ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Monday, April 28, 2008


Sekarang ini orang rancak bercakap tentang hal-hal berbangkit berikutan PRU 12. Saya pun sangat berminat . Antara isu panas sehari dua ini ialah kisah pembubaran Balkis. Saya ini tidaklah begitu arif tentang perlambagaan Balkis dan hal-hal berkaitan undang-undang. Tapi yang saya hendak tahu ialah apakah niat, maksud atau tujuan Pengerusi dan ajk Balkis membubarkan persatuan itu?Apakah perlunya persatuan itu dibubar? Kalau semua orang jujur mahu berkhidmat kepada masyarakat, bukankah elok kerja-kerja amal itu diteruskan walaupun Pengerusi dan ajk terpaksa diganti.


Tahniah kepada yang menang, tidak kira dari parti manapun. Saya ucapkan selamat berkhidmat. Di sini ada sebuah puisi untuk tuan-tuan yang berhormat.

PERIBAHASA UNTUK Y.B.

Tuan Yang Berhormat

Tuah ayam nampak di kaki

tuah YB di peti undi

adat kerbau dipegang tali

adat YB dipegang janji

adat orang mencari ganti

lapuk ditukar kosong diisi.

Tujuh tahun gunung terbakar

baru sekarang nampak apinya

datang pasang pantai bertukar

pecah royong dapat sagunya

Tuan Yang Berhormat

Jernih di hulu jernih di hilir

baik di awal sampai ke akhir

jangan berjanji tetapi mungkir

bagai tebu tumbuh di bibir.

Kilat memancar guruh berbunyi

jangan pula hujan tak jadi

luas kebun berpagar duri

jangan pagar memakan padi

Cakap siang pandang-pandang

kerana lidah tidak bertulang

tanamlah padi jagalah bendang

jangan sampai suburnya lalang


Naik YB naik disanjung

jangan kaduk yang naik junjung

hina besi kerana karat

hina pemimpin menipu rakyat

Monday, April 21, 2008

Saya ada menulis tentang satu cabang Puisi Melayu Tradisional iaitu Nazam. Saya turunkan serba sedikit dari artikel tersebut. Kalau anda ada maklumat yang boleh memperluaskan pengetahuan bersama sila beri maklumbalas.

Nazam ialah puisi yang berasal dari kesusasteraan Arab-Parsi. Mengikut Kamus Dewan (1994:858) “Nazam” ialah perkataan Arab yang bermaksud gubahan puisi seperti sajak dan syair, ”bernazam” adalah bercerita dengan lagu, bersajak atau bersyair, manakala menazamkan bermaksud menceritakan dengan lagu atau mengubah dan menyajakkan. Kamus Dewan juga memberikan kata lain yang digunakan untuk nazam iaitu nalam. Mengikut Kamus At-tullab Arab-Melayu (1994:) nazam dalam bahasa Arab bererti merangkai, mengarang, menyusun dan mengatur. Makna ini termasuklah merangkai, mengarang dan menyusun kata-kata dalam mencipta puisi. Dalam Kamoes Bahasa Minangkabau-Bahasa Melayoe Riau, (Jakarta,1935) tidak dijumpai kata "nazam", namun dapat disamakan dengan "nalam", iaitu banalam (bernazam) ialah bertjerita dengan lagu terutama tentang agama atau yang berisi pengajaran. Dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia,terbitan Balai Pustaka 1988, ditemukan kata "nalam" dan "nazam". "Nalam" adalah gubahan sajak (syair, karangan); sementara bernalam, bermaksud membaca puisi atau bercerita dengan lagu; bersajak (bersyair). Mengikut Kamus Umum Bahasa Indonesia (1984) mengatakan "nalam": gubahan sajak, syair atau karangan); "bernalam" bermakna bersajak atau bersyair; bercerita dengan lagu; "menalamkan" adalah menyajakkan; menceritakan dengan lagu.
Definisi-definisi di atas menunjukkan bahawa dalam bahasa asalnya, nazam bermakna puisi secara umum. Di samping itu istilah ‘bernazam’ pula digunakan bagi maksud berlagu. Di dalam hal ini istilah Nazam mengalami kedudukan yang sama dengan istilah syair dan gurindam. Ketiga-tiga perkataan itu diambil dari bahasa asing. Syair dan nazam diambil dari bahasa Arab, gurindam pula berasal dari bahasa Tamil. Ketiga-tiga perkataan ini bermaksud gubahan puisi secara umum di dalam bahasa asal masing-masing. Setelah diterima ke dalam bahasa Melayu perkataan-perkataan ini kemudian mengalami pengubahsuaian dan digunakan sebagai istilah teknikal yang merujuk kepada sesuatu jenis puisi yang mempunyai struktur, isi dan fungsi yang tersendiri. Perkataan nazam yang digunakan sebagai istilah teknik kepada suatu jenis puisi mula ditemui dalam Tajus Salatin yang dikarang oleh Bokhari al-Jauhari kira-kira dalam tahun 1603.

Istilah nazam dalam konteks puisi Melayu tradisional yang diterima pada masa ini merujuk kepada sejenis puisi tradisional yang mempunyai beberapa ciri khas. Ciri-ciri utama nazam adalah seperti di bawah:
1. Gubahan puisi yang mengandungi dua baris serangkap. Dalam aspek ini ia menyerupai pantun dua kerat tetapi tidak mempunyai pembayang maksud. Kedua-dua baris adalah maksud.
2. Skima rima Nazam ialah a-a, b-b. Namun begitu skima rima ini tidaklah terlalu rigid. Terdapat nazam yang selepas beberapa rangkap, skima rimanya menjadi agak longgar.
3. Lazimnya, tiap-tiap baris nazam terdiri daripada lima atau enam perkataan menjadikan sukukata antara sepuluh hingga dua belas. Namun begitu ada juga yang lebih daripada enam perkataan dan mempunyai hingga 20 sukukata.
4. Bilangan baris pada sesuatu nazam adalah tidak terhad. Ada nazam yang panjang hingga seribu rangkap.
5. Nazam adalah puisi yang bertemakan keagamaan seperti menceritakan tentang hukum hakam dan kisah kehidupan Nabi Muhammad saw.
6. Dari sudut gaya bahasa, terdapat banyak penggunaan perkataan Arab.
7. Ciri signifikan dalam Nazam ialah ia dimulakan dengan puji-pujian terhadap Allah dan selawat ke atas Nabi. Baris yang berupa puji-pujian dan selawat ini diulang-ulang hingga ke baris akhir.
8. Nazam biasanya disampaikan dengan lagu yang agak rancak,lazimnya diiringi paluan rebana
9. Pada masa ini nazam biasanya dinyanyikan dalam majlis-majlis berendoi dan majlis-majlis keagamaan yang lain

Perkembangan Nazam di Tanah Melayu
Nazam tidaklah begitu terkenal seperti pantun dan syair. Tidak banyak penyelidikan yang telah dijalankan ke atasnya. Bahkan, Vladimir Braginsky (2004:491) berpendapat bahawa hanya dua subgenre puisi tradisional yang masih subur di dalam kesusasteraan Melayu bertulis iaitu pantun dan syair. Perkembangan nazam hanya terbatas kepada beberapa buah negeri, iaitu Terengganu, Pahang dan Melaka sahaja.

Mengikut sejarah, nazam dibawa ke Asia Tenggara pada abad ke 16 oleh pedagang dan alim ulama yang menyebarkan agama Islam ke Alam Melayu. Nazam, di samping syair, adalah puisi yang lahir dari kedatangan dan perkembangan kesusasteraan Islam sejak zaman Kerajaan Pasai hingga ke empayar Melayu Melaka. Mereka menggunakan nazam untuk menyampaikan ajaran Islam, mengajar hukum hakam dan kisah Nabi-nabi.

Selepas kejatuhan Melaka, Aceh telah muncul sebagai pusat perkembangan dan kekuatan kesusasteraan Islam. Di sinilah lahirnya pengarang dan pujangga Melayu yang turut menghasilkan karya-karya agung. Pada peringkat awal, pengarang-pengarang Aceh telah memperkenal dan menterjemah karya-karya Arab dan Parsi ke dalam bahasa Melayu. Hal ini dituruti dengan percubaan untuk mencipta puisi dalam bahasa Melayu dengan menggunakan gaya atau metrum puisi Arab Parsi. Kegiatan ini menyuburkan perkembangan syair dan nazam.

Hasil usaha pengarang-pengarang Aceh ditemui di dalam sebuah naskah pada 1296H/1879M. Di dalamnya terdapat terdapat sebuah puisi diberi jodol Aqidat al ’Awam.
Akan nadham ini Aqidat al ’Awam
Daripada yang wajib bagi agama sudah tamam

terjemah nadham tiada boleh disebutkan
kerana gharib lagi miskin kehinaan

tiada warith tiada kaum sangat terdagang
memintak sedekah mana-mana negeri orang

siapa-siapa yang kasih dengan sayang
jangan dengki jangan benci jangan wayang

kerana sebab hancur hati kedukaan
tinggal negeri tinggal kampung percintaan

siapa melihat salah silap minta maafkan
jikalau kasih dengan insaf tuan baikkan

dengan serta nahi kita loghat
serta ...........semuhanya tuan angat

empat ilmu tua sudah faham dengan tahqiq
mana yang salah tuan ubah dengan...........

jikalau tuan tiada tahu yang demikian
baik tuanku mengikut yang ada dalam suratan

satu huruf satu baris satu titik
haram atas tuan mengubahkan bertukar balik

itulah nasihat daripada hamba tuan kabul
supaya di akhirat jadi senang tiada berhadul

kerana hamba baharu datang tiada fasih
Bahasa Melayu baik tuanku tolong fasrih.

(Teuku Iskandar , 1995:438)


Karya ini merupakan puisi yang ditulis dalam dua baris serangkap dan berima di hujungnya. Pada rangkap pertama dan kedua pengarang (atau penterjemah) menyatakan usahanya untuk menterjemahkan puisi tersebut dari bahasa asing, jelasnya bahasa Arab, ke dalam Bahasa Melayu. Puisi yang sedang diterjemahkan itu diistilahkan olehnya sebagai nadham.
Di samping itu terdapat sebuah puisi yang dberi tajuk Nalam (Nazam)Peraturan Alif yang disebut oleh Braginsky (2004:752). Nalam (Nazam)Peraturan Alif berkemungkinan dikarang pada abad ke 18. Rangkap pertama dimulakan dengan huruf alif, rangkap kedua dimulai dengan huruf ba, ketiga dengan sa dan seterusnya. Nazam ini mungkin diperbaharui dan menjadi Nazam Alif Ba Ta yang agak terkenal di Perak, Melaka. Nazam Alif Ba Ta mengandungi 58 rangkap. Rangkap pertama bermula dengan huruf alif, rangkap kedua bermula dengan ba dan seterusnya.Nazam ini memperkatakan tentang kemuliaan agama Islam, khasnya tentang ketinggian ilmu dan iman.
(Aliff)Allah menjadikan kesekelian alam
Langit dan bumi, laut yang dalam

Percaya Rasul alaihissalam
Suruh dirikan agama Islam

(Ba) Baru hukum akal
Qidam dan Baqa sedialah kekal

Tak dapat lagi hendak disangkal
Jika hendak faham kajilah akal

(Ta) Tajamlah akal menuntut ilmu
Supaya jangan kita tersemu

Rajinkan belajar jangan jemu
Pada yang lain jangan diramu

(Sa) sabil tak billah liku bahri
Ilmu pengetahuan wajib dicari

Supaya menjadi lebai yang qari
Banyak rahmat Allah memberi

(jim) Jadikan Allah Tuhan yang Kaya
Nabi Muhammad Rasul yang mulia


Disuruh beriman serta percaya
Suruh menyembah Tuhan yang esa

(Ha) Hadis Quran buat ikutan
Kasi agama serta amalkan

Jangan diingkar suruhan Tuhan
Jika diingkar terimalah keazaban

(Kho) Khabar yang benar hendak dipercayai
Segi agama jangan dicemuhi

Agar hidup bahagia berseri
Rahmat petunjuk Tuhan cucuri

( sumber: Wahyunah Haji Abd.Gani, Mohamad Shaidan,2000:494-500)

Struktur Nazam.
Kedua puisi yang dipetik di atas memperlihatkan ciri-ciri nazam yang dikenali pada hari ini, iaitu puisi yang terdiri dari dua baris menepati huraian Zaaba bahawa Nazam adalah puisi yang rangkapnya dihitung dua-dua serangkap dengan skima rima a-a, b-b. (Harun Mat Piah,1994:286). Dalam hal ini ia menyerupai pantun dua kerat. Bezanya nazam tidak mempunyai pembayang maksud, kedua-dua baris adalah maksud. Serangkap nazam tidak boleh berdiri sendiri. Ciri ini juga membezakannya daripada pantun dua kerat, Sesuatu rangkap mesti dikaitkan dengan rangkap-rangkap yang lain untuk membawa satu tema utama dan tema itu adalah tema keagamaan.

Nazam juga berbeza dari syair yang kebanyakannya mengandungi empat perkataan sebaris dengan sepuluh sukukata. Rima syair ialah a-a-a-a sementara rima nazam ialah a-a atau a-b, c-b, d-b dan d-e. Skima rima ini tidak terlalu rigid dan boleh juga menjadi a-a, b-a, c-a, d-a,. Baris nazam mungkin lebih panjang daripada syair dan pantun, iaitu mengandungi lebih daripada lima perkataan dan mencapai hingga dua puluh sukukata.

Naskah awal nazam yang ditemui ditulis di dalam tulisan jawi. Dari sudut gaya bahasa nazam banyak menggunakan perkataan yang berasal dari bahasa Arab terutama perkataan yang berkaitan dengan agama Islam. Ciri yang signifikan di dalam nazam ialah ia dimulai dengan puji-pujian dan pengucapan syukur terhadap Allah SWT dan selawat ke atas nabi.
Contohnya:
Puji itu bagi Allah yang tunggal
Yang tiada ada baginya itu misal

Yang menunjuk atas wajib wujudnya
Itu oleh ni kainat samuhanya

Maka salatul-Llah dan salamnya
Itu turun kedua atas Rasul-Nya

Muhammadin yang dibangkit akan dia
Dengan surah tauhid Tuhan yang sedia.

Pada masa sangat umum syiriknya
Dengan sebab sangat banyak jahilnya

Maka menunjuklah ia akan kita
Dengan bujuk bagi nasihat yang nyata

Tunjuk pula hingga perang dengan pedang
Maka nyatalah agama putih terang


Petikan di atas adalah dari Nazam al-Jawahir al-Samiyah, (sumber: Harun Mat Piah, 1977:288). Dari segi bentuk dan isinya menepati definisi nazam yang dihuraikan di atas. Sebahagian besar isinya membicarakan ilmu tauhid, iaitu mengenal dan memahami sifat 20. Terdapat kosa kata dari Bahasa Arab dan istilah agama seperti salatul-Llah, surah, tauhid, Rasul. Syirik dan sebagainya.

Baris-baris yang mengandungi puji-pujian ini diulang-ulang supaya dapat memberi kesatuan tema kepada keseluruhan nazam yang disampaikan. Dan ini memberikan kesatuan dan ikatan seperti tali yang merangkai bait-bait atau rangkap-rangkap tersebut. Ciri-ciri ini selaras dengan makna nazam pada asasnya iaitu merangkai misalnya merangkai mutiara atau merangkai bunga-bunga pada satu tali.

Nazam berfungsi sebagai media pembelajaran agama, khasnya untuk masyarakat yang tidak mahir di dalam bahasa Arab dan tidak mampu membaca kitab-kitab yang lebih tebal. Hal ini jelas dinyatakan di dalam Nazam Mukadimah daripada kitab Tanbih al-Kusla:
Telah tamat nazam ini dengan berkat
Nabi kita yang dibenarkan mukjizat

Aku nama nazam ini Mukadimah
Bagi orang baru belajar ilmu Allah

Ini bermakna dari segi isi, nazam tidaklah seluas pantun dan syair yang meliputi seluruh bidang dan kehidupan manusia. Syair juga pada mulanya digunakan untuk tujuan menyampaikan ajaran agama. Namun syair telah mengalami perubahan dan digunakan untuk menyampaikan cerita sejarah, cerita hikayat dan sebagainya. Dari aspek isi, Nazam juga menyerupai berzanji yang mengandongi doa-doa, puji-pujian dan penceritaan riwayat Nabi Muhammad saw. yang disebutkan berturut-turut iaitu salasilah keturunannya, masa kanak-kanak, remaja, pemuda, hingga diangkat menjadi rasul. Di dalamnya juga mengisahkan sifat-sifat mulia yang dimiliki Nabi Muhammad, serta berbagai peristiwa untuk dijadikan teladan umat manusia.


Selain menyampaikan pengajaran agama, nazam juga telah digunakan bagi menyampaikan nasihat dan panduan kepada pemerintah dan pemimpin. Contoh nazam yang demikian ditemui dalam Tajus Salatin yang berbunyi:
Bahawa bagi raja sekalian
Hendak ada menteri demikian

Yang pada suatu pekerjaan
Sempurnakan segala kerajaan

Menteri inilah maha tolan raja
Dan peti segenap rahsianya sahaja

Kerana kata raja itu katanya
Esa ertinya dan dua adanya

Maka menteri yang demikian perinya
Ada keadaan raja dirinya

Jika raja dapat adanya itu
Dapat peti rahsianya itu.
(sumber: Harun Mat Piah, 1989:283).


Mengikut Zaaba naskah nazam yang terkenal ialah kitab Kitab Kanz al-’Ula yang dikarang oleh Al-Syed Muhammad bin Syed Zainal Abidin al-Idrus yang terkenal dengan nama Tuk Engku Besar Terengganu. Tuk Engku Besar Terengganu juga telah mengarang beberapa buah buku agama yang ditulis dalam bentuk nazam. Sebuah daripadanya terbit beberapa kali dan luas penyebaran khususnya di Terengganu. Nazam yang ditemui termasuklah Tahfat al-Wildan, Mokhtasar, al-Jawahir al-Saniyyyah, Sirat al-Nabawiyyah, dan Sullammal-Taufiq. Kebanyakan nazam beliau mengandungi kisah hidup Nabi Muhammad sejak baginda dilahirkan.

Nazam Kanz al-’Ula menceritakan riwayat hidup Rasullullah
Saidina Muhammad itulah Rasul yang tinggi
Zat dan sifat dan nisab dan perangai yang mulia


Dan ia ituah langit yang ke atas bandingnya
Dan anbia lainnya tu bawahnya ia.
Dia iaitu matahari yang lebih cahayanya
Dan anbia lainnya itu bintangnya ia

Mana samakan dia oleh Rasul yang lain
Pada tingginya itu dan murahnya ia

Dan ialah laut yang sangat luasnya
Dan ombaknya yang limpah pada alam ini ia

Dan ialah awan yang menghamburkan hujan
Pada daratan rata dan lautnya ia

Lagi ialah angin yang dilepaskan dia
Dengan tiada hingga pada alam ni ia

Nazam juga menjadi kesenian yang dipraktikkan di Melaka. Di Melaka terdapat sebuah teks nazam berjodol Tanbih al-Kusla. Nazam tersebut adalah hasil terjemahan daripada Nzam Arzal an-Nas oleh Ahmad bin Haji Abd.Raof, yang merupakan Mufti negeri Melaka tahun 1944. Tanbih al-Kusla lebih merupakan buku permulaan dalam ilmu fikah, khususnya untuk anak-anak sekolah.

Mengikut Mohd.Ali Bachik (2004:10) perkembangan nazam di Melaka berlaku di kalangan kaum lelaki dan kaum wanita. Kaum lelaki membaca nazam di surau di antara waktu maghrib dan Isyak terutama pada bulan Rabiul Awal. Kaum wanita pula membaca nazam sambil menganyam tikar pada waktu malam.


Salami Simon (1990:56) menemui beberapa buah nazam yang ditulis dan disampaikan di dalam bahasa Jawa khasnya di daerah Sungai Besar Selangor. Nazam-nazam itu dimiliki oleh beberapa orang respondennya yang pernah belajar di pondok pengajian agama semasa mereka masih muda. Mereka memberi maklumat bahawa Nazam-nazam tersebut dilagukan selepas sembahyang fardhu sementara masuk waktu seterusnya, atau setelah selesai mengaji Al-Quran. Orang-orang perempuan, khasnya ibu-ibu dan nenek-nenek, sering menggunakan nazam untuk menidurkan anak-anak dan cucu mereka.


Lagu Nazam

Lazimnya Nazam disampaikan dengan berlagu. Secara umum lagu nazam boleh dibahagikan kepada dua kategori.
Lagu atau intonasi zikir untuk Nazam yang dibaca di surau-surau.
Lagu nasyid untuk nazam yang disampaikan di tempat-tempat keramaian khasnya majlis-majlis keagamaan.

Lagu zikir
Lagu zikir menggunakan nada yang rendah, sesuai untuk tempat seperti surau. Baris pertama dimulakan dengan intonasi panjang dan tinggi pada sukukata yang pertama, diikuti dengan pendek dan rendah pada sukukata kedua. Baris kedua dimulakan dengan pendek dan rendah pada sukukata yang pertama dan tinggi dan panjang pada sukukata yang kedua. Hal ini diulang pada sukukata ketiga dan keempat hingga ke akhir. Sukukata yang akhir setiap baris diberi penekanan, iaitu dengan lebih ditinggikan dan dipanjangkan.
Laa /i/laa /ha/ ill /lal/Lahhh /,
Mu/hamm /ma/durrr /Ra/sull /lul/Lahhh /.
Pengulangan perkataan dan ungkapan yang terdapat pada nazam adalah sesuai untuk diserapkan ke dalam zikir .

Nazam juga dibaca dengan rentak pendek panjang dan penekanan kepada sukukata yang keempat. Melodi seperti ini boleh disebut sebagai melodi terbuka dan mudah disesuaikan dengan bilangan sukakata nazam yang tidak terhad.

Ka/mi/mu/ laa /na/zam/i/ nii /de/ngan/na/ maaaa /(12 sukukata)
Al/lah/yang/memm /be/ri/fa/ hamm /kan/a/ga/ ma /12 sukukata)

Deng/ki/pa/ daaa /nya/sau/da/raaa /se/ke/ lian (11 sukukata)
Sau/da/gar/Me/ sir /ya/Al/lah/Na/bi /Yu/sof /di/jual/kan /(15 sukukata)

Lagu Nasyid
Di dalam majlis-majlis keramaian nazam dilagukan dengan lagu yang lebih rancak dan nada yang lebih tinggi untuk menimbulkan kemeriahan tetapi lembut dan terkawal sesuai dengan senikata yang berunsur keagamaan Mengikut catatan Mohd Ali Bachik (2004:15), lagu yang paling banyak digunakan untuk nazam ialah lagu yang dikenali sebagai Abdaubis yang berasal dari berzanji. Pada masa ini, lagu ini lebih popular di Tanjung Bidara dan Tanjung Keling. Terdapat beberapa versi lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan-kumpulan yang bergerak di Merlimau, Jasin, Serkam dan Muara Sungai Duyung. Terdapat juga lagu nazam yang diserapkan ke dalam lagu-lagu oleh pencipta-pencipta lagu moden. Contohnya, Seniman Agung P.Ramlee mempopularkan lagu Naam Sidi menjadi lagu Gambus Jodoh (dari filem Madu Tiga) dan Tolong Kami Bantu Kami (daripada filem Tiga Abdul). Kumpulan-kumpulan nazam semasa juga telah menggubah irama-irama baru yang sesuai untuk menyanyikan nazam untuk menjadikan kesenian ini lebih menarik khasnya untuk menarik minat generasi muda.

Perbezaan lagu nazam dan syair
Lagu nazam berbeza dari syair. Syair mempunyai bentuk melodi yang panjang, bernada melankolik, mendayu, meninggi, dan beralun. Irama nazam lebih rancak dan temponya cepat. Lagu nazam lebih mudah dan tidak memiliki range nada yang terlalu tinggi atau terlalu rendah yang mencabar kemampuan seorang penyampai. Jika syair merupakan persembahan yang dibawa oleh tukang syair yang dianggap mempunyai kebolehan istimewa, maka nazam lebih merupakan partisipasi bersama. Orang ramai yang datang ke sesuatu majlis seringkali akan turut bernazam bersama-sama ahli kumpulan. Nadanya lebih rendah dan tidak memerlukan lantunan atau ketinggian suara atau pernafasan yang baik . Melodi syair hanya dapat dibawa dengan baik jika bilangan sukukata tidak melebihi lapan. Keharmonian irama syair akan terjejas jika bilangan sukukata tidak terkawal. Hal ini tidak terjadi di dalam nazam kerana iramanya boleh disesuaikan dengan panjang pendek sesuatu baris. Nazam boleh dinyanyikan tanpa muzik pengiring dan boleh juga diiringi dengan alat muzik percussion seperti gendang dan rebana. Nazam biasanya dinyanyikan secara beramai-ramai sedangkan syair disampaikan secara solo dan memerlukan vokal yang baik.

Berbeza dari syair yang berkembang di pentas-pentas persembahan khasnya bangsawan, nazam lebih merupakan aktiviti rakyat yang dilagukan di kampung-kampung terutama di tempat-tempat belajar agama. Lagu-lagu nazam biasanya disampaikan secara beramai-ramai oleh murid-murid sekolah agama rakyat. Tujuannya untuk memudahkan pelajar-pelajar mengingati dan menghafal bahan-bahan yang dipelajari. Kumpulan nazam sekolah-sekolah ini sering pula mengambil bahagian dalam acara-acara kemasyarakatan seperti perkahwinan, khatam Al-Quran, pesta-pesta kebudayaan. Ia merupakan penyertaan beramai-ramai bukan sahaja oleh pelajar-pelajar yang menyertai kumpulan nazam tetapi juga pendengar-pendengar yang kebanyakannya tidak boleh membaca atau tiada kesempatan membaca. Adab membaca mesti dimulakan dengan duduk tertib dan memberi salam dan membaca bismillah, berselawat atas nabi. Selain di tempat-tempat belajar, nazam juga dinyanyikan oleh kaum wanita semasa mendodoikan anak. Sehingga sekarang terdapat lagu-lagu nazam yang dinyanyikan di dalam upacara berendoi. Di negeri Pahang dan beberapa tempat lain, acara berendoi disebut sebagai bernazam.

Dengan Bismillah kami mulai
Alhamdulillah wassala tannabi

Dengan takdir Ilahi Rabbi
Sampai makdud yang dicitai


Seorang anak cita yang lama
Sekarang kami sudah terima

Seorang anak diberi nama
Kami ayunkan bersama-sama

Emas dan perak kami ayunkan
Anak ditaruh di daam buaian

Tali ayunan kami pegangkan
Emas dan perak kami nyanyikan


Di antara lagu yang sangat terkenal di dalam acara berendoi ialah Dendang Siti Fatimah atau Dondang Siti Fatimah.
Zaman zaman ya Rasullah
Zaman Nabi di Tanah Mekah

Wafatnya Nabi di Madinah
Meninggalkan anak Siti fatimah


Mengikut Harun Mat Piah (1989:307), lagu-lagu Nazam di Terengganu lebih pelbagai ragam dan banyak variasinya sementara lagu-lagu yang didapatinya di Melaka agak monotonus. Beliau menemui beberapa kumpulan nazam yang aktif dalam daerah Kuala Terengganu, Besut, Kemaman dan Dungun. Aktiviti ini juga dijalankan di Ulu Tembeling, Pahang dan di Parit, Perak.

Selain daripada kesusasteraan Melayu, Nazam juga berkembang di dalam kesusasteraan Urdu. Dalam kesusasteraan Urdu, nazam merujuk kepada puisi objektif, lazimnya mengandungi isi yang berbentuk naratif, pengajaran atau kritikan dan sindiran. Nazam dibahagikan pula kepada nazam nasri (bahasa berirama), dan nazam taweel yang bermaksud puisi panjang. Dalam bahasa tersebut, Nazam mengalami pembaharuan dan menjadi sebahagian puisi popular pada masa ini dengan adanya rakaman dan penyebaran yang luas.

Fungsi dan penyebaran nazam tidaklah seluas penyebaran syair dan pantun. Sebagai rumusan dapatlah dilihat bahawa nazam disebarkan melalui beberapa cara:

Secara beramai-ramai atau perseorangan oleh penuntut-penuntut sekolah agama untuk memudahkan menghafaz, misalnya Sifat 20.
Secara beramai-ramai di masjid atau surau sambil menunggu masuk waktu sembahyang tujuannya juga untuk menghafaz seperti di atas.
Secara berkumpulan atau koir sebagai persembahan pada majlis-majlis di sekolah-sekolah agama
Secara berkumpulan di dalam majlis-majlis keramaian kenduri kahwin, berkhatan, khatam Quran, Maulidil Rasul dan sebagainya
Secara berkumpulan sambil bekerja menganyam tikar dan sebagainya
Secara perseorangan ibu-ibu ketika menidurkan anak

Rujukan
Braginsky, 2004,The Heritage of Traditional Malay Literature, Singapore: Institute
of Southeast Asian Studies.

Harun Mat Piah, 1989, Puisi Melayu Tradisional, Satu Pembicaraan Genre dan
Fungsi, KualaLumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hussain bin Unang, 1994, Kamus At-tullab Arab-Melayu , Kuala Lumpur
Darulfikir.

Kamus Besar Bahasa Indonesia, 1988, Jakarta, Balai Pustaka

Teuku Iskandar,1995, Kesusasteraan Klasik Melayu Sepanjang Abad,
Brunei: Jabatan Kesusasteraan Melayu, Universiti Brunei Darussalam.

Wahyunah Haji Abd.Gani, Mohamad Shaidan, 2000, Puisi Melayu Lama Berunsur Islam, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Bahasa Minangkabau-Bahasa Melayoe Riau, 1935, Jakarta. 1935,