ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Friday, November 11, 2005

Pada 18 November ni, aku akan bercakap tentang pengalaman menulis memoir di hotel Marriot PutraJaya. Berikut ialah kertaskerja yang telah dihantar kepada pihak penganjur , Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia

PENGALAMAN MENULIS MENJEJAK PUISI
Pada pertengahan tahun 1997 saya memilih untuk bersara dari Perkhidmatan Kerajaan (jawatan ketika itu Ketua Caw. Bahan dan Pengurusan Maklumat (Information Management) Tindakan bersara bukan kerana satu sebab tetapi kerana pelbagai sebab, masalah yang kait berkait.

Beberapa bulan kemudian saya bercakap dengan Prof. Muhammad Haji Salleh lalu timbul soal saya menjadi Karyawan Tamu di ATMA ,UKM.

Saya membuat permohonan rasmi dan mendapat surat tawaran bertarikh 9 Mac. 1998 untuk tempoh satu tahun. Saya mendaftar , kalau tak silap pada 15 Mac.1998 bermakna perkhidmatan saya tamat pada 15 Mac tahun berakhirnya.

Bidang tugas sebagaimana dalam surat perlantikan ialah “Sebagai seorang Karyawan Tamu puan adalah diminta untuk menjalankan projek penulisan mengenai “Pengalaman Berkarya dan Proses Kreatif Terutamanya Dalam Menghasilkan Sajak”. Diminta siapkan dalam tempoh setahun.

Lantikan saya adalah secara jarak jauh. Prof. Muhammad ada menyebut yang ketika itu UKM kekurangan budget, lebih baik saya bertugas secara jarak jauh yang bererti saya menerima honorarium kurang ( hampir separuh) dari bayaran secara biasa. Jarak jauh juga bererti saya tidak perlu datang selalu ke UKM. saya menulis dari rumah dan hanya perlu tunjuk muka sekali sekala.Manakala dengan cara biasa (dibayar RM 3,000 sebulan saya perlu berada di sana tiga empat hari seminggu.

Begitulah kira-kira yang dikatakan oleh Prof Muhammad. Sebenarnya saya tidak perlu memahaminya sangat secara detail kerana saya sudah pun tertarik dengan konsep jarak jauh itu Tanpa perlu berfikir panjang saya telah memilihnya. Sebab tujuan utama menjadi karyawan tamu ialah untuk menulis dan menyelesaikan tulisan itu. Yang penting bukan jumlah RM yang diberikan sebagai saguhati karyawan Tamu. Matlamat utama ialah saya menghasilkan sebuah buku.

Kalau dengan cara pertama memang saya tak yakin akan dapat lakukannya.Tak yakin akan terlaksana sebab saya berkira-kira tentu banyak masa yang habis di jalanan. Pagi-pagi habiskan masa bersiap, pakai baju, memandu kereta dari Shah Alam ke UKM. Kalau mula bersiap jam 8 pagi mungkin sampai di sana 9.30 pagi (kalau tak tersekat dalam jem) parking kereta, berjalan ke pejabat, memberi salam sana salam sini, masuk bilik, rehat (kerana dah penat) menunggu sudah cool down dan datang mood baru buka computer . Mungkin dekat jam 11 baru nak mula menaip. Selepas itu makan tengahari, sembahyang. Sekejap sahaja hari pun beransur petang .Bersiap pula untuk pulang.

Cara yang kedua lebih baik. Saya boleh menulis bila-bila masa. Itu pun bukan setiap hari kita boleh menulis. Tentu ada hal-hal lain (masyarakat, kekeluargaan) yang perlu diberi perhatian. Kalau dengan cara pertama memang saya tak boleh handle.
Alhamdulillah akhirnya terhasillah Memoir ini.

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan berbanyak Terima Kasih kepada UKM (ATMA yang memberi peluang dan Penerbit UKM yang mengerjakan penerbitannya.Saya berharap universiti-universiti lain akan meniru cara UKM ini , iaitu memberi pilihan kepada Karyawan Tamu untuk buat jarak jauh atau jarak dekat. Sebenarnya selepas tamat di UKM ada sebuah universiti lain mahu menawarkan jawatan Karyawan Tamu itu tetapi saya perlu berada hampir sepenuh masa di sana. Saya lebih berminat cara UKM tapi mereka kata tak ada scheme yang begitu.

Apa yang hendak saya tekankan di sini , kalau hendak ‘berjaya’ kita mesti melihat dan merancang dari awal.dalam apa rancangan sekali pun . Kta orang Be clear dengan matlamat kita dan sesuaikan waktu kerja dengan cara hidup kita yang berlainan di antara satu sama lain. Ada orang boleh tumpu menulis berjam-jam. Ada yang macam saya menulis sekepa-kejap sambil membuat kerja rumah dan lain-lain.. Semua penulis tak sama. Ada yang boleh tulis macam-macam dalam suatu masa. Saya tak boleh buat begitu. Saya lebih selesa untuk beri tumpuan untuk satu perkara dalam satu masa.

Bila mendapat surat tawaran sebagai Karyawan Tamu surat itu mengatakan untuk menulis tentang Proses Kreatif dan Pengalaman Berkarya. Saya memulakan dari awal bagaimana saya menceburkan diri di lapangan ini. Apakah latar belakang dan kehidupan masa kecil yang membentuk pemikiran saya hingga suka menulis. Apakah halangan-halangan keluarga dan halangan-halngan budaya yang mungkin melemahkan kreativiti seorang penulis terutamanya wanita seperti saya. Sebahagian besar buku ini ialah pengalaman dan kisah yang melahirkan sesebuah puisi. Saya rasa itulah sahaja kekuatan yang ada pada saya kerana saya tidak mempunyai pengalaman dalam persatuan penulis, peristiwa penting bahasa/sastera/budaya
Saya mula menulis, setiap hari. Tulis dahulu apa yang saya ingat tanpa terlalu memikirkan tentang keindahan bahasa. Tulisan yang siap saya serahkan kepada Pengarah ATMA secara berperingakt-peringkat setiap dua bulan atau tiga bulan sekali. Saya namakan Proses Kreatif dan Pengalaman Berkarya Bahagian I, kemudian Bahagian II, Bahagian III dan seterusnya . Ini juga diperlukan sebagai laporan kemajuan oleh pihak UKM.
Menjelang tamatnya perkhidmatan saya tulisan itu boleh dikatakan siap. Tetapi hanya secara kasar sahaja Selepas 15 Mac 1999 saya memohon izin untuk memperbaiki , menghalusi dan merapikan karya saya itu sebelum dikemukakan untuk tujuan penerbitan. Saya tidak ingat bila saya akhirnya menghantar manuskrip atau versi yang muktamad dengan judul Menjejak Puisi. Barangkali juga pada bulan-bulan terakhir tahun 1999. (kemudian ditambah oleh Penerbit menjadi :Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi).
Seperti dengan buku-buku lain, setelah menghantar manuskrip, saya jarang memikirkannya lagi kerana saya perlu menumpukan masa untuk projek baru. Projek seterusnya ialah menulis tesis untuk mendapatkan ijazah Sarjana dari UPM, diikuti dengan menulis sajak-sajak berunsur historisisme baru yang sepatutnya sudah terbit pada bulan Oktober 2005 tetapi belum kelihatan dan mengikut editornya di Dewan Bahasa, tunggulah dalam sehari dua lagi.
Kalau tak silap saya pada pertengahan tahun 2000 saya mendengar seseorang berkata yang manuskrip saya itu sedang disemak dan dibaca maknanya dipertimbangkan untuk penerbitan. Pada tahun kemudiannya (2001) terdengar khabar yang ia akan diterbitkan. Tentulah hal ini cukup menggembirakan bagi seorang penulis. Pada tahun 2002 berlaku beberapa perbincangan, semakan, pembetulan dan sebagainya. Sdr. Roosfa beberapa kali ke rumah saya untuk melihat dan memilih gambar dan sebagainya. Akhirnya buku ini terbit pada tahun 2003.
Saya gembira buku ini menerima Hadiah Buku Perpustakaan Negara .Hadiah ini adalah untuk buku-buku yang bukan kreatif (bukan novel) Ini sangat bermakna kerana buku ini dipertandingkan dengan buku-buku yang diterbitkan pada 2002/2003 dalam semua bidang ilmu.
Bersyukur saya kerana bila buku ini sekeli lagi menerima Hadiah Sastera Perdana. Hadiah Sastera Perdana 2002/2003. dan telah diulas dengan panjang lebar oleh Dr.Sohaimi Aziz dalam Seminar di Universiti Sains Malaysia pada 18 Disember 2004. Rencananya tersiar di Dewan Sastera Mac 2005 .
Kepada yang telah membaca buku ini saya ucapkan Terima Kasih. Saya sedar bahawa masalah kita yang terbesar ialah kurangnya masa atau minat untuk membaca. Ini juga yang menjadi keluhan Usman Awang sebelum beliau pergi mengadap Ilahi. Kata Usman, “orang kenal saya tapi orang tak membaca karya saya”.
Mereka yang membaca ini mungkin telah bertemu kelemahan di sana sini, jangan bimbang untuk memberitahu saya kerana saya juga bersetuju dengan anda yang buku ini ada kelemahannya. Bukan sahaja pada buku ini malah setiap buku yang saya terbitkan saya pasti akan menemui dan merasakan kelemahan. Tapi itu perkara yang tidak dapat dielakkan. Jika seorang penulis tidak mahu menerbitkan buku kerana takutkan kelemahan, tentu tidak ada buku yang boleh diterbitkan.

Oleh itu kurangkan risau, banyakkan menulis. .