ZURINAH HASSAN IALAH SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA

Wednesday, December 21, 2005




PERLAMBANGAN ALAM DAN DAKWAH

Penyair adalah perenung alam dan sering mengaitkan objek-objek alam dengan manusia dan kehidupannya. Hasil renungan dan kaitan inilah yang terjalin menjadi sebuah puisi . Alam memberi kesedaran dan pengajaran tentang makna kehidupan dan kebesaran Tuhan

Dari pandangan Islam, seluruh alam adalah tanda kebesaran Tuhan. Manusia diseru supaya merenung dan mengambil iktibar dari segala yang berada di keliling mereka kerana segalanya mengandungi makna dan memberi pengertian terhadap kehidupan yang dilalui. Al-Quran juga mengingatkan manusia tentang keajaiban kejadian alam yang menjadi tanda kekuasaan Ilahi.Misalnya terdapat ayat di dalam Surah Al-Baqarah ayat 164 yang bermaksud:

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan (pada)pertukaran malam dan siang, dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermunafaat kepada manusia demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta ia biakkan padanya dari berbagai jenis binatang, demikian juga (pada semua itu) ada tanda-tanda yang membuktikan keesaan Allah, kekuasaan-Nya kebijaksanaan-Nya dan keluasaan rahmat-Nya bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran.

Penyair membuat misalan atau perbandingan di antara alam dan manusia. Ini bererti penyair menggunakan alam sebagai lambang. Penggunaan lambang dan perlambangan adalah antara unsur terpenting di dalam sesebuah puisi. Malah penggunaan perlambangan dan misal perbandingan juga adalah cara yang digunakan oleh Al-Quran. Kitab suci Al-Quran juga diturunkan dengan keindahan ayat-ayat yang mengandungi perlambangan seperti yang dijelaskan dengan ayat yang bermaksud, “Demi sesungguhnya! Kami telah mengemukakan kepada umat manusia berbagai misal perbandingan dalam Al-Quran supaya mereka mengambil peringatan dan pelajaran” (Surah Az-zumar: 27.)

Allah s.w.t. berfirman dengan jelas tentang penggunaan lambang dan metafora:
“Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja (seperti) nyamok hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya) iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka “. (Surah Al-Baqarah: 26)


Sastera Melayu sejak zaman berzaman adalah sastera yang membawa mesej ke arah kebajikan. Dengan ini sasterawan memainkan peranan mereka dalam berdakwah menepati peranan manusia sebagai khalifah di bumi Allah. Dakwah menurut definisi Kamus Dewan ialah kegiatan menyeru dan membimbing, mendidik dan sebagainya serta meyakinkan secara baik dalam usaha mempengaruhi orang lain supaya menyedari (menghayati) dan mengamalkan ajaran agama yang sebenarnya.(Kamus Dewan,Edisi Baru.1994: 244)
Allah menuntut manusia berdakwah melalui ayat yang bermaksud, “ Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman” (Surah Adz-Dzaariyat: 55).
Objek alam digunakan dalam puisi dakwah, misalnya tumbuh-tumbuhan Daun kering yang gugur sering digunakan untuk memberi tentang kefanaan dunia. Akar yang kukuh melambangkan iman yang teguh.
Salah satu bahagian pokok yang menarik dilihat ialah biji benih. Biji benih yang kecil dan fungsinya yang besar, mencambah dan menumbuhkan pokok baru memberikan kesedaran dan pengertian kepada para penyair. Walaupun benih itu halus tetapi ia mengandungi segala ‘kelengkapan’ yang akan membolehkannya tumbuh dan menjadi pokok.Fungsi ini, antara lain mengingatkan kepada kepada proses kreatif atau proses menghasilkan sebuah karya. Hal ini boleh dilihat di dalam puisi-puisi “Pencerita” Muhammad Haji Salleh, ‘Akal” oleh Naapie Mat, dan “Puisi yang Aku Tanam” oleh Nassury Ibrahim.
Pencerita

Ini cerita kecil dan lurus
yang tidak kuambil dari serpih sejarah
atau angkut dari lahar peristiwa.

Cakerawala halus ini
ibarat cendawan yang tumbuh
dari bebas dan gelap rasa,
dengan setitik hujan kembang jadi dunia.

Yang mungkin kutambahkan
hanya ranting rapuh gelisah
pucuk dan bunga kata
- inilah pokok cerita
dibalut bulat oleh makna
(Muhammad Haji Salleh)


Sebiji benih dibandingkan dengan percambahan ilham atau idea dan proses menghasilkan karya. Walaupun ia halus tetapi kejadiannya adalah menakjubkan sama seperti kejadian bulan dan matahari oleh itu Muhammad memanggilnya “Cakerawala halus ini”
Idea digambarkan seperti cendawan yang tumbuh di tempat gelap (dari bebas dan gelap rasa). Gelap rasa adalah ungkapan yang membawa maksud tidak mudah dilihat, difahami atau suatu misteri, tidak terjangkau oleh pemikiran dan akal manusia.

Setelah ilham bercambah maka peranan penyair ialah mengerjakannya atau memperkembangkannya hingga menjadi sebuah karya. Sebuah karya disifatkan sebagai sebuah dunia sepertimana yang digambarkan oleh penyair, “dengan setitik hujan kembang jadi dunia”. Dengan menyebut peranan setitis air, penyair juga menyatakan tentang pengaruh alam sekeliling di dalam membentuk pemikiran dan karyanya. Penyair menyedari peranannya hanya sebagai menambah-nambahkan ranting, pucuk dan bunga. Menambah ranting, pucuk dan bunga merujuk kepada mengindahkan karangan melalui penggunakan bahasa yang sesuai. Ranting dikatakan rapuh dan gelisah untuk membawa gambaran keresahan yang berlaku di dalam proses mengarang yang semestinya mengalami beberapa percubaan dan perubahan.
Setelah melalui proses tersebut maka jadilah ia sebatang pohon yang tegak sendiri. Pohon ini dinamai oleh penyair sebagai “pokok cerita”. Pada baris akhir penyair mengatakan ‘dibalut bulat oleh makna’. Makna merujuk kepada isi atau maksud yang hendak disampaikan oleh penyair. Tanpa makna sesuatu karangan atau penciptaan adalah kosong dan sia-sia.
Penekanan kepada ‘makna’ adalah juga penekanan kepada tujuan (niat) atau matlamat. Islam meletakkan setiap nilai amalan adalah bergantung kepada niat. Setiap sesuatu ciptaan mestilah berdasarkan kepada matlamat untuk memberi manfaat kepada manusia.
Penciptaan sastera di dalam Islam mesti mempunyai matlamat iaitu mendapat keredaan Allah semoga hidupnya sebagai seniman mencapai kebahagiaan dari dunia sampai ke akhirat .Islam tidak mengizinkan penciptaan yang tidak menentu arahnya dan harus pula menepati kejadian alam sepertimana maksud firman, ”Dan tiap-tiap sesuatu kami jadikan dengan suatu ketentuan” (Surah Al-Qamar: 49) .
Penghasilan seni dan sastera hendaklah bertujuan antara lain meninggikan apresiasi manusia tentang semua nilai yang baik, murni dan diredai oleh Tuhan. Seni dan sastera yang tinggi nilainya ialah yang boleh mendorong ke arah pencapaian tingkat ketakwaan, kemakrufan. arus bersifat demikian kerana manusia yang menciptanya tidak diberi peranan lain selain pengabdian kepada tujuan-tujuan Ilahi dan kekhalifahan dunia atas nama Tuhan. Tambahan pula daya ciptanya imaginasinya, akalnya intuisinya dan lisannya bukan diciptanya sendiri tetapi dianugerah oleh Tuhan kepadanya sebagai barang-barang amanah yang penggunaannya harus dipertanggungjawabkan ‘kemudian hari’ kepada pencipta itu sendiri.
Sasterawan sebagai manusia mempunyai tujuan hidup yang jelas iaitu beribadah kepada Allah. Pada tahap operasional manusia dijadikan khusus sebagai abd dan khalifah di muka bumi, sementara fungsi kejadiannya yang hakiki ialah untuk taat dan beribadah kepada Allah swt seperti firman dalam Al-Quran, (Surah Adz-Dzaariyaat: ayat 56) yang bermaksud:Tiada Kujadikan jin dan manusia melainkan baginya mengabdikan diri kepada-Ku jua.
Oleh itu para penyair mesti menulis dengan keikhlasan dan kebenaran. Penyair yang tidak mempunyai matlamat dan pegangan hidup, dan tidak berkata dengan kebenaran dianggap sebagai golongan yang sesat dan menyesatkan orang lain. Hal ini terlihat di dalam firman Allah yang bermaksud,
“Dan ahli-ahli syair itu diturut oleh golongan yang sesat. Dan tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau dengan tidak berkentuan hala dalam tiap-tiap jurang lembah (khayal dan angan-angan kosong). Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak melakukan. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh (dari kalangan ahli-ahli syair itu) dan mereka mengingati Allah, serta membela diri sesudah mereka dianiaya”. Surah Syu’araa 224-227.)

Akal

Meniti kehalusan peribadi akhirnya
Kita berserah pada takdir
Bila kita terjebak
Dalam seranggahan akar masalah
Menggenggam akar fikiran yang terkusut
Kerana pohon tidak tumbuh dari akar
Tidak menegak dari tunjang
Tidak melilit bumi
Tanpa izin Ilahi

Membandingkan pohon yang semakin tumbuh
Dan akar yang menjalar
Melilit mentari jingga
Kita kadang kala bingung
Bila fikiran tergelincir
Dari landasan kebenaran
Kerana tidak mengaminkan kebesaran Ilahi
Kerana kita membuktikan pertimbangan
Berakalkan nafsu syaitan dan lojik
Dan bila kita bertambah bingung
Kita terjebak kepada kefanaan duniawi

Akhirnya kita menemui jalan pulang
Lalu membuka kitab lama
Mencari Nur Ilahi
Di celah-celah hurufNya
Membuka tafsir ilmu dan takwa.
(Akal,Naapie Mat)

Sajak ‘Akal’ oleh Naapie Mat juga mengambil unsur tumbuh-tumbuhan bagi pembinaan metaforanya. Pertumbuhan pohon menjadi perbandingan di dalam memperkatakan hal-hal berkaitan pemikiran yang juga boleh dikaitkan dengan pembenihan sesuatu idea atau ilham di dalam proses penciptaan karya sastera. Seringkali manusia melupakan hakikat bahawa ilham dan pengetahuan melakukan kerja-kerja mencipta adalah ilmu yang dikurniakan oleh Allah Maha Pencipta. Segalanya tidak berlaku dengan sendiri . Hanya Allah yang mencipta segalanya. Untuk mengemukakan pemikiran ini, penyair menggunakan pembenihan dan pertumbuhan sesuatu pohon sebagai perbandingan. Seringkali manusia menganggap bahawa pertumbuhan pokok adalah dari akarnya. Lalu penyair mengingatkan bahawa ini adalah satu kekeliruan. Akar dan tunjang meneguhkan pohon tetapi akar bukanlah punca yang menumbuhkan pohon. Pertumbuhan pokok adalah dari ciptaan dan kehendak Ilahi.
Bagi penyair Islam, dia akan sedar bahawa ilham adalah Kurniaan dari Allah. Ini terbukti kerana kadang kala karya tidak menjadi walaupun dia berfikir sekeras-kerasnya. Pada waktu itu dia seperti menemui jalan buntu. Keserabutan yang ada dibenaknya digambarkan melalui “seranggahan akar masalah” Seperti pokok yang tumbuh dari benih yang kering, kedatangan ilham adalah merupakan satu keajaiban yang tidak dapat difahami oleh manusia melalui ilmu logika. Akal manusia tidak akan sampai kerana ilmu manusia adalah terbatas. Pohon akan tercabut bila akarnya terbongkah. Manusia yang tidak beriman akan menjadi putus asa dan kehilangan pedoman hidup.”Kita terjebak kepada kefanaan duniawi”Inilah yang berlaku pada seniman-seiman Barat. Syed Naguib menulis tentang sasterawan di Barat yang menghadapi masalah kejiwaan. Ini dapat dilihat dari karya mereka, “Dari Oedipus ciptaan Sophocles, dari Hamlet ciptaan Shakespeare, dari Faust ciptaan Goethe hingga Sysiphus rekaan Camus menyalurkan darah dan keluh-kesah trajedi, berulang-ulang yang dialami oleh jiwa Barat yang sejak zaman purbakala lagi tiada mengenal iman, berpandukan kepada keraguan dan falsafah(54)
Namun bagi seniman Islam dia akan kembali merujuk atau ‘membuka kitab lama’ atau kembali kepada ajaran sebenar iaitu pulang kepada kebenaran dengan mendalami ajaran Al-Quran.
Bila bercakap tentang tradisi akhliah Islam dalam erti kata yang sebenarnya, adalah bersandarkan kepada wahyu. Dapat dikatakan seyakin-yakinnya bahawa umat islam tidak ada penikiran yang menolak wahyu.“Akhirnya kita menemui jalan pulang” . Jalan yang benar adalah jalan yang diredai dan dilimpahi Nur atau cahaya yang menghakis kegelapan yang diakibatkan oleh kekusutan. Ia itulah jalan yang didoakan melalui kalimah “Ihdinash-shiraathal-mustaqiim” ( Tunjukkanlah kepada kami jalan yang lurus) “Inilah yang benar, jalan yang membawa kepada kebahagiaan dan keberuntungan, di dalam hidup di dunia dan lebih-lebih di dalam hidup di akhirat ( Bey Arifin ‘Samudera al-Fatihah’ Pustaka Nasional Singapura 1976:217)
Akhirnya kita menemui jalan pulang
Lalu membuka kitab lama
Mencari Nur Ilahi
Di celah-celah hurufNya
Membuka tafsir ilmu dan takwa.


Manusia yang memohon pertunjuk akan menerima pertunjuk yang benar dari Allah yang memberikan cahaya mengeluarkan manusia dari kegelapan menuju cahaya. (Nur ditemui di celah-celah hurufnya.) Huruf dari kitab yang suci adalah penunjuk jalan pulang itu. Membuka tafsir dan takwa mentafsir dan cuba mempelajari mengenal huruf dapat dicapai dengan takwa dengan pertunjuk dari Allah (an-nuur )yang memberi cahaya. Penggunaan ungkapan jalan pulang boleh dirujuk kepada peribahasa “Sesat di tengah jalan, balik ke pangkal jalan” yang memberi saranan semua orang sepatutnya bermuhasabah dan merenung kembali tujuan asal sesuatu perkara di buat.
Allah jua yang menghidupkan tanaman. Pohon tidak akan tumbuh dan melata tanpa Idzin Allah. Segalanya mengikut peraturan sepertimana segala peraturan yang mengawal perjalanan bintang-bintang di langit. “Seorang seniman Muslim, dengan Islamnya dirinya, dengan menyerah kepada Peraturan hakikat bahawa bukan ia sendiri yang mencipta atau melahirkan keindahan. Bagi fikiran Muslim, seni memperingatkan manusia akan Tuhannya iaitu apabila penyataan seni itu bebas lepas ibarat sunnah yng menetap dan mengawal segala perjalanan bintang-bintang di langit.” (Syed Hussein Nasr, “Falsafah Kesusasteraan dan Seni Halus” terjemahan Baharudin Ahmad, Dewan Bahasa dan Pustaka 1989)
Puisi Yang Aku Tanam

Aku tidak kenal pun kayu ukur
yang mereka jadikan para tempat
puisi-puisinya mengembang sulur
berbunga cantik berbuah lazat

Aku tidak kenal pun kayu ukur
maka puisi-puisi yang aku tanam
tidak kubina para untuknya
puisi-puisi yang aku tanam
menyusur bebas di pipi bentala

Namun saudara, aku percaya
puisi berbunga cantik berbuah lazat
tidak kenal para dari kayu ukur sekalipun
hanya tanah dan baja tempatnya tumbuh

Apa yang kuharapkan pada puisiku
biarlah sulurnya mengembang zat
tanah dan baja
biarlah bunganya cantik buahnya lazat
meskipun tidak berpara

Apa yang kuharapkan pada puisiku
sesiapa pun dapat memetiknya
meskipun mereka
tidak bergalah tidak bertangga.
(Nassury Ibrahim)

Sajak “Puisi yang aku Tanam” oleh Nassury Ibrahim ini amat jelas memperkatakan secara langsung dan khusus tentang proses penciptaan puisi. Nassury juga menyifatkan menulis dan mencipta puisi sebagai menanam pokok. Ayat-ayat atau baris-baris puisi yang terbina adalah pokok yang tumbuh, bercabang dan berbunga. Dengan mengatakan bahawa dia hanya membiarkan pokoknya tumbuh subur tanpa menggunakan para memberi gambaran bahawa pertumbuhan puisinya adalah secara alamiah atau berserah kepada kehendak Allah. Walau bagaimanapun ‘penyerahan’ atau ketawakalan ini dibuat setelah berusaha menanam. Hal ini menepati ciri ke Islaman.
Penyair mengatakan bahawa dia tidak memerlukan para untuk menanam pokoknya dan dia juga tidak memerlukan teori di dalam menulis puisi. Walaupun tanpa teori penyair mengharapkan puisinya mengembang salur dan berbunga cantik dengan hiasan bahasa. Dia mengambil pendekatan yang sederhana selaras dengan tuntutan Islam, seperti maksud ayat, “Dan sederhanakanlah langkah-langkah semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata.) (Surah Luqman:ayat18 dan 19). Jelas Penyair tidak mahu memberikan kesukaran kepada orang ramai sepertimana Allah juga tidak memberi kesusahan kepada hambaNya kecuali sekadar yang termampu dihadapi oleh mereka.

Sebagai penanam pokok dia mengharapkan pokoknya berbuah lebat dan hasil tanamannya dapat dipetik dengan mudah oleh orang lain. Ini bermakna penyair bersedia berkongsi rezekinya dengan orang lain. Dengan ini dia menjadi seorang yang memberi manfaat kepada orang lain dengan bersedekah, menepati maksud Hadith Rasullullah s.a.w “Seorang Muslim yang menanam tanaman kemudian ada burung atau manusia atau binatang memakan buah tanamannya, maka yang demikian itu menjadi sedekah baginya”
Begitulah sebagai penyair dia mengharapkan orang lain dapat membaca dan memahami apa yang hendak disampaikan. Unsur estetika dalam puisi dilambangkan oleh pokok yang berbunga cantik. . Buah lazat adalah hasil yang memberi manfaat kepada semua. Penyair juga menyedari peranan tanah dan baja yang membawa makna menyedari pengaruh persekitaran dan peranan budaya dalam membentuk pemikiran dan penciptaannya.

Perbuatan menanam dan membaja memperlihatkan unsur usaha dan berikhtiar sepertimana yang dianjurkan oleh Islam yang mengajar bahawa tiap-tiap orang hanya memperolehi apa yang diusahakan olehnya “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya” (An-Najm:ayat 39)
Buah yang lebat adalah untuk semua yang memerlukan. Ini adalah sifat pemurah yang terpuji dan selaras dengan amalan bermuafakat di dalam budaya Melayu yang megutamakan masyarakat dari individu. Masyarakat di kampung-kampung khususnya hidup bersama dengan semangat muafakat dan berkongsi bersama hasil tanaman. Buah adalah lambang kepada hidup yang berhasil. Manusia yang tidak memberi manfaat kepada orang lain adalah ibarat pohon yang tidak berbuah seperti maksud pantun:
Cahaya redup menyegar padi
Ayam berkokok mengirai tuah
Jikalau hidup tidak berbudi
Umpama pokok tidak berbuah.

(Zainal Abidin Ahmad (peny)Kumpulan Pantun Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka 1984.)

Di dalam ketiga puisi di atas, telah dilihat bagaimana proses percambahan benih digunakan untuk menerangkan konsep ilham oleh penyair Islam. Bila benih telah bercambah terjadilah pokok-pokok . Pokok-pokok menyebabkan alam menjadi hijau. Baha Zain menginterpretasikan kehijauan ini sebagai ‘bahasa alam’
Kehijuan adalah bahasa alam
Yang minta diabadikan
Tuhan Maha Pencipta
Dan manusia kecil di dalamnya.
Dialah Penyair yang melukiskan
mendung dan warna
kita manusia resah terpegun
dalam cahayaNya.
(Baha Zain,Bahasa Alam)

Jika proses pertumbuhn adalah proses penciptaan karya maka seluruh alam yang hijau dengan pokok-pokok adalah karangan yang telah siap terpamer dalam bahasa yang dikarang. Dari sini Baha Zain menyatakan bahawa “Kehijuan adalah bahasa alam”. Kata ‘bahasa’ menepati maksud bahawa seluruh alam adalah tulisan yang boleh dibaca. Seluruh alam dicipta oleh pencipta yang telah menggunakan bahasa atau perkataan.
Dalam sajak ini penyair mengungkap tentang kekerdilan manusia, kebesaran Allah dan keindahan alam yang diciptaNya. Penyair membawa pesanan dan peringatan bahawa kehijaun itu “minta diabadikan” yakni dipelihara bukan untuk dirosakkan. Baris ini mengingatkan kepada tanggungjawab manusia sebagai khalifah Allah yang diamanahkan untuk memelihara dan memakmurkan bumi ini. “Sesungguhnya bumi ini diwarisi kepada hamba-hamba ku yang soleh” (Surah Al Anbiyaa:ayat 105). Manusia telah menerima tanggungjawab untuk menjadi khalifah Allah seperti yang tersebut di dalam Al-Quran, “Kami telah menawarkan amanah kepada langit, bumi dan bukit, tetapi mereka semuanya enggan menanggung dan takut darinya dan manusia menerimanya. (Al-Ahzab:ayat 72)

Pada baris ketiga “dia adalah Penyair/yang melukiskan mendung dan warna”, terkandung peringatan terhadap Allah sebagai Al-khaalik yang mencipta segala-galanyanya. Allah menentukan segalanya (mendung ataupun warna) yang boleh ditafsirkan sebagai duka atau pun suka. Menyebut Allah sebagai “Penyair” adalah peringatan terhadap sifat Allah ‘yang berkata-kata’ atau peringatan kepada kalam Allah yang maha luas. Kalimah Allah tiada batasannya sepertimana tersebut di dalam Al-Quran yang bermaksud, “Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan menjadi tinta, dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis” (Surah Luqman:ayat 27)
Kalam Allah diturunkan sebahagiannya melalui Al-Quran.Seluruh kitab Suci Al-Quran yang semuanya berjumlah 6237 ayat, terdiri dari perkataan dan huruf, semuanya adalah perkataan Allah, kalimah Allah atau Kalamullah. Iaitu perkataan-perkataan Allah yang sudah dinuzukan (diturunkan) dari Alam Izzah (Alam ghaib) ke alam Zahir sehingga perkataan-perkataan itu menjadi huruf, lafaz atau kalimah, yang boleh ditulis lalu dapat dibaca, sehingga didengar oleh telinga, lalu dapat difahami dan diketahui dan dihafal. Orang-orang Musyrikin yang tidak menerima Al-Quran telah menuduh Nabi Muhammad sebagai penyair yang telah mencipta ayat-ayat yang indah itu. (Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian itu) bahkan mereka mengatakan “Dialah (Muhammad) yang mengadakan Al-Quran menurut rekaannya”. (Surah Yunus 38). “Mereka menuduh dengan berkata: Al-Quran itu perkara karut yang dimimpikan oleh Muhammad, bahkan perkara yang diada-adakan olehnya, bahkan Muhammad sendiri seorang penyair. (Al-Anbiyaa’:ayat 5).

Allah S.W.T telah menyangkal tuduhan tersebut. Apatah lagi Nabi sendiri adalah seorang yang tidak tahu menulis dan membaca seperti yang diterangkan oleh Allah melalui FirmanNya, “Dan tidaklah engkau membaca sebelum itu kitab dan engkau tidak pun menulis dengan tangan kanan engkau, kalau begitu pasti terang-terangan orang-orang yang batil bahkan ia adalah ayat-ayat yang terang nyata pada dada orang-orang yang diberi ilmu dan tidaklah mengingkari ayat-ayat Kami kecuali orang-orang yang zalim.(surah al-‘Ankabut 29: 48-49).

Ayat yang secara terang menafikan Nabi sebagai penyair ialah, “Muhammad bukanlah penyair dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya, dan kepandaian bersyair itu pula tidak sesuai baginya”. (Surah Yaa Siin: ayat 69)
Hujjah di atas dapat dihubungkan dengan sajak Bahasa Alam. Orang Musyrikin menuduh Nabi Muhammad s.a.w sebagai seorang penyair. Ini bermakna mereka mengakui keindahan keindahan bahasa Al-Quran. Tetapi Allah dengan jelas berFirman bahawa Al-Quran bukan ciptaan Muhammad tetapi telah diturunkan di sisi Allah. Maka dengan itu dapatlah diberi jawapan bahawa Allah jualah “Penyair” yang dimaksudkan itu, kerana seperti maksud ayat, “Dan bukanlah Al-Quran ini sesuatu yang boleh diadaka-adakan oleh yang lain dari Allah”. “Tidak ada sebarang syak dan ragu-ragu pada Al-Quran itu tentang datangnya dari Allah, Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam .( Yunus:ayat 37)
Seluruh alam adalah tanda kebesaran atau ayat Allah yang perlu dibaca sepertimana yang diperintahkan melalui ayat pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw iaitu Iqra’ atau Bacalah. Manusia diminta mempelajari ilmu-ilmu mengenai alam di sekelilingnya dan mematuhi hukum-hukum yang terkandung di dalam ayat yang diwahyukan.” Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekelian makhluk. Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang Pemurah. Yang Mengajar manusia melalui pena dan tulisan (Al-‘Alaq- ayat 4). Allah Taala memberi penekanan kepada sifatNya yang ‘mengajar melalui pena dan tulisan”. Mengajar membawa pengertian menyebar ilmu yang ditambah ‘melalui pena dan tulisan”. Perkataan Pena dan tulisan membawa pengertian yang jelas tentang martabat penulis dan penulisan yang melibatkan pula perbuatan menulis (mengarang). Membaca juga membawa maksud memerhati dan mempelajari kejadian alam. Seluruh alam adalah kalam Allah (kalamullah), termasuk bumi, bulan, bintang, matahari dengan segala isinya serta peristiwa yang terjadi di dalamnya dicipta hanya dengan kalimah Kunfayakun. Seperti maksud ayat, “Susungguhnya perintahNya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya “Jadilah” maka jadilah ia” ( Yaa Siin:82) .

Manusia yang menjadi pencipta karya kesusasteraan adalah pemikir dan perasa yang mengungkapkan kembali hasil pengalaman melalui pengamatan, pengetahuan, daya imaginasi dan daya kreatif dalam bentuk yang indah, yang dapat dihayati oleh manusia lain.
Dakwah Tentang Kemuliaan Ilmu
Mahaya Mohd. Yassin menulis sajak Ilmu.
Yang kau semaikan ke jantungku
sebatang pohon ilmu
akar iman
daun amal
bunga sopan
buah jasa.

Yang kau pinta padaku
sirami ia serela sabar
haruman syurga
belailah selunak pujukan
sewangi doa
dibajai sehangat upaya
semarak kuasa

Di dalam sajak ini bahagian tumbuhan iaitu akar melambangkan iman, daun melambangkan amal , bunga melambangkan kesopanan dan buah melambangkan jasa.

Islam memuliakan Ilmu bahkan Ilmu merupakan asas untuk menilai kemuliaan seseorang. Selaras dengan panduan ini ialah pengakuan Islam tentang adanya perbezaan di antara orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu. Allah berfirman ”Adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu?.” Allah berfirman yang bermaksud, ”Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang berilmu pengetahuan beberapa darjat.( Al-Quran, Al-Mujadalah:58) Hal yang sama didapati dari Hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud “menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap Muslim”(riwayat Bukhari dan Muslim.)
Iqra’ (bacalah) adalah satu seruan yang mengarahkan kepada budaya, ilmu, pemikiran, kajian murni pada langit dan bumi, gunung, lautan dan seluruh kejadian Allah yang kecil mahupun yang besar.

Semenjak gagasan itu lagi Islam mempunyai nilai ilmiah yang mengatasi segala-gala yang lain. Firman Allah:

UmaT Islam diseru untuk berdoa “Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku.
(surah Taha 20: 114)

Ilmu adalah salah satu syiar Islam dan sesiapa yang hari esoknya sama dengan hari ini, dia itu ketinggalan (maghbun). Sesiapa yang tidak menuju kepada penambahan pasti menuju kerugian. Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui.

Umat yang berilmu (atau ulama) dimuliakan oleh Allah . Dakwat ulama’ yang bertaqwa akan ditimbang oleh neraca baik dan kebajikan dengan darah para syuhadah’, tetapi yang lebih berat ialah timbangan dakwat ulama’.
(surah al-Baqarah 2:23-24)

Dakwah Ke arah Persaudaraan Islam:
Salah sebuah puisi yang membawa seruan ke arah persaudaraan Islam ialah “Amarah”, oleh Ali Ahmad. Unsur alam yang digunakan bagi menyampaikan dakwah ini ialah sebatang pohon yang berada berdekatan lalang kering. Pohon menjadi simbol perpaduan dan lalang adalah simbol perkara-perkara yang mengancam perpaduan tersebut. Dalam sajak ini ancaman yang ditandai oleh lalang ialah nafsu amarah yang ada pada manusia. Sebagaimana lalang kering mudah terbakar bila disentuh oleh bara api (yang digambarkan sebagai berada berdekatan). Bila-bila masa sahaja boleh berlaku kebakaran atau kemalangan apabila angin yang bertiup menyemarakkan api. Lalu musnahlah ladang seperti musnahnya ikatan silaturrahim. Sajak ini menyeru kepada semangat toleransi berpandukan semangat perpaduan Islam seperti yang dijelaskan oleh ayat yang bermaksud, “setiap umat Islam adalah bersaudara”. Setiap orang harus berusaha memahami orang lain, mengakui kelemahan diri dan sentiasa bersedia memaafkan kelemahan orang lain. Dengan kesediaan “memberi baja pada pengertian/ tentang kelemahan insan/ atas ukuran kekurangan peribadi” maka dapatlah dibina perpaduan dan keukhuwaan yang dianjurkan oleh Islam dan yang menjadi pegangan masyarakat Melayu.
Sajak ini menyeru kepada penyatuan ummah melalui tali silaturrahim sebagai mana seruan “berpeganglah kamu pada tali Allah” dan anjuran untuk menjaga hubungan dengan Allah (habluminnallah) dan hubungan dengan manusia (hablumminnas) sebagai Firiman Allah yang bermaksud, ”Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan wanita dan Kami telah menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku puak supaya kamu saling kenal megenal. Sesungguhnya semulia-mulia kami di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu (Al-Hujurat:13)
Di dalam puisi di atas, tumbuhan yang hijau menjadi metafora kepada tali persaudaraan dan silaturrahim sesama manusia. Pohon harus disuburkan dengan air kelembutan. Amarah adalah buah yang lahir dari perasan sombong atau mementingkan diri sendiri (keakuan) dan buah ini akan musnah dengan iman dan takwa.
seperti bara
di sempadan keringan lalang
dengan angin hasutan
akan membakar
dan merebakkan kemalangan
di ladang silaturrahim
Akan kebajikan persaudaraan
Beri baja pada pengertian
Tentang kelemahan insan
Atas ukuran kekurangan peribadi
Amarah buah dari keakuan
Mati ia di tanah takwa

Saturday, December 17, 2005

buku puisi terbaru telah terbit pada bulan Disember 2005. Alangkah bahagia rasanya.

Ini adalah catatan di kulit belakang

Puisi-puisi dalam kumpulan ini berupa catatan rasa dan pancaran minda seorang penyair wanita tersorhor tanah air, Zurinah Hassan yang berasa terharu terhadap segala peristiwa yang menimpa bangsa Melayu dari zaman dahulu sehingga sekarang. Bersumberkan teks Sejarah Melayu ,pelbagai cerita rakyat, cerita jenaka, kisah legenda, hikayat, buku sejarah, akhbar dan majalah, Zurinah cuba memetik mutiara makna dari keindahan bahasa para pujangga Melayu lalu dicernakan ke dalam puisi-puisi baru beliau yang cukup mengusik perasaan. puisi-puisinya kali ini lebih terfokus dengan tema khusus, iaitu tentang perjuangan dan pemikiran bangsa Melayu zaman dahulu , yang telah diberi pentafsiran baharu sesuai dengan perkembangan dunia moden. bagi Zurinah sejarah bukan sekadar kenangan tetapi ia boleh menjadi iktibar dan teladan. ini sesuai dengan kata-kata dr.Abdul Rahman Napiah iaitu 'menyusur masa lalu untuk menyisis makna baharu "