Alam . Cucuku Ilham Rania bersedia untuk naik ke pentas mengambil 'ijazah'nya yang pertama. Jalan baik-baik Rania. Tok doakan Rania akan menaiki pentas untuk konvo-konvo seterusnya.

Saturday, March 21, 2009

Kerana daulat raja
padi pun berbuah emas
tetapi siapakah yang telah menuainya?

Saya berpendapat bahawa bangsa Melayu telah diberikan banyak peluang Kita amat kaya dengan peluang. Kita berpeluang memiliki sejarah yang gemilang. Kita berpeluang menjadi tuan di tanah air sendiri. Kita dilimpahkan dengan peluang di dalam DEB. Kita diberi peluang menikmati insentif dan subsidi. Tetapi di mana silapnya?

Dan saya pun pernah bergurindam di sana sini

Orang kita banyak peluang
Di tanah air yang kaya raya
Sedang kita kaya peluang,
Orang lain berpeluang kaya

Sejak zaman Melaka kita telah memiliki empayar besar termasyhur di dunia. Cuba bayangkan jika raja-raja kita menggunakan segala kuasa untuk melindungi bangsa, tentu kita akan menjadi bangsa terkuat di dunia.

Memang tidak akan habis-habis jika hendak bercakap tentang raja dan kerajaan Melayu.Almaklumlah kisahnya sangat panjang, plotnya sangat tegang, khayalannya merewang-rewang, sejak dari zaman Bukit Siguntang hingga ke zaman sekarang.

Semasa tiga orang putera Raja Suran sampai di Bukit Siguntang, konon ceritanya, habislah padi menjadi emas, berelung-relung banyaknya. Rakyat jelata pun terkejut dan merasa kagum yang amat sangat melihat putera bertiga itu. Maka sibuklah rakyat jelata membuat persiapan untuk mengangkat mereka menjadi raja dan yang dipertuan bagi segala orang Melayu.

Sayang seribu kali sayang, ketika rakyat Melayu sibuk bersiap-siap untuk menjadi hamba yang taat setia, mereka lupa untuk mengambil emas yang berkilau-kilauan di depan mata.

Insya Allah, Raja-Raja Melayu akan kekal di atas takhta. Tetapi nasib bangsa Melayu belum tentu akan terbela. Hal-hal ini mengganggu fikiran lalu saya sajakkan:


Hingga kini kita tak perlu bimbang
kekalnya raja yang dirajakan
di atas Bukit Siguntang
namun kita lupa
segala emas, perak dan suasa
siapakah yang menuainya
ketika kita sibuk berupacara.

Saya perturunkan sajak Kilauan Emas Bukit Siguntang, Salasilah hlm. 13-15.


Kilauan Emas Bukit Siguntang

Maka nenek pun bercerita lagi
entah untuk ke berapa kali
agar cucu ingatkan asal
adat pokok ada berakar
adat hujung ada berpangkal.

Asal mula pertama mula
kita ini orang berbangsa
negeri bergelar negeri beraja
raja berdaulat mulia keturunan
pancar daripada Iskandar Dzulkarnain
penakluk seluruh daratan
datang kepada Raja Suran
yang turun ke dasar lautan
menemui Puteri Mahtabul Bahri
lalu berkahwin dan berketurunan.

Sehinggalah pada malam itu
tiga bersaudara putera Raja Suran
naik ke bumi bagai dipesan
sampai ke tanah Palembang
di atas Bukit Siguntang
tanah huma luas terbentang
tiba-tiba menjadi terang benderang.

Pemilik huma, Wan Malini dan Wan Empok
ketakutan melihat dari pondok
tidak pernah kita memandang
cahaya sebegini terang
jin atau pari-parikah yang bertandang
atau naga Sakti yang menyerang.

Esok pagi terjaga
Mereka turun ke tanah huma
terkejut tidak percaya
melihat bumi memancarkan cahaya
padi sudah menjadi emas
daunnya bertukar perak
tangkainya beralih suasa.

Ditemui putera tiga bersaudara
anak-anak Raja Suran
yang elok tiada bandingan
lengkap berpakaian kebesaran
lengkap bermahkota berkilauan
mahkota bukan sebarang mahkota
diambil dari peti Nabi Sulaiman
padi berbuah emas
berdaun perak
bertangkai suasa
kerana kebesaran mereka.

Nenek beralih simpuh bersedia meneruskan cerita
malam diserang jemu
nenek diserang cucu
berkali-kali sudah kami dihidangkan cerita
anak raja itu pun dirajakan di dunia
sibuklah segala rakyat jelata
menyediakan istiadat pertabalan
berpesta dan beraya.

Nila Utama menjadi Sang Sapurba
berwaadat dan berteguh janji dengan
Demang Lebar Daun
dan kita pun menjadi rakyat setia
bertahun-tahun berkurun-kurun.
Tetapi nenek tidak pernah menyebut
apa terjadi dengan segala emas
segala perak
dan segala suasa
yang dikatakan memancar menyala-nyala
di tanah huma saujana huma
siapakah yang menuainya
bagaimana is dipergunakan
dengan emas itu sewajarnya
kita telah menjadi bangsa terkaya.

Hingga kini kita tak perlu bimbang
kekalnya raja yang dirajakan
di atas Bukit Siguntang
namun kita lupa
segala emas, perak dan suasa
siapakah yang menuainya
ketika kita sibuk berupacara.

Thursday, March 19, 2009

KALAU JEBAT TIDAK MENDERHAKA
ADAKAH KITA AKAN INGAT KEPADA HANG TUAH HARI INI?

Kongres Kebudayaan Melayu ke 2 telah diadakan pada 16 dan 17 Mach di Wisma Sejarah Kuala Lumpur.

Antara yang hangat diperbincangkan di situ sudah tentulah tentang nasib Melayu, survival bangsa Melayu dan pentingnya mempertahankan kedudukan raja-raja Melayu.

Prof Abdullah Zakaria meriwayatkan dengan panjang lebar kisah kewujudan raja dan sultan-sultan di Tanah Melayu. Dewan semakin panas bila beliau menceritakan bagaimana berkuasanya British di dalam menentu dan mencorakkan hal-hal raja dan kerajaan ini.

Saya terfikir apakah segala yang diriwayatkan oleh Abdullah Zakaria kepada peserta kongres itu telah pernah diceritakan kepada semua raja-raja Melayu agar baginda-baginda itu sedar dan insaf untuk menjaga diri jika tidak sejarah akan berulang lagi?Ya, memang kita mahu mempertahankan ketuanan Melayu. RAJA dan takhta adalah lambang ketuanan Melayu. Saya pun teringat kepada sajak saya Korban Hang Tuah yang diperkatakan oleh Raja Nazrin, Pak Lah dan Hishamuddin.

Dan saya terfikir, alangkah bertuahnya bangsa Melayu jika raja dan pemimpin yang berkuasa telah telah menaungi dan membela kita. Saya percaya dengan kekuatan raja-raja dan keikhlasan pemerintah hari ini kita telah menjadi bangsa yang kuat di dunia.

Tetapi mengapa kita tidak menjadi bangsa yang kuat? Setiap hari kita bercakap tentang martabat Melayu yang semakin terhakis.

Maka bangunlah rakyat yang berani menyoal. Maka berderetanlah penulis-penulis blog yang berani bersuara.

Antaranya menyebut "Kami setuju tanpa ragu-ragu I bahawa kedudukan, martabat dan maruah orang Melayu kini kian terancam. Rakyat Melayu marhaen berada dalam posisi yang membimbangkan kerana semakin tertindas dan terpinggir dari segi ekonomi dan politik.

Namun, soalnya, siapa yang menindas dan meminggirkan umat Melayu?

Orang Cina? Kaum-kaum 'pendatang' lain yang sudah terlalu lama menjadi setinggan di Tanah Melayu?

Parti Cinakah yang memimpin Malaysia semenjak Merdeka lima puluh tahun lalu sehingga sekarang?

Apakah orang 'pendatang' yang menjawat jawatan tertinggi dari hari pertama Malaysia merdeka?

Kesusahan yang dihadapi oleh orang Melayu sekarang sebenarnya kesusahan yang dihadapi setiap rakyat Malaysia pada saat gentar ini - ekonomi negara yang meleset, harga barang yang melambung, ketidakpedulian kerajaan dan pihak-pihak berkuasa terhadap cabaran yang dihadapi mereka setiap hari.

Kata banyak orang: Punca masalah-masalah ini adalah pemimpin-pemimpin yang sanggup menggadai maruah rakyat dan bangsa untuk memperkayakan diri sendiri.

Hang Tuah dan ketuanan Melayu.
Ya, memang kita akui bahawa RAJA dan takhta adalah lambang ketuanan Melayu. Hang Jebat telah menderhaka lalu dia dikutuk.

Namun ada soal-soal lain yang perlu kita fikirkan.
- Apa akan terjadi kalau Jebat tidak menderhaka? Maksud saya, apa akan jadi kepada Hang Tuah jika Jebat patuh kepada amanatnya untuk setia kepada Sultan?

Kata saya kalau Hang Jebat tidak menderhaka sudah tentu Tuah tidak akan dipanggil balik ke Melaka. Hang Jebat dan penderhakaannyalah yang menyebabkan Sultan dan orang-orang Melaka ingat kembali kepada Hang Tuah. Jika tidak Hang Tuah akan berterus-terusan duduk di dalam hutan sehingga dia mati dan dilupakan. Jika Hang Jebat tidak menderhaka kita tidak akan ingat kepada Hang Tuah sepertimana kita mengingatinya pada hari ini.

Hal ini telah saya kemukakan di dalam sajak JEBAT YANG TIDAK JADI MENDERHAKA yang dimuatkan di dalam antologi Salasilah (DBP 2005, hlm 36-37).



Jebat yang Tidak Jadi Menderhaka

Sepanjang hidupnya
Jebat mendengar Tuah berkata:
pantang Melayu menderhaka.

Kata-kata itu diulang-ulang
pantang Melayu menderhaka
pantang Melayu menderhaka.

Tuah mengajar mereka menghafalnya
Tuah meminta mereka berjanji
untuk mentaati.

Sehinggalah pada hari itu
Tuah dihukum tanpa usul periksa
Tuah yang setia dituduh menderhaka
Tuah yang dikasihi dihukum mati
siapakah yang dapat berdiam diri.

Dengan marah yang menggelegak
Jebat mahu memberontak
tetapi dia tergamam
terbayang wajah Tuah
bersungguh-sungguh meminta
agar tidak menderhaka
kata-kata orang yang disayangi
memang selalu dikenang
amanat orang yang disayangi
akan tetap dipegang
jika Jebat menderhaka
akan tercemar persaudaraan mereka.

Kerana kasihnya kepada Tuah
Jebat tidak jadi membantah
dia pun tunduk
menerima segala tugas can anugerah
yang telah dilucutkan daripada Tuah.

Tidak ada apa-apa
yang berlaku di Melaka
kerana Jebat tidak jadi menderhaka
tidak ada apa-apa yang mengganggu
ketika raja lena beradu
didodoi dayang diulit lagu.

Kerana Jebat tidak menderhaka
Tuah tidak dijemput pulang ke Melaka
Hiduplah dia di hutan
sehingga mati dan dilupakan.